Perjalanan Haji Tanpa Visa | Oleh Mohd Fudzail Mohd Nor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perjalanan Haji Tanpa Visa | Oleh Mohd Fudzail Mohd Nor

Pada tahun 2000, takdir Ilahi membawa saya ke Riyadh, ibu negara Arab Saudi. Ketika itu saya baru sahaja kehilangan pekerjaan di tanah air, dibuang kerja dari sebuah stesen televisyen nasional.

 

Kesempatan diambil untuk berkelana mencari rezeki di bumi asing, lantas saya menerima tawaran sementara sebagai konsultan di sebuah syarikat teknologi maklumat yang sedang berkembang. 

 

Kesepian mula berakar, saya berseorangan di kota gurun ini, menanti angin perubahan dari Dubai yang khabarnya mahu melantik saya menyertai pengurusan projek mega mereka – Dubai Internet City.

 

Namun, belum sempat impian itu bertunas, hati saya disentuh oleh satu rasa yang tidak dapat diterangkan dengan logik – kerinduan untuk menunaikan ibadah haji.

 

Mungkin itulah yang dimaksudkan dengan 'panggilan haji'. Saya berada di tanah haram, maka mengapa harus disia-siakan peluang ini? Tanpa banyak pertimbangan, saya mengajak seorang rakan sekerja ke pejabat Kementerian Haji di Riyadh. Pejabat yang biasanya sibuk itu sunyi sepi, hanya seorang petugas kelihatan di kaunter. Rupa-rupanya, pendaftaran haji telah lama ditutup kerana hanya tinggal dua minggu lagi sebelum wukuf di Arafah.

 

Namun, saya gagahkan diri mendekatinya. Dengan nada yang hampir berputus asa, saya bertanya: "Masih adakah peluang untuk mendapatkan visa haji?"

 

Lelaki Arab itu memandang saya lama. Kemudian katanya, "Pendaftaran telah lama ditutup. Dua minggu lagi jemaah akan wukuf."

 

Saya tertunduk, kecewa.


 

wainuiomata

 


Namun tiba-tiba dia berkata dalam bahasa Arab, "Tetapi saya tidak boleh berkata 'tidak' kepada kamu. Daripada wajah kamu, aku yakin kamu adalah tetamu Allah."

 

Saya terkedu.

 

"Berikan pasport kamu, saya akan cop visa."

 

Dengan hati berbunga harapan, saya menghulurkan pasport. Tetapi dia terhenti sejenak. "Oh! Ini bukan pasport haji Malaysia. Pasport haji kamu sepatutnya berwarna hijau."

 

Saya baru teringat – ya, rakyat Malaysia yang mengerjakan haji menggunakan pasport khas berwarna hijau.
Kekecewaan kembali menyesakkan dada.

 

Namun lelaki itu hanya tersenyum. "Sekali lagi saya katakan, kamu ini tetamu Allah. Saya tak mampu menolak permintaan kamu."

 

Dengan pantas dia mengecap satu visa di atas sekeping kertas kecil dan menyelitkannya ke dalam pasport saya. "Wahai tetamu Allah, pergilah. Jangan pandang ke belakang. Teruskan perjalanan hajimu."

 

Saya tergamam. Bukankah itu hanya sehelai kertas? Ia bukan visa rasmi. Saya tahu hukuman kerana menunaikan haji tanpa visa adalah berat – boleh ditangkap, didenda, atau dihantar pulang.

 

Namun, wajah lelaki itu penuh yakin.
"Pergilah, Allah akan menjaga perjalanan kamu."

 

Air mata saya menitis. Hati bergetar. Benarkah ini panggilan Ilahi? Atau sekadar ilusi seorang perantau yang kesepian?
Hari itu juga saya ke sebuah restoran Indonesia di Riyadh. Restoran itu menjadi tempat pertemuan warga Indonesia, dan di situlah juga terdapat syarikat pengurusan jemaah haji. Dengan penuh harapan, saya menunjukkan kertas visa itu kepada petugas.

 

"Ini bukan visa sah," katanya tegas.

 

Saya cuba menjelaskan keadaan yang sebenar, menceritakan tentang petugas di Kementerian Haji, tentang wajah yang dilihat sebagai tetamu Allah.

 

Namun petugas itu tetap tidak berganjak. "Kami tidak berani ambil risiko, Pak. Kalau terjadi apa-apa di tengah jalan, kami yang susah."

 

Saya merayu, namun semuanya hampa.


 

parafrasa

 


Sahabat saya menyarankan agar saya mencuba syarikat lain. Dengan teksi saya menjelajah dari satu syarikat ke satu syarikat. Namun jawapan mereka tetap sama – mereka tidak mahu mengambil risiko menerima visa yang hanya tercetak di atas kertas.

 

Saya termenung panjang. Kata-kata lelaki di pejabat haji tadi terngiang-ngiang di telinga. "Pergilah, wahai tetamu Allah. Allah menjaga perjalananmu."

 

Saya terkenang pula kepada arwah ayah, yang dihantar menaiki kapal ke Makkah ketika masih kecil untuk menuntut ilmu. Perjalanan enam bulan di lautan, tanpa jaminan keselamatan, hanya berbekalkan iman dan harapan. Kini giliran saya pula diuji.

 

Saya tidak mudah mengalah. Setiap hari saya kembali ke restoran Indonesia, memujuk syarikat-syarikat yang beroperasi di situ. Namun pintu masih tertutup. Kemudian saya mendapat tahu tentang seorang pensyarah Indonesia di Universiti Islam Madinah yang mengetuai rombongan haji warga Indonesia dari Riyadh. Beliau turut mengendalikan kursus haji.

 

Saya mencari beliau. Waktu semakin suntuk – hanya tinggal lima hari sebelum rombongan itu berangkat. Saya akhirnya menemuinya di sebuah restoran. Dengan hati yang terbuka, beliau mendengar cerita saya.

 

"Ya, saya juga yakin kamu tetamu Allah," katanya perlahan.

 

Beliau menghubungi sebuah syarikat pengurusan haji dan bertanya sama ada saya boleh disertakan dalam rombongan.

 

"Kamu sanggup ambil risiko?" tanyanya.
"Insya-Allah," jawab saya. "Saya yakin ini takdir saya."

 

Beliau membawa saya ke pejabat syarikat berkenaan. Walaupun pada awalnya keberatan, akhirnya mereka menerima saya selepas saya membayar 500 riyal untuk tambang bas dan 800 riyal lagi untuk penginapan lapan hari.

 

Saya dimasukkan dalam kumpulan 40 bas jemaah haji Indonesia dari Riyadh – kebanyakannya supir, pembantu rumah dan pekerja kontrak. Saya satu-satunya bukan warga Indonesia dan bukan pekerja buruh.
Alhamdulillah, ujian pertama telah berlalu.

 

Saya tidak pernah menghadiri kursus haji. Namun pensyarah itu menenangkan saya, "Mengerjakan haji itu mudah. Ikhlas dan niat yang utama."

 

Saya melayari internet, membaca buku panduan haji, mempelajari rukun dan wajib haji dalam waktu yang singkat. Hati berdebar tetapi penuh harap. Doa tidak putus-putus dipanjatkan.

 

Hari keberangkatan tiba. Ratusan jemaah berhimpun di stesen bas. Saya membawa hanya sebuah beg plastik berisi dua helai baju Melayu, dua helai jubah, kain pelikat, pakaian dalam dan seluar. Saya berselipar sahaja. Saya sudah biasa dengan gaya pengembaraan ringkas.

 

Sebaik memperkenalkan diri dalam bas, mereka memandang dengan hairan. "Apa pekerjaan Bapak di sini?"

 

Kami cepat mesra. Ramai berebut ingin duduk sebelah saya, mungkin kerana saya satu-satunya yang berlainan latar.
Konvoi 40 bas perlahan-lahan meninggalkan Riyadh menuju ke Makkah melalui Taif. Di sepanjang jalan, sekatan polis dan tentera menjadi kebiasaan.

 

Setiap kali bas diperiksa, saya menggenggam pasport saya kuat-kuat. Kertas kecil itu menjadi 'tiket' kepada perjalanan suci ini. Hati saya berdebar setiap kali pegawai keselamatan menaiki bas. Namun, tiada seorang pun yang bertanya lebih lanjut. Seolah-olah Allah benar-benar menjaga perjalanan saya.

 

Di sepanjang perjalanan, kata-kata petugas kementerian itu kembali bermain dalam benak:
"Wahai tetamu Allah, pergilah. Allah menjaga perjalananmu."

 

Saya memejam mata dan mengulang doa dalam hati. Ya Allah, Kau mudahkanlah langkah ini, jangan Kau palingkan aku dari rumah-Mu.

 

Sampai di Tanah Suci, hati ini seakan tidak percaya. Betapa sukarnya perjalanan ini, tetapi pintu Baitullah akhirnya terbuka jua. Dalam lautan manusia yang bertalbiah dan menangis, saya turut tersedu. Segala keletihan dan ketakutan seolah lenyap dibasuh oleh air mata.

 

Saya telah tiba. Saya adalah tetamu-Nya.

 

 

wainuiomata

 

Bersambung dalam 'Perjalanan Haji Tanpa Visa (2)' atau dapatkan kisah penuh dalam buku saya Haji Tanpa Visa. - DagangNews.com