Tercalarkah Kualiti Persijilan Halal Antarabangsa Malaysia? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tercalarkah Kualiti Persijilan Halal Antarabangsa Malaysia?

Oleh AFIZAN AMER

Menelusuri selama sembilan tahun berturut-turut Malaysia kekal menduduki tempat pertama di dalam Indikator Ekonomi Islam Global (GIEI) 2022 sebagai sebuah negara yang kompetitif dan berdaya saing dalam membangunkan industri Halal di dalam dan luar negara.

 

Industri halal juga merupakan bidang industri penyumbang penting kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang mencatatkan industri Halal negara telah menyumbang sebanyak 7.4% kepada keseluruhan KDNK tahun 2022.

 

Dan dijangkakan sumbangan industri Halal akan terus meningkat pada tahun – tahun mendatang dengan jangkaan industri ini akan menyumbang RM 400 bilion atau 11% KDNK pada tahun 2030.

 

Lantas, apakah beberapa isu halal tempatan baru-baru ini akan menyebabkan industri halal antarabangsa Malaysia tercalar kualitinya dan dilihat kurang berdaya saing?

 

Dalam hal ni semua pihak berkepentingan dalam bidang halal di Malaysia seharusnya meletakkan komitmen yang amat tinggi dalam pembangunan dan pemerkasaan industri halal negara bukan sahaja di peringkat antarabangsa tetapi perlaksanaannya di dalam negara.

 

Hal ini seharusnya dibuktikan menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri ini semenjak lebih 30 tahun yang lalu.

 

Tetapi tindakan secara terurus juga seharusnya melibatkan pengurusan krisis isu halal dalam negara.

 

Jika kita lihat negara kita sudah acapkali diiktiraf sebagai negara yang terkemuka dengan persijilan Halal.

 

Ini kerana Malaysia mempunyai piawaian dan prosedur pensijilan halal yang kukuh dan komprehensif termasuklah Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) yang telah digunakan secara menyeluruh merangkumi semua aspek rantaian bekalan Halal, termasuk sumber, pemprosesan, penyimpanan, pengangkutan dan pengedaran.

 

 

halal

 

 

Maka tidak mungkin negara yang sehebat ini kurang terurus pengurusan krisis halal tempatan.

 

Malaysia juga telah menjadi negara pertama dunia yang mengeluarkan standard halal secara menyeluruh dan meluaskan konsep halal kepada beberapa skim lain seperti farmaseutikal, logistik, peranti perubatan dan kosmetik melalui pembangunan standard yang telah dibangunkan.

 

Seharusnya pengurusan halal tempatan seharusnya menunjukkan kematangan dalam menghadapi beberapa isu halal tempatan.

 

Bukti kejayaan Malaysia sememangnya tidak dapat disangkal lagi, seawal tahun 2004, Malaysia telah memperkenalkan MS1500:2004 iaitu garis panduan yang praktikal bagi industri makanan mengenai penyediaan dan pengendalian makanan halal atau peraturan asas produk makanan serta perdagangan atau perniagaan makanan.

 

Standard halal Malaysia tersebut kemudiannya telah diguna pakai di peringkat antarabangsa dan mendapat kepercayaan negara-negara OIC sebagai peneraju standard halal di antara negara-negara Islam.

 

Seharusnya ini menjadi satu penanda aras agar tidak berlaku lagi masalah-masalah krisis isu halal tempatan yang berlaku baru-baru ini.

 

Kejadian sebegini sedikit sebanyak mencalar imej persijilan halal negara di peringkat antarabangsa.

 

Kerjasama utuh antara agensi dan pemain industri seharusnya menjadi penyumbang utama dalam membangunkan kualiti ekosistem halal yang berdaya saing dan kompleks.

 

Ini akan menjadikan Malaysia berjaya menjadi destinasi utama bagi syarikat-syarikat di seluruh dunia untuk mendapatkan pensijilan halal melalui prosedur dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berwibawa. Ini juga mungkin akan tercalar jika krisis isu halal tempatan ini tidak ditangani secara terurus.

 

 

infiniti

 

 

Pemerolehan Sijil Pengesahan Halal Malaysia merupakan suatu pengiktirafan tertinggi bagi status kehalalan sesuatu produk atau perkhidmatan pada masa kini, dan apakah akan terjadi sekiranya krisis-krisis halal tempatan ini tidak diurus dengan cermat.

 

Jika tidak ditangani dengan baik isu ini akan merugikan adalah kerana Malaysia sudah terkenal sebagai pelopor utama kepada pembangunan prosedur Halal yang ketat baik di rantau Asia mahupun di peringkat global.

 

Pencapaian JAKIM yang telah diakreditasi oleh MS ISO/IEC 17065:2012 memperkuatkan lagi kedudukannya sebagai peneraju pensijilan Halal dunia.

 

Adakah ini tidak cukup untuk mengurus pengurusan halal tempatan?

 

Malaysia seharusnya berhati-hati dalam pengurusan isu halal tempatan kerana adakalanya status Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sangat berprestij cuba untuk dimanipulasi dan diburukkan oleh pihak tertentu mungkin secara lansung atau tidak lansung.

 

Dalam masa yang sama, semua pihak berkepentingan perlu sentiasa komited dalam menangani isu-isu halal yang menular di media sosial secara berulang pada setiap tahun.

 

Selain itu, bagi memastikan penyaluran maklumat yang tepat kepada pengguna berhubung perkembangan terkini industri halal di dalam dan luar negara, masyarakat perlu sentiasa celik dan cakna mengenai isu-isu semasa dan status kehalalan sesuatu produk kerana ia merupakan isu yang penting bukan sahaja untuk umat Islam tetapi menjadi penyumbang besar kepada sektor ekonomi.

 

Ini adalah kekuatan kita maka uruslah dengan sebaiknya. - DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.