Kontrak RM800 juta pembelian SP howitzer Tentera Darat dimeterai semasa DSA Mei 2024 | DagangNews Skip to main content

Kontrak RM800 juta pembelian SP howitzer Tentera Darat dimeterai semasa DSA Mei 2024

Sistem SP howitzer Nexter Caesar 155mm dikatakan bakal dipilih Tentera Darat.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 16 April - Kontrak pembelian sistem artileri mudah gerak (SP howitzer) Tentera Darat dijangka dimeterai Kementerian Pertahanan (Mindef) bulan depan pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024.

 

Edisi ke-18 DSA ini berlangsung pada 6 hingga 9 Mei nanti di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.

 

Pembelian ini antara beberapa kontrak, memorandum persefahaman (MoU) dan kerjasama dianggarkan bernilai lebih RM5 bilion yang bakal dimeterai semasa DSA 2024 nanti.

 

Beberapa kontrak ini akan ditandatangani pada hari ketiga pameran membabitkan Mindef dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

 

 

 

 

Meriam
Meriam Caesar.
 

 

Meriam
SP howitzer Eva.

 

Kontrak pembelian 18 laras SP howitzer ini kira-kira RM800 juta atau lebih memandangkan nilai tukaran matawang asing dengan Ringgit Malaysia yang meningkat.

 

Ini juga akan menjadi pembelian terbesar bagi Tentera Darat bagi satu jenis sistem persenjataan dalam tempoh 10 tahun lalu.

 

Jumlah 18 laras meriam ini adalah bagi melengkapkan kekuatan sebuah rejimen artileri atau tiga buah bateri.

 

Tidak mustahil juga angka ini boleh berubah sekiranya ada keperluan untuk menambah jumlah pemilikan meriam.

 

Menurut sumber industri, Mindef akan memuktamadkan perolehan tersebut memandangkan penilaian terhadap jenis meriam yang hendak dibeli selesai.

 

Meriam
Caesar mempunyai rekabentuk yang tidak terlalu besar manakala beratnya bersesuaian dengan muka bumi Malaysia.

 

Meriam

 

Sebagai pameran kelengkapan pertahanan darat terbesar di Asia, DSA adalah lokasi tepat bagi Mindef memuktamadkan pembelian SP howitzer Tentera Darat.

 

Persaingan ketika ini tertumpu kepada dua pilihan iaitu sistem Nexter Caesar 155mm buatan Perancis dan EVA 155mm buatan Konstrukta Defence, Slovakia.

 

Dalam kalangan pemerhati pertahanan membayangkan Nexter Caesar 155mm sebagai pilihan Tentera Darat.

 

Meriam Nexter Caesar juga telah melepasi ujian yang dilakukan Tentera Darat sebelum ini dengan mendapat skor tinggi.

 

Ia juga merupakan sistem SP beroda paling popular dan dioperasikan banyak tentera di dunia termasuk negara jiran Indonesia dan Thailand.

 

Meriam
Meriam Nexter 105mm yang digunakan Tentera Darat.

 

Pada masa sama, syarikat ADS Sdn. Bhd. (ADS) yang memasarkan SP howitzer Caesar juga merupakan pengilang bagi meriam Nexter 105mm LG1 Mk III yang digunakan Tentera Darat.

 

Meriam Nexter 105mm LG1 Mk III buatan Perancis ini dipasang dan diuji sepenuhnya oleh pihak ADS di pusat pemasangannya di Gemas, Negeri Sembilan.

 

Semasa DSA 2018, Nexter dan ADS telah mengumumkan pemeteraian kontrak pembelian 18 laras meriam ini pada hari terakhir pameran pertahanan itu.

 

LG1 Mk III merupakan varian terkini meriam 105mm yang dikeluarkan oleh Nexter. - DagangNews.com