Susu segar dihantar terus dalam botol ke depan pintu rumah di Aotearoa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Susu segar dihantar terus dalam botol ke depan pintu rumah di Aotearoa

Gambar dari laman FB New Zealand 1980s memories and 1990s Memories
Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

Tahun 1983, saya menjejakkan kaki ke tanah asing yang damai dan menghijau, dikenali penduduk asalnya sebagai Aotearoa — "tanah awan panjang putih".

 

Hawa musim bunga di Wellington begitu bening, seolah-olah membasuh segala keraguan dalam dada seorang pemuda perantau  yang cuba mencari makna hidup di bumi yang jauh dari tanah tumpah darahnya.

 

Saya tinggal di Wainuiomata, sebuah pekan yang terletak di lembah menghijau, dalam rumah  pasangan Kiwi yang saya panggil ibu dan bapa angkat — Ian dan Anne Smith. Mereka bukan petani, bukan penternak, tetapi manusia biasa yang berhati besar. 

 

Namun di sinilah saya mengenal sebuah rutin luar biasa — setiap pagi, saat embun masih menggantung di pucuk rumput dan burung tui mula bernyanyi, penjual susu akan datang tanpa suara, meletakkan botol kaca berisi susu segar di hadapan pintu. Kadang dua botol. Kadang satu, bergantung pada permintaan.

 

Susu dalam botol itu bukan sahaja segar, tetapi penuh kenangan. Harganya sekitar 30 sen New Zealand waktu itu— lebih murah daripada sebungkus gula-gula — tetapi nilai emosinya tidak boleh ditaksir dengan wang. Saya minum sebotol sehari, hampir tanpa gagal, dari tahun pertama hinggalah ke tahun-tahun terakhir saya di bumi Kiwi sebagai pekerja.

 

Botol kaca yang jernih, dingin dari embun subuh, dilitupi penutup berwarna yang menandakan jenis susu: biru untuk susu penuh krim, perak untuk susu homogen, dan hijau bagi susu rendah lemak. Kebiasaannya, setiap botol berisi 1 pain (kira-kira 568 ml).

 

Botol kaca itu bukan dibuang, tetapi dibilas dan diletakkan semula di luar rumah — dan esoknya diganti dengan botol baru yang penuh. Sistem itu dibina atas kepercayaan dan amanah, sesuatu yang saya pelajari sebagai budaya utama masyarakat New Zealand.

 

 

Fudzail

 

 

Kekadang, ada juga berlaku kejadian botol susu tidak ditemui di tempatnya. Pernah sekali, saya bangun pagi dan mendapati botol susu yang sepatutnya ada di beranda sudah tiada. Mungkin diambil oleh orang yang memerlukan, mungkin juga oleh jiran yang tersilap ambil. Namun kejadian begitu sangat jarang berlaku, dan ia tidak menjejaskan kepercayaan yang telah lama terbina. 

 

Pada tahun 1980-an: Sekitar 2.1–2.3 juta lembu tenusu secara purata. Kini (2023/24): Sekitar 4.7 juta lembu tenusu — dua kali ganda jumlah lama. Peningkatan ini mencerminkan perkembangan pesat industri tenusu New Zealand dalam beberapa dekad terakhir, walaupun jumlah lembu sedikit menurun dari puncak 4.8 juta ekor (~2020–2021).

 

Kisah Jenaka Penjual Susu

Dan dalam setiap komuniti, pasti wujud legenda, mitos dan jenaka. Antara yang paling popular ialah tentang penjual susu dan suri rumah.

 

Kononnya — dan saya ulang, kononnya — ada penjual susu yang sangat rajin, datang seawal jam 4 pagi, saat suami-suami keluar bekerja dan anak-anak masih berdengkur. Maka tinggallah para isteri di rumah dalam keheningan pagi, dan menurut cerita jenaka yang tersebar luas, beberapa penjual susu telah 'menyampaikan susu' melebihi sekadar keperluan nutrisi.

 

Ada yang kata penjual susu itu tampan, berbau segar seperti lembu jantan dan selalu membawa lebih dari dua botol. Ada yang mendakwa melihat kasut lelaki di beranda yang bukan milik si suami. Saya hanya mampu ketawa. Benar atau tidak, saya tidak pernah tanya. Tapi setiap masyarakat perlukan cerita seperti itu — untuk ketawa, untuk melepaskan tekanan, atau sekadar menambah warna dalam kehidupan yang tenang.

 

Yang saya pasti, penjual susu di kawasan saya tua dan berperut boroi — kalau benar dia ada hubungan dengan para suri rumah, itu pastilah kerana dia tahu resepi roti susu terbaik.

 

 

Fudzail

 

 

Teman-Teman dan Lembu yang Bangun Awal

Walaupun saya tidak tinggal di ladang, saya ada teman-teman yang tinggal dengan ibu bapa angkat yang merupakan penternak lembu tenusu. Mereka tinggal jauh sedikit dari pekan, di kawasan seperti Carterton, Levin dan Te Awamutu — di mana subuh tidak bermula dengan azan, tetapi dengan muuuuu... dari kandang lembu.

 

Saya pernah menginap di rumah mereka waktu cuti. Dan pada pukul lima pagi, mereka bangun. Belum sempat saya membuka mata dengan sempurna, mereka sudah bersarung but, membawa baldi, dan turun ke kandang. Saya yang masih mamai, disuruh ikut sama.

 

Di situlah saya belajar bahawa susu dalam botol kaca itu bukan datang dari langit, tetapi dari kerja keras manusia dan lembu. Lembu-lembu tenusu itu, besar dan tenang, berdiri dalam barisan menunggu giliran diperah. Saya diberi peluang memerah secara manual, akhirnya keluar juga beberapa titis yang saya anggap sebagai penghormatan lembu kepada pelajar luar negara.

 

Teman-teman saya akan selesai tugas sebelum jam tujuh pagi, mandi ringkas, makan roti sapu Vegemite, lalu naik bas sekolah. Saya kagum dengan semangat mereka — dan sejak itu, setiap kali saya minum susu, saya teringat wajah-wajah mereka yang bekerja sebelum matahari terbit.

 

Hitchhike ke Waikato: Susu dan Syukur

Tahun berikutnya, saya mengambil keputusan mengembara ke utara — dari Wainuiomata ke Waikato — untuk menyambung pelajaran di Universiti Waikato. Saya tidak punya banyak wang, jadi saya hitchhike, menumpang lori, kereta tua, malah van untuk ke seluruh pulau utara. Seronok dan pengalaman yang menguja bertemu ramai manusia, muda atau tua, lelaki atau perempuan atau pemandu lori.

 

Dalam satu perjalanan, saya ditumpangkan oleh seorang penternak ke kawasan Hawke’s Bay. Dia membawa saya ke ladangnya. Di situlah saya sekali lagi diberi peluang memerah susu lembu — kali ini secara lebih sistematik, dengan alat perahan berteknologi tinggi. Mereka minum susu hangat terus dari tangki kecil, dicampur serbuk koko. Saya turut sama — dan rasanya sungguh luar biasa.

 

Saya diberitahu bahawa seluruh Aotearoa menghasilkan berjuta liter susu sehari — cukup untuk rakyatnya dan dieksport ke seluruh dunia. Dan di sebalik angka itu, tersembunyi ribuan cerita manusia dan lembu — dan mungkin juga penjual susu yang masih jadi bualan orang.

 

 

Fudzail
Ladang lembu berlatar belakang Gunung Taranaki di New Plymouth, New Zealand

 

 

Universiti, Karton dan Kesunyian Botol

Sampai di Hamilton, saya menyambung tabiat saya: sebotol susu setiap hari. Tetapi sekitar 1987, saya mula melihat perubahan. Botol kaca mula digantikan dengan karton. Penjual susu ke rumah semakin pupus. Supermarket menjadi tumpuan. Tradisi subuh dengan bunyi botol kaca sudah tiada.

 

Perubahan ini sudah mencerminkan cita rasa pengguna yang makin beragam.

 

Kedai runcit dan pasar raya pula mula menawarkan susu dalam bekas plastik dan kotak kadbod. Bekas ini lebih mudah disimpan dan tahan lama. Maka, secara perlahan-lahan, susu dalam botol kaca mula kehilangan tempatnya.

 

Saya sempat menikmati lebih 1,000 botol susu sepanjang lima tahun saya di Aotearoa. Kini ia semua tinggal kenangan — tetapi kenangan yang melekat kuat.

 

Susu dan Jiwa Seorang Perantau

Hari ini, ketika saya minum susu dari kotak moden, kenangan itu menjelma semula — bukan sekadar tentang susu, tetapi tentang jati diri, penghargaan terhadap kerja keras, dan nilai kemanusiaan.

 

Susu dalam botol itu mengajar saya erti kesederhanaan, penghormatan terhadap alam, dan juga bagaimana jenaka kampung tentang penjual susu boleh menjadi sebahagian dari folklore yang menyatukan manusia.

 

Bagi saya, susu dalam botol kaca dari Aotearoa bukan sekadar minuman — ia adalah titisan kasih sayang, pelajaran hidup, dan warisan kenangan seorang perantau yang sudah menjadi warga emas. - DagangNews.com