Suami yang isterinya suri rumah tangga perlu baca artikel ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Suami yang isterinya suri rumah tangga perlu baca artikel ini

Oleh ARIFFIN SABIRIN

Selepas artikel saya minggu lepas, banyak soalan yang saya terima. Betulkah waris tidak dikenakan sebarang fi perkhidmatan pengurusan harta pusaka oleh Wasiyyah? Atau adakah ini sekadar helah pemasaran?

 

Bukankah lazimnya fi sebanyak beberapa ribu ringgit sehingga beberapa peratus daripada nilai harta pusaka dikenakan oleh penyedia perkhidmatan profesional di Malaysia? Bukankah waris juga terpaksa membayar pelbagai fi dan perbelanjaan jika mereka memilih untuk menguruskan sendiri hal ini?

 

Seorang sahabat yang telah bergelumang hampir 35 tahun dalam urusan harta pusaka orang Islam di Malaysia turut kehairanan dan bertanya sama ada hujah Wasiyyah ini benar.

 

Menurutnya, bukankah urusan harta pusaka mempunyai kos yang perlu ditanggung waris? Bagaimana pula Wasiyyah membantu waris melalui proses yang rumit ini tanpa mengenakan sebarang fi? “Tidak masuk akal,” katanya.

 

Bukankah Wasiyyah perlu mengeluarkan kos seperti bayaran carian hartanah di pejabat tanah, bayaran kerja lebih masa kakitangan yang terpaksa bergerak ke seluruh Malaysia, fi perintah oleh Pejabat Pusaka dan Mahkamah Tinggi Sivil, fi guaman serta pelbagai kos lain?

 

ARTIKEL BERKAITAN: Benarkah Urusan Harta Pusaka Mahal dan Membebankan Waris? Wasiyyah Uruskan Percuma Sahaja

 

Tambahan pula, dengan peningkatan harga minyak ketika ini—yang dijangka terus meningkat akibat konflik geopolitik—semua kos turut meningkat. Jika benar semua ini ditanggung oleh Wasiyyah bagi pihak waris, bukankah ia menjadi satu beban besar?

 

Bagaimana pula jika keadaan ekonomi semakin merudum pada masa hadapan? Adakah Wasiyyah akan terus menampung kos-kos ini? Bagaimana model ini boleh diperkenalkan dan dikekalkan?

 

Jawapan saya

Sambil tersenyum, saya katakan bahawa Allah yang membantu kami membangun dan melaksanakan idea modul perkhidmatan pengurusan harta pusaka secara percuma untuk waris. Itulah hakikatnya.

 

Perkhidmatan ini dikenali sebagai Al-Wasitah yang bermaksud ‘perantara’.

 

Sejak menceburi bidang ini pada 1998, saya melihat sendiri bagaimana kos pengurusan harta pusaka di Malaysia menjadi antara faktor utama yang melambatkan penyelesaiannya.

 

Proses perundangan sudah sedia rumit bagi waris yang tidak memahaminya, ditambah pula dengan kos yang tinggi dan membebankan.

 

Akibatnya, lebih RM90 bilion nilai harta pusaka masih kekal atas nama si mati dan belum diturunkan milik kepada waris yang berhak.

 

Tiga keadaan urusan pusaka selesai cepat

Berdasarkan pengalaman 28 tahun dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka di Malaysia, terdapat tiga keadaan yang mempercepatkan urusan harta pusaka:


1. Ada waris mempunyai masa lapang

Kewujudan waris yang mempunyai masa untuk melalui semua proses perundangan merupakan antara faktor penting. Mereka secara sukarela mengambil inisiatif menguruskan permuafakatan waris, pengumpulan dokumen, permohonan bicara kuasa hingga pendaftaran perintah di agensi berkaitan.


2. Ada waris mempunyai pengetahuan teknikal

Sekiranya terdapat waris yang mempunyai pengetahuan undang-undang berkaitan proses pusaka, ia sangat membantu mempercepatkan urusan. Waris ini mampu membimbing waris lain agar proses berjalan lancar.


3. Ada pihak profesional membantu

Situasi paling lazim ialah apabila terdapat pihak profesional seperti syarikat amanah atau peguam yang membantu waris menguruskan keseluruhan proses dengan teratur.

 

Faktor persamaan bagi ketiga-tiga keadaan ini ialah kewujudan ‘enabler’, iaitu kapasiti kewangan. Waris yang mempunyai kemampuan kewangan tidak menghadapi masalah untuk meluangkan masa atau membayar perkhidmatan profesional.

 

Namun, jika waris yang ditinggalkan ialah suri rumah tangga dengan anak-anak di bawah umur 18 tahun serta ibu bapa yang lanjut usia, isu kewangan menjadi cabaran besar. Tambahan pula, balu yang masih dalam tempoh iddah mempunyai keterbatasan pergerakan.

 

Pada peringkat awal selepas kematian, ramai yang hadir menziarah dan menghulurkan bantuan. Namun, apabila semua itu reda, si balu terpaksa meneruskan kehidupan membesarkan anak-anak yatim bersendirian.

 

Harta pusaka yang ditinggalkan, khususnya rumah jika ada, mampu membantu, tetapi siapakah yang akan membimbing mereka melalui proses perundangan yang kompleks ini? Adakah wujud pihak yang mampu membantu secara percuma?

 

Fungsi sebenar Al-Wasitah

Pepatah ‘jika ada wang, banyak urusan menjadi mudah’ sering kali benar dalam konteks harta pusaka. Walaupun tidak menggunakan perkhidmatan profesional, waris tetap perlu menanggung kos tertentu.

 

Di sinilah Al-Wasitah memainkan peranan penting. Ia merupakan perkhidmatan pengurusan harta pusaka inovatif yang membantu waris melalui proses perundangan secara percuma—yang pertama seumpamanya di Malaysia dan, setakat pengetahuan saya, masih unik hingga kini.

 

Semasa hayat, suami melanggan perkhidmatan Al-Wasitah yang merangkumi penyediaan wasiat dan dokumen pelantikan wasi. Sebahagian bayaran disalurkan ke dalam akaun tabarru’ yang dipegang secara amanah oleh Wasiyyah selaras dengan Seksyen 8 Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100).

 

Melalui Panel Syariah yang berpengalaman dalam muamalat dan fiqh mawarith, konsep ta’awun diperkenalkan. Semua peserta tabung tabarru’ bersetuju untuk saling membantu menampung kos pengurusan harta pusaka apabila berlaku kematian dalam kalangan peserta.

 

Kontrak perkhidmatan antara Wasiyyah dan peserta turut memperincikan tanggungjawab kedua-dua pihak. Apabila berlaku kematian, Wasiyyah akan membantu waris melalui keseluruhan proses perundangan tanpa sebarang fi tambahan kerana kos ditampung daripada tabung tersebut.

 

Melalui pendekatan ini, Wasiyyah telah membantu lebih 800 balu dan waris menguruskan harta pusaka tanpa beban kewangan. Ini bukan sahaja memudahkan, malah memberi ketenangan kepada waris yang ditinggalkan.

 

Kepada para suami yang mempunyai isteri suri rumah tangga sepenuh masa dan anak di bawah umur 18 tahun, serta kepada ibu bapa yang menyayangi anak-anak, tanyalah diri sendiri:

 

Mahukah anda meninggalkan waris tersayang dengan beban kewangan untuk menguruskan harta pusaka, sedangkan anda mempunyai pilihan untuk mengelakkan situasi tersebut melalui Al-Wasitah?

 

Tepuk dada, tanya iman. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd