Kompleks fosfat bersepadu yang bakal beroperasi buka banyak peluang kepada Cahya Mata Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kompleks fosfat bersepadu yang bakal beroperasi buka banyak peluang kepada Cahya Mata Sarawak

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Julai - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Cahya Mata Sarawak pada harga sasaran RM1.37 sesaham berikutan pentauliahan fasa pertama kompleks fosfat bersepadunya dijangka membuka lebih banyak peluang kepada kumpulan. 

 

Kumpulan akan menyalakan relau pertamanya di kompleks Malaysian Phosphate Additives Sarawak (MPAS) di Bintulu pada 8 Ogos ini. Sementara itu, tiga lagi relau akan beroperasi sepenunya pada Disember 2022. 

 

Ia merupakan perkembangan yang sangat ditunggu-tunggu setelah tertangguh selama dua tahun disebabkan pandemik COVID-19, gangguan rantaian bekalan dan ketiadaan pekerja buruh. 

 

Menurut firma itu, kumpulan menjangkakan loji itu akan merekodkan aliran tunai yang tunai bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dan mula mencatat keuntungan pada FY24.

 

Katanya, Cahya Mata Sarawak optimis terhadap permintaan yang dilihat setakat ini dan minat yang diperolehi untuk fasa kedua dan aktiviti hiliran yang berpotensi.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran hasil bagi FY23-FY24 buat masa ini, selepas menurunkan unjuran sebanyak 15% baru-baru ini berikutan pelupusan kepentingan sebanyak 25% dalam OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd dan OM Materials (Samalaju) Sdn Bhd," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Cahya Mata Sarawak memiliki 60% kepentingan dalam MPAS menerusi anak syarikat milik penuhnya,  Samalaju Industries Sdn Bhd. 

 

Merupakan kompleks fosfat bersepadu pertama di negara ini, fasa pertama terdiri daripada tiga logi dengan kapasiti tahunan sebanyak 48,000 tan metrik fosforus kuning manakala 75,000 tan metrik asid fosforik teknikal dan 60,000 tan metrik asid fosforik gred makanan.

 

Jumlah pelaburan untuk fasa pertama ialah kira-kira RM898 juta, dibiayai melalui ekuiti pemegang saham dan pinjaman jangka panjang. 

 

Keseluruhan kompleks apabila siap, akan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 500,000 tan metrik bahan tambahan fosfat makanan, makanan ternakan dan baja diikuti 100,000 tan metrik ammonia dan 900,000 tan metrik coke.

 

Dalam pada itu, MIDF Research yakin dengan hala tuju pengurusan kerana ia memberi penekanan yang lebih tinggi untuk memacu kumpulan berada di landasan yang betul dengan amalan terbaik alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"Kumpulan kini mendesak agar penarafan ESGnya diperakui oleh pihak ketiga yang bebas," jelasnya.

 

Dalam dagangan berakhir 12.30 tengah hari tadi, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 90 sen sesaham. - DagangNews.com