Sports Toto langgan sukuk: Pelik atau kita yang salah faham kewangan Islam? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sports Toto langgan sukuk: Pelik atau kita yang salah faham kewangan Islam?

Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA

Sports Toto. Sukuk.

 

Ramai terpegun sekejap.

 

Sports Toto Berhad melanggan Sukuk Wakalah bernilai RM25 juta dengan kadar keuntungan 7% setahun.

 

Bukan sebab RM25 juta. Sebab dua nama itu jarang kita bayangkan duduk dalam ayat yang sama.

 

Di situlah cerita ini jadi lebih menarik.

 

Selepas sekian lama kewangan Islam berkembang di Malaysia, masih ada satu perkara yang ramai mungkin tersalah anggap. Bila ada perkataan “Islamic”, kita cepat fikir produknya khas untuk orang Islam sahaja.

 

Sebenarnya tidak.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sports Toto langgan sukuk Wakalah RM25 juta pada kadar keuntungan 7% setahun

 

“Islamic” bukan bermaksud untuk orang Islam sahaja

Bank tidak akan meminta seseorang masuk Islam dahulu sebelum membuka akaun perbankan Islam. Manakala untuk membeli sukuk pula, agama pembelinya bukan persoalan sebelum transaksi dibuat.

 

Yang dinilai ialah produk, struktur dan kontrak yang digunakan.

 

Sebab itu pelabur bukan Islam boleh membeli sukuk. Syarikat konvensional juga boleh menggunakan produk kewangan Islam. Dana konvensional pula boleh membeli instrumen patuh Syariah jika mandat pelaburannya membenarkan.

 

Duit tidak ada agama. Kontrak sebenarnya yang ada syarat.

 

Tetapi Sports Toto? Nampak janggal, bukan?

 

Bila nama Sports Toto muncul bersama perkataan sukuk, soalan pertama yang mungkin terlintas: bukankah perjudian merupakan aktiviti yang tidak patuh Syariah?

 

Ya. Tetapi kita kena bezakan satu perkara.

 

Menerbitkan sukuk dan membeli sukuk ialah dua perkara berbeza.

 

Dalam kes ini, Sports Toto ialah pihak yang melanggan instrumen tersebut. Jadi yang perlu dilihat ialah sukuk apa yang dibeli, bagaimana ia distrukturkan dan siapa penerbitnya – bukan sekadar melihat nama pembeli kemudian terus membuat kesimpulan.

 

Jangan tengok label sahaja. Tengoklah pada struktur produk.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sports Toto melanggan sukuk RM25 juta: Mengapa semakin ramai bukan Islam pilih kewangan Islam?

 

Syariah bukan tengok IC pembeli

Jika seorang bukan Islam membeli produk kewangan Islam, produk itu tidak tiba-tiba menjadi tidak patuh Syariah hanya kerana pembelinya bukan Islam.

 

Begitu juga seorang Muslim tidak boleh menganggap sesuatu transaksi automatik patuh Syariah hanya kerana dia Muslim.

 

Syariah tidak membuat saringan berdasarkan nama pemilik akaun. Ia melihat transaksi.

 

Sebab itu dalam sistem kewangan Islam ada badan penasihat Syariah, rangka kerja khusus dan proses semakan terhadap kontrak serta instrumen yang ditawarkan.

 

Dalam perbankan Islam dan takaful, Bank Negara Malaysia mempunyai Majlis Penasihat Syariah. Dalam pasaran modal Islam pula, Suruhanjaya Sekuriti mempunyai Majlis Penasihat Syariahnya sendiri.

 

Jadi kalau sesuatu transaksi nampak pelik pada pandangan pertama, jangan cepat sangat jatuhkan hukum berdasarkan nama syarikat.

 

Semak dulu apa yang sebenarnya berlaku.

 

Ada satu lagi perkara yang perlu dibezakan. Status patuh Syariah sesuatu instrumen dan persoalan mengenai sumber dana yang digunakan oleh pelabur bukan semestinya perkara yang sama.

 

Seperti dijelaskan oleh Dr Razli Ramli dalam tulisannya di DagangNews, sesuatu sukuk tidak hilang status patuh Syariahnya semata-mata kerana ia dibeli oleh entiti yang aktiviti terasnya tidak patuh Syariah.

 

Bagaimanapun, beliau turut membangkitkan persoalan berbeza sekiranya dana yang digunakan untuk membeli sukuk itu datang secara langsung daripada aktiviti yang diharamkan.

 

Maknanya, status sukuk dan sumber dana pembeli ialah dua perkara yang perlu dibezakan.

 

Perbezaan ini penting supaya kita tidak mencampurkan dua perkara kemudian membuat satu kesimpulan mudah.

 

ARTIKEL DR RAZLI RAMLI: Apabila Sports Toto memilih sukuk Islam, masihkah instrumen itu patuh Syariah?

 

Dana konvensional pun boleh beli

Satu lagi kekeliruan ialah anggapan bahawa hanya dana Islam boleh membeli instrumen patuh Syariah.

 

Tidak juga.

 

Dana Islam memang mempunyai mandat yang lebih khusus dan pelaburannya perlu mematuhi parameter Syariah yang telah ditetapkan.

 

Dana konvensional pula tidak semestinya mempunyai sekatan yang sama. Jika mandat pelaburannya membenarkan, sukuk tetap boleh dipertimbangkan seperti instrumen lain – berdasarkan pulangan, risiko, kecairan, tempoh matang dan kesesuaian dengan portfolio.

 

Kalau pulangannya menarik dan risikonya sesuai, kenapa tidak?

 

Pelabur akhirnya melihat benda yang sama juga: risiko berapa, pulangan berapa.

 

Kewangan Islam bukan tentang mengehadkan siapa yang boleh membeli. Yang penting ialah bagaimana transaksi itu mesti dibentuk.

 

RM25 juta, tetapi pelajarannya lebih besar

Sebab itu Sports Toto melanggan sukuk RM25 juta ini menarik.

 

Bukan kerana RM25 juta itu terlalu besar dalam dunia pasaran modal. Tetapi kerana ia menunjukkan satu perkara yang masih ramai terlepas pandang.

 

Kewangan Islam bukan sistem kewangan yang diwujudkan untuk mengasingkan pelanggan Muslim dan bukan Muslim. Ia menawarkan satu kerangka transaksi dengan prinsip, kontrak dan batas tertentu.

 

Siapa sahaja boleh menggunakannya.

 

Kalau mahu kewangan Islam terus berkembang di peringkat global, produknya juga perlu berdiri atas merit sendiri. Strukturnya masuk akal. Risikonya jelas. Pulangannya kompetitif. Tadbir urusnya baik.

 

Patuh Syariah itu asas.

 

Tetapi pelabur tetap akan bertanya soalan biasa: berapa pulangan, apa risikonya dan bila saya boleh dapat duit balik?

 

Sports Toto melanggan sukuk mungkin nampak pelik pada pandangan pertama.

 

Bila difahami, sebenarnya tidaklah pelik sangat.

 

Yang pelik ialah ramai masih fikir produk kewangan Islam hanya untuk orang Islam. - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM