SITI ZUBAIDAH RATU KEMBAYAT Kisah dari Syair Melayu lama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SITI ZUBAIDAH RATU KEMBAYAT Kisah dari Syair Melayu lama

Oleh NINOT AZIZ

Bonda saya sering bercerita, sewaktu beliau kecil, pada bulan Ramadan, selepas selesai solat Isyak, neneknya akan bercerita dan bersyair. Salah satu syair paling popular adalah kisah Syair Siti Zubaidah. 

 

Sepanjang bulan Ramadan ini, saya kongsikan kisah tentang keberanian seorang wanita membantu sahabatnya, Puteri Yunan. Keberanian seorang Ratu menegakkan nusa bangsa. Keberanian seorang Permaisuri menegakkan cintanya. 

 

Dikatakan ini kisah indah dari Champa, di mana orang Champa ditindas dan dihalau dari kampung halaman sendiri pada kurun ke-20. Namun keagungan tamadunnya berkekalan hingga hari ini. 

 

Wallahualam. 


 

hikayat

 

 

Pada zaman dahulukala, wujud sebuah kerajaan dipanggil Kembayat Nagara. Di kemuncak kehebatan negara, Darman Syah memerintah dengan begitu aman damai, disayangi seluruh rakyat jelata. 

 

Mereka yang bijak pandai, adiguru ilmu lama dan orang kaya sejauh China, India, Iraq, Yunan dan Portugal tiba di Kembayat Nagara saban hari. Para pedagang membawa setiap jenis barang-barangan dan berita dunia.  Tanahair Kembayat Nagara begitu makmur, rakyatnya gembira dan kehidupan seharian begitu aman. 

 

Cuma Raja Darman Syah begitu inginkan  waris takhta dan berjanji sebaik saja seorang putera dilahirkan, ianya akan terus diisytiharkan sebagai pemerintah apabila telah berumur. 
 

Tidak lama kemudian, permaisuri disahkan mengandung. Raja gembira tidak terhingga.  Apabila putera dilahirkan, raja melantik empat wanita dari keluarga diraja, yang diketuai oleh Siti Raudhiah, seorang wanita yang lemah lembut dan bijak, sebagai pengasuh diraja.

 

Semasa putera berumur 4 tahun, empat pemuda - Jaafar Siddiq, Umar Baki, Abdullah Sani dan Muhammad Muhiyuddin - telah dipilih untuk menjadi sahabat putera tuanku yang diberi nama Putera Zainal Abidin. Sebaik saja akil baligh, putera ditabalkan menjadi Raja. 
 

Selang beberapa tahun kemudian, seorang pedagang dari China - Cincu Wangkang belayar ke pelabuhan pada waktu ufuk fajar menyinsing. Sebaik tiba, beliau berjumpa pelanggan terbaiknya, Dato Berida yang sedang bergegas ke istana kerana urusan penting. Cincu Wangkang berjanji akan menyimpan barangannya untuk Dato sehingga waktu malam. 

 

Tetapi peniaga tamak itu menjual barangan kepada pembida yang lebih tinggi di waktu tengah hari. Apabila Dato Berida dimaklumkan sudah habis semua barangan di kapal Cincu Wangkang, maka dia berarak dengan segera ke kapal yang berlabuh di pelabuhan. 

 

“Cis! Kamu tidak faham maksud berjanji, Cincu Wangkang?"

“Saya kurang periksa, Tok”

“Wah! Kamu kurang ajar, ye? Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya.”

“Saya bukan kerbau, Tok Berida.”

Maka perang mulut tercetus - semakin lama semakin bingit. Sekumpulan peniaga lain datang menyemarakkan lagi suasana itu. Sampailah perihal khabar ke istana. 

 

Kebetulan pada hari yang sama, Sultan Zainal Abidin pergi memburu, kerana bondanya teringin bersantap daging rusa jantan.

 

Oleh kerana itu,  Raja Darman Shah, terpaksa menyelesaikan pertikaian Dato Berida dan Cincu Wangkang itu. Selepas mendengar Dato Berida dan Cincu Wangkang, baginda mendapati Cincu Wangkang bersalah kerana janji itu tetap janji. 

 

Pedagang yang panas baran dan angkuh itu berteriak di dalam istana, “Raja ini tidak adil! Raja dirasuah. Padahlah nanti. ” 

 

Darman Shah begitu amarah dan memerintahkan Cincu Wangkang dicampak ke dalam penjara serta-merta. Cincu Wangkang tiba-tiba tersenyum. 

 

“Kau tengoklah nanti...” bisik hari kecilnya.

Cincu Wangkang dibawa pergi oleh pengawal istana. 


 

Kembayat Nagara

 


Diam diam ubi berisi
Ada udang di sebalik batu

 

Cincu Wangkang mendiamkan diri semasa ditahan di dalam penjara. Disuruh makan, dia pun makan. Disuruh tidur, dia pun tidur. Tidak berkata sepatah madah. Tidak marah dan tidak suka. 

 

Baik tak baik, dapat dihantar sepatah dua kata ke Maharaja China. Jatuh terduduk di atas takhta membaca surat kerana Cincu Wangkang itu saudara besarnya. 

 

“Raja Kembayat Negara yang muda ini sudah biadap,” kata Maharaja China yang tidak usul periksa keadaan sebenar kerana terlalu marah. 

 

Sebenarnya, Sultan Zainal Abidin tidak tahu menahu tentang pergaduhan Dato Beridaq dan Cincu Wangkang itu. Pulang dari memburu, semua tangkapan dihantar ke istana bondanya dan terus masuk bersiram dan beradu kerana keletihan yang luar biasa.

 

Pada malam itu, Sultan Zainal Abidin bermimpi seorang puteri yang rupawan mengalunkan bacaan al-Quran yang sungguh indah.   

 

“Gemerlipan bintang di langit, tiada sejelita bidadari ini. Seindah mentari pagi, cantik lagi buah hatiku. Seterang-terang bulan purnama, matanya memancarkan cahaya keimanan.” 

 

Sultan Zainal Abidin pun terjaga.  Dan tidak dapat tidur lagi. Sehari tidak dapat berfikir. Malam hari ingin cepat beradu, rindukan puteri dalam mimpi. 

 

Sebulan berlalu. Sultan tidak makan dan minum. Mukanya cengkung. Langkahnya longlai. Matanya kuyu. Raja Darman Syah menerajui segala urusan. Bonda Permaisuri risaukan keadaan Sultan. Kawan akrab Sultan begitu hairan dan risau melihat perihal Sultan. 

 

Akhirnya, Bonda Permaisuri menasihatkan Jaafar Siddiq untuk membawa Sultan belayar melihat-lihat negeri orang. Jaafar Siddiq bersetuju dan masuk mengadap. Dia pun berkata, “Tuanku, marilah kita mengembara. Jauh perjalanan, luas pandangan.”


 

hikayat

 


Barulah Zainal Abidin seolah-olah terjaga dari mimpi. “Cadangan yang baik, Jaafar. Marilah membuat persiapan. Memanda Bendahara mesti membantu Ayahanda mentadbir negeri. Dan perbendaharaan mesti ditadbir urus dengan baik. Kita mungkin belayar jauh dan singgah di semua negeri melihat kebudayaan dan hal dagang seantaro Dunia Melayu dan lain lain kerajaan.”

 

“Baik sekali, Tuanku. Mungkin perjalanan ini mengambil masa  tiga purnama, Tuanku. Patek akan uruskan bekalan dan anak kapal dan kelasinya.”

 

Sultan Zainal Abidin pun berlayar bersama sahabat akrabnya berempat itu dan 200 anak kapal. Perjalanan baginda membawa kapal DiRaja ke serata pelusuk Nusantara dan akhirnya sampai di Negeri Peringgi di mana beliau bertemu Pendita Alam, yang warak dan berhemah tinggi.

 

Pendita Alam menyambut Zainal Abidin serta sahabat dengan mesra. Makan minum bersama dan bertukar pendapat. 

 

Sebelum pulang ke kapal pada hari pertama di Peringgi, Zainal Abidin keluar meninggalkan rumah lambat sedikit, bersalaman dengan tuan rumah seadanya. Tiba-tiba berkumandang suara merdu membacakan ayat ayat suci. 

 

Langgamnya elok suaranya merdu
Seperti bunyi buluh perindu
Halus manis bunyi merdu
Seperti bercampur gula dan madu 

 

Terpegun Zainal Abidin mendengarnya, dan apabila kembali ke kapal, terus berbincang dengan rakan-rakan baginda bagaimana muslihat untuk melihat tuanpunya badan suara yang memukau itu.

 

BERSAMBUNG MINGGU HADAPAN  - DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA