Sewaktu pandemik COVID-19 pada tahun 2020, pelbagai usaha dibuat oleh pengkarya untuk membantu industri mengharungi keadaan terdesak pada masa itu.
MDEC telah menyalurkan geran DC3+ dan saya bertuah terlibat dalam dua project DC3+ iaitu projek Animasi Walinong Sari oleh ORE Struck Filem dan filem pendek Tun Fatimah | The Rebel Queen oleh bzBee Consult.
Di Folklore Fair yang dikelolakan oleh KL Nation dan UNIKL minggu lalu, Eugene Foo, Honey Ahmad, dan saya bertemu kembali di pentas untuk berwacana membincangkan filem animasi pendek Walinong Sari, diilhamkan sebuah legenda Pahang yang diceritakan dalam buku Lipur Lara Nusantara.
Lima tahun kemudian, Walinong Sari telah mencapai kejayaan di enam benua, meraih lebih daripada 20 anugerah antarabangsa dengan OST dari Irena Taib yang menakjubkan.
Namun permulaan kembara filem ini bermula dengan sebuah impian.
Kini, Eugene dan Honey telah membawa Walinong Sari ke persada antarabangsa, memberi inspirasi kepada ramai untuk percaya bahawa warisan kita sendiri, budaya dan bakat Malaysia dapat menarik perhatian dunia.
Skrip hebat dari Honey Ahmad dihasilkan dalam waktu sejam, kata Honey, namun hasilnya merangkumi kisah legenda seprang Puteri Pahang berjiwa srikandi diselitkan dengan kasih sayang seorang ayah dan puterinya.
Itulah impian setiap penulis. Untuk melihat hasil kerja mereka dibawa ke satu tahap lebih jauh oleh pengkarya kreatif, dalam filem, di pentas, dalam lagu dan tarian.


Honey dan Eugene memang ingin melakukan suatu animasi Nusantara luar biasa. Honey pula tertarik dengan kisah Walinong Sari kisah puteri pertama Lipur Lara Nusantara. Oleh itu, kami tak perlu berbincang lama, janji terikat untuk menyiapkan filem ini.
Hasil kerja arahan Eugene memang mengkagumkan. Melalui Walinong Sari semua hasrat di hati dapat dipenuhi - kisah Nusantara unik bertemakan karektor yang penuh jati diri, penataan tersendiri dengan gaya 2-D, peluang memperkenalkan seni budaya dan animasi Malaysia.
Soalan pertama dari moderator Paw Wahab “Bagaimana proses menyusun skrip sehingga ke draf akhir?” Honey terus menyatakan ini mudah baginya! Namun dari ‘brainstorming’ awal, bermulalah perancangan watak, penampilan, elemen warisan serta komponen budaya.
Tugas saya sebagai penasihat budaya dan warisan bermula dengan menerangkan dengan sejelas mungkin jati diri, intonasi, hati nurani dan warna yang meyerlahkan identitikarektor di sebalik cerita. Busana dan hiasan diri seperti dokoh, kerongsang dan anting-anting serta latarbelakang cerita di Inderapura, Pengkalan Balai ke Gunung Tahan.
Paw Wahab: Semasa mencipta filem, bagaimanakah perbualan dan prosesnya dalam memperoleh lore, warisan, dan budaya yang tepat?
Hampir keseluruhan filem disiapkan semasa pandemik Covid. Jadi, segala perbincangan diadakan dalam talian. Eugene benar-benar pentingkan kajian terperinci. Sewaktu dia sibuk melukis Eugene akan menghantar mesej...
“Hai Ninot, adakah bot dan kapal besar boleh berlayar ke Inderapura? Bagaimana keadaan bentuk buminya?”
“Jika Inderapura mempunyai gerbang kota, bagaimanakah bentuknya?”
Dan yang paling lucu,
“Apakah yang dipakai Bendahara semasa tidur?”

Sangat terperinci hinggakan ikan di sungai dan manuskrip Jawi pada masa itu menjadi topik diskusi. Yang lebih menghairankan dan menakjubkan ialah saya dapat menjawab soalan Eugene yang bertubi-tubi.
Setelah menyiapkan skrip, Honey memastikan bakat terbaik untuk filem Walinong Sari. Gavin Yap telah menyusun bakat terpilih terbaik buat WalinongSari seperti Nadia Aqilah, Ghafir Akbar, Bront Palarae, Junji Delfino, Tony Eusoff dan Fatimah Abu Bakar sebagai Tukang Cerita.
Paw Wahab: Bagaimana anda menemui keseimbangan dalam menetapkan ketepatan dan pilihan gaya dalam filem, dari segi penyelidikan, cerita, dan rupa? Apa faktor-faktor yang menjadikan anda memutuskan "terlalu banyak perkara ini sementara perkara lain ini kurang diwakili?"
Honey menekankan, dalam penceritaan semula kisah cerita legenda, kita tidak perlu takutkan perubahan dan ‘adaptation’. Begitulah tradisi penglipur lara berzaman.
Paw Wahab: Apa sejenis pengorbanan yang dilakukan seluruh pasukan semasa mencipta filem di dalam Pandemik?
Bagi saya, ia bukanlah pengorbanan. Setiap prises itu sangat mengujakan. Namun buat Honey dan Eugene, ia agak mencabar kerana semuanya dilakukan dalam talian sebelum lakonan suara. Tetapi, adalah penting kita libatkan artisan seperti artisan ukir kayu, Zarir Abdullah dan Faizal Rahmat untuk istana Inderapura.
Para hadirin ada bertanya tentang hala-tuju industri animasi negara. Adakah perlu diadakan tayangan bulanan contohnya.
Panelis bersetuju bahawa karya kreatif hari digerakkan oleh individu yang bersemangat untuk menghasilkan karya kreatif.


Untuk benar-benar berjaya, ia perlu diperkembangkan sebagai sebuah industri yang mempunyai visi keseluruhan. Contohnya, membina studio yang dapat menampung beratus ilustrator, memberi peluang projek seluruh dunia.
Dana dari geran adalah satu perbukaan. Namun kita mestilah lebih berwibawa dan bergagasan seperti negeri jiran serantau yang telah berupaya memastikan industri kreatif menyumbang 7% pada GDP berbanding 1% di Malaysia.
WALINONG SARI adalah satu permulaan yang baik. Namun kita perlukan lebih ramai pengkarya, penulis dan seluruh pengkarya bersatu untuk menaikkan industri. - DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]








