​​​​​​​Benarkah Urusan Harta Pusaka Mahal dan Membebankan Waris? Wasiyyah Uruskan Percuma Sahaja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

​​​​​​​Benarkah Urusan Harta Pusaka Mahal dan Membebankan Waris? Wasiyyah Uruskan Percuma Sahaja

Oleh ARIFFIN SABIRIN

Perang di Timur Tengah semakin memuncak. Setiap hari kita dihidangkan dengan berita yang semakin membimbangkan. Gangguan bekalan minyak dunia akibat konflik di Selat Hormuz dan kini Bab al-Mandab pula, dua selat yang merupakan laluan dagangan terpenting dunia, sangat menyesakkan dada.

 

Sebagai negara dagangan, Malaysia tidak terkecuali daripada menerima tempias perang ini. Kenaikan harga diesel dan minyak pastinya akan meningkatkan harga barangan keperluan domestik, sekali gus menyebabkan inflasi yang tidak terkawal.

 

Permintaan barangan akan merosot, syarikat perniagaan akan mengurangkan kos, dan pemberhentian pekerja akan berlaku secara besar-besaran.

 

Kos pengeluaran yang meningkat akan menyebabkan harga barangan melambung, manakala kuasa beli pengguna juga akan merosot.

 

Ada sesetengah pakar ekonomi berpandangan keadaan ekonomi yang mencabar ini akan berlarutan dalam tempoh yang agak panjang kerana walaupun perang berhenti, kebanyakan infrastruktur tenaga seperti minyak dan gas di Timur Tengah telah pun musnah. Bekalan minyak dunia tidak akan pulih dengan cepat.

 

Apabila Kematian Berlaku di Saat Ekonomi Gawat

Di tengah-tengah kegawatan ekonomi ini, tiba-tiba berlaku pula kematian si ibu atau si bapa, seperti kisah penunggang motosikal yang dirempuh kereta oleh pemandu mabuk di Klang baru-baru ini, benar-benar menyayat hati dan perasaan kita.

 

Waris yang ditinggalkan kini berada dalam keadaan tersepit dan terkapai-kapai, terutamanya waris di bawah umur 18 tahun. Kehilangan tempat bergantung hidup dan kasih sayang bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi pada usia yang begitu muda.

 

Si ayah mungkin ada meninggalkan serba sedikit harta pusaka seperti akaun bank, kenderaan ataupun rumah yang masih dalam pembiayaan institusi kewangan. Harta pusaka ini amat diperlukan bagi meneruskan kelangsungan kehidupan mereka.

 

Apakah yang perlu dilalui oleh waris di bawah umur dan balu untuk menuntut harta pusaka ini? Pastinya, apa yang tidak dapat dielakkan ialah proses perundangan sama ada di Mahkamah Syariah, Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil. Hanya selepas segala proses ini dilalui, barulah harta pusaka itu dapat dipindah milik kepada waris yang berhak. Tiada jalan pintas, tiada laluan hijau (green lane).

 

Secara purata, sekiranya waris cukup berpengetahuan mengenai selok-belok proses perundangan ini dan boleh bermuafakat dengan mudah, ia boleh diselesaikan dalam tempoh antara tiga hingga lapan bulan.

 

Namun, sekiranya waris kurang faham dan permuafakatan sukar dicapai, terdapat juga kes yang berlarutan sehingga bertahun-tahun lamanya.

 

Apakah Kos yang Perlu Ditanggung Waris dalam Urusan Harta Pusaka?

Terdapat empat kategori kos yang perlu ditanggung oleh waris. Kos pertama berlaku apabila waris membuat keputusan untuk menguruskan sendiri permohonan harta pusaka tanpa bantuan mana-mana pihak profesional.

 

Warislah yang mengisi sendiri borang dan menyediakan semua dokumen sokongan yang diperlukan seperti salinan kad pengenalan waris, sijil nikah si mati, carian hartanah tempat si mati memiliki aset, serta maklumat tentang akaun bank atau aset-aset lain milik si mati.

 

Untuk memperoleh semua dokumen ini, waris perlu bergerak ke pejabat tanah dan institusi kewangan berkenaan. Pergerakan ini memerlukan kos seperti mengisi minyak, membayar tol, makan minum atau kos penginapan di hotel.

 

Memang kos ini boleh dituntut daripada waris-waris lain kerana kesemua waris menerima bahagian masing-masing daripada harta pusaka, tetapi siapakah yang perlu mendahulukan kos ini? Pastinya ia ditanggung oleh waris yang mengambil inisiatif menggerakkan proses perundangan tersebut.

 

Jika waris menguruskan sendiri, mereka juga perlu mengeluarkan kos kedua iaitu kos statutori yang dikenakan oleh agensi berkenaan seperti fi carian di pejabat tanah. Waris juga perlu membayar fi perintah yang dikenakan oleh Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil.

 

Pada peringkat pemindahan milik harta berdasarkan perintah yang dikeluarkan, terdapat juga kos yang dikenakan oleh pihak berkuasa negeri. Kos-kos ini memang tidak dapat dielakkan.

 

Jika waris merasakan proses ini terlalu sukar dan ingin menggunakan perkhidmatan profesional seperti syarikat amanah, peguam atau individu, akan ada pula fi perkhidmatan yang dikenakan. Ini merupakan kategori kos ketiga.

 

Berapakah jumlah fi ini? Ia biasanya bermula daripada beberapa ribu ringgit sehingga beberapa peratus daripada nilai harta pusaka yang ditinggalkan. Contohnya, jika harta pusaka itu bernilai RM1 juta (hartanah, akaun bank dan lain-lain) dan fi pengurusan harta pusaka ialah 2%, maka kos pengurusan tersebut ialah RM20,000.

 

Ini tidak termasuk fi lain seperti fi guaman, fi carian, fi perjalanan dan segala fi yang berkaitan dengan proses tersebut. Dalam banyak keadaan yang saya temui, walaupun fi yang dinyatakan ialah 2%, keseluruhan fi boleh mencecah sehingga 10% apabila proses perundangan selesai.

 

Kos keempat yang perlu dihadapi waris ialah kos melepas (opportunity cost). Jika waris menguruskan sendiri kes pusaka itu, mereka perlu meluangkan masa yang panjang dan terpaksa mengorbankan kerja lain yang sepatutnya boleh dilakukan dalam tempoh tersebut.

 

Jika menggunakan perkhidmatan profesional pula, mereka perlu membayar fi yang agak besar, sekali gus melepaskan peluang menggunakan wang tersebut untuk tujuan lain.

 

Wasiyyah Uruskan Harta Pusaka Secara Percuma

Jadi, apakah pilihan yang waris ada? Sebenarnya, mereka tiada pilihan. Jika ibu bapa atau ahli keluarga telah meninggal dunia, suka atau tidak, salah satu daripada kategori kos ini perlu dihadapi oleh waris. Inilah harga yang perlu dibayar jika mereka mahu menuntut harta pusaka yang ditinggalkan.

 

Menyedari hakikat ini, Wasiyyah memperkenalkan perkhidmatan khairat pusaka yang dikenali sebagai AL-WASITAH.


 

Wasiyyah

 


Bagi 40,000 pelanggan kami di seluruh Malaysia, apabila mereka meninggal dunia, waris tidak perlu berhadapan dengan empat kategori kos ini. Wasiyyah ialah satu-satunya syarikat amanah yang menawarkan perkhidmatan unik ini.

 

Melalui konsep tabung tabarru’, iaitu sumbangan kolektif pelanggan semasa hidup dengan akad ta’awun (tolong-menolong), apabila berlaku kematian, segala kos perundangan akan ditampung melalui tabung ini.

 

Pasukan profesional Wasiyyah akan membantu waris melalui semua proses perundangan sama ada di Mahkamah Tinggi Sivil atau Pejabat Pusaka Kecil. Fi carian hartanah dan bayaran perintah juga akan ditanggung melalui tabung ini.

 

Waris tidak perlu membayar fi perkhidmatan kerana ia turut ditampung oleh tabung tabarru’ ini. Ini bermakna waris akan menerima harta pusaka tanpa perlu bersusah payah berulang-alik ke pelbagai agensi dan tanpa perlu membayar sebarang fi kepada Wasiyyah.

 

Dalam keadaan ekonomi gawat seperti ini, jika anda ditakdirkan meninggal dunia, bukankah perkhidmatan AL-WASITAH ini sangat membantu waris?

 

Jika anda benar-benar menyayangi waris dan tidak mahu mereka terbeban, hubungilah daie Wasiyyah untuk mendapatkan perkhidmatan ini. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd