Perjalanan Haji Tanpa Visa (Bahagian Ketiga) Oleh Mohd Fudzail Mohd Nor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perjalanan Haji Tanpa Visa (Bahagian Ketiga) Oleh Mohd Fudzail Mohd Nor

Kami tiba di asrama jemaah Indonesia lewat malam, saat jam hampir melangkah ke detik dua belas. Suasana sudah hiruk dengan kehadiran para jemaah dari segenap penjuru.

 

Di beranda, di koridor, di tangga, setiap inci ruang seperti diratah kaki manusia. Diberitahu bahawa semua lelaki dari bas kami akan berkongsi sebuah bilik yang sama. Kira-kira tiga puluh orang, barangkali lebih.

 

Saya membayangkan ruang sebesar dormitori sekolah asrama zaman dahulu—dengan katil dua tingkat dan ruang bernafas yang wajar untuk sebuah malam yang panjang.

 

Namun, tatkala kaki melangkah ke dalam bilik yang diperuntukkan itu, saya tergamam seketika. Bilik itu bukan sahaja kecil dan sempit, malah kosong—benar-benar kosong, tanpa sebarang perabot atau alas tidur. Mustahil untuk memuatkan tiga puluh tubuh lelaki dewasa yang keletihan selepas sepuluh jam perjalanan dari Riyadh. Saya kira, jika berbaring bergilir pun, tidak lebih dari sepuluh orang dapat direbahkan pada lantai keras itu.

 

Beg-beg disusun seboleh mungkin, termasuk beg plastik lusuh milik saya yang menjadi teman setia. Satu-satunya bilik mandi dan tandas terletak di sudut hujung bilik. Saya terduduk. Tubuh terasa longlai. Mujur sudah mandi dan menunaikan solat sebelum bertolak.

 

Tetapi untuk tidur? Ruang itu, kalau pun mahu tidur berdiri, belum tentu muat!

 

 

Fudzail

 

 

Perut pula mula bernyanyi kelaparan. Tidak pasti adakah makanan disediakan, kerana hiruk-pikuk manusia menenggelamkan segala suara petugas. Bangunan asrama itu seperti sarang semut yang dilanda hujan—riuh, penuh, bersimpang-siur. Rasa lapar kalah kepada rasa letih. Hendak keluar mencari makanan pun tubuh seperti enggan menurut.

 

Namun, semua itu bukan masalah besar. Yang penting—kami telah melepasi sekatan jalan raya. Kami sudah berada di tanah suci. Dan hanya dua hari lagi menanti detik wukuf.

 

Dalam kekalutan dan kelelahan, saya mencuri waktu untuk merenung dalam diam. Bolehkah saya benar-benar tidur di ruang sempit ini? Atau harus saya mencari tempat berteduh yang lain? Saat itulah saya teringat—tadi sekilas mata menangkap kelibat bumbung terbuka di atas bangunan ini.

 

Dengan semangat yang berbaki, saya menyambar beg plastik dan bergerak ke arah tangga. Koridor penuh jemaah yang sedang berjalan, bercakap, tertidur di lantai. Seperti pasar malam sebelum raya. Saya naik setingkat demi setingkat, lalu tiba di puncak bumbung. Kosong. Lapang. Seolah-olah disediakan khas buat saya.

 

Angin malam menyapa wajah, lembut dan syahdu. Ada sebuah bilik air kecil di situ, dengan kolah air yang tenang tak terusik. Saya duduk di tengah bumbung yang lengang. Subhanallah. Terasa seperti P. Ramlee menyanyi dalam kalbu, “Dunia ini ana yang punya!”

 

Langit Makkah di malam itu—gelap, tetapi bertabur bintang. Tiada tilam. Tiada bantal. Tiada selimut. Hanya langit sebagai atap, dan lantai simen sebagai alas. Saya terlentang, memandang jauh ke dada langit. Fikiran melayang kepada permulaan perjalanan haji ini, tanpa visa.

 

Dari pejabat Kementerian Haji di Riyadh, dengan penuh doa dan harapan. Masih terngiang kata-kata yang menjadi azimat: “Pergilah tetamu Allah, pergilah. Allah yang akan menjaga keselamatan perjalananmu!”
Saya akhirnya terlelap dalam dakapan malam.

 

 

Hajj

 

 

Entah jam berapa, saya terjaga. Rasa seperti baru dua jam tertidur. Masih melewati tengah malam. Namun suasana telah berubah. Seperti berada dalam mimpi.

 

Bumbung yang tadi kosong dan lengang kini penuh dengan kain-kain yang terentang, tergantung di tali-tali yang disangkut melintang. Seakan-akan dicipta sekilas mata menjadi kamar-kamar berlangsir. Saya bangun perlahan, termangu.

 

Setiap inci lantai bumbung kini dipenuhi oleh jemaah wanita dari Indonesia. Mereka tidur nyenyak, berselimut kain batik dan telekung, ada yang bersila, ada yang melentang. Mungkin seperti saya, mereka juga tiba dari perjalanan panjang lebih sepuluh jam.

 

Saya teragak-agak. Mahu ke bilik air, tetapi jalan tertutup kain dan tubuh manusia. Perlahan-lahan saya bangun, mengangkat beg plastik, menyusup antara langsir kain dan kaki manusia seperti pencuri. Setiap langkah harus berhati-hati agar tidak terpijak atau menyentuh aurat orang lain.

 

Akhirnya sampai juga ke bilik air kecil itu. Pintu tidak bertutup. Hendak dikunci, rosak pula. Saya mandi dengan air kolah, dingin menyegarkan tubuh. Tiba-tiba—ketukan di pintu.

 

“Saya sedang mandi!” laung saya, bernasib baik sudah mengenakan kain pelikat sebagai basahan.
“Cepat, Bapak. Mahu guna bilik air!” sahut suara wanita dari luar.

 

Selesai mandi, saya keluar. Sekelompok wanita masuk, ada membawa pakaian untuk dibasuh, ada pula mahu membuang air. Seorang daripada mereka, wajahnya lembut dan jelita, tersenyum. Saya terkejut dan membalas senyuman tanpa sedar. Dunia seperti kabur seketika.

 

Saya sekali lagi menyusuri lautan manusia yang lena di bumbung. Terlanggar, tersentuh, namun akhirnya tiba di tangga. Saya menjenguk ke bilik asal kami. Gelap dan sesak. Seperti sardin dalam tin. Tidak mungkin dapat tidur di situ.

 

Saya keluar dari bangunan asrama. Di luar, suasana masih meriah. Jemaah terus berdatangan. Wajah-wajah penat, namun penuh harap.

 

 

Fudzail

 

 

Perut terasa kosong. Hati mula berbisik, “Bagaimana kalau aku tidur sahaja di Masjidil Haram?” Lalu saya mendekati salah seorang petugas dan bertanya arah. Katanya, boleh berjalan kaki ke sana dalam masa sejam lebih sedikit, melalui Aziziya.

 

Saya pun melangkah, berteman beg plastik yang setia. Melintasi jalan-jalan Makkah yang sesak. Pelbagai bangsa. Pelbagai bahasa. Singgah sebentar di sebuah pasar mini untuk membeli sedikit makanan.

 

Saya terus berjalan. Dalam keletihan, hati tetap membara. Terbayang tidur di Masjidil Haram, rumah Allah yang menjadi saksi setiap air mata dan harapan.

 

Tiba di terowong yang menjadi laluan ke Tanah Haram, dada terasa lapang. Beberapa minit kemudian, terbentang di hadapan mata—Masjidil Haram. Saya masuk. Solat. Tawaf. Kemudian turun ke ruang bawah tanah untuk mencari tempat berbaring sementara menunggu Subuh. Masih ada dua jam waktu.

 

Ketika melilau mencari ruang, saya terlihat beberapa orang membawa tilam—entah dari mana mereka mendapatkannya. Di satu sudut, saya nampak seorang lelaki tua tidur lena di atas tilam gebu. Saya mendekat perlahan. Duduk di hujungnya. Cuba meletakkan kepala sedikit, sekadar sebagai bantal.

 

Namun belum sempat meletakkan kepala, lelaki itu menarik tilamnya. Kepala saya terhempas ke lantai marmar. Terfana. Sakit pun hilang dalam rasa malu dan hairan. Saya berpaling ke arah lelaki itu. Dia tidak memandang. Saya tersenyum sendirian.

 

Mungkin itu isyarat dari Tuhan. Tilam bukan hak saya. Bahkan tempat di sisi rumah-Nya pun, saya harus merendah diri. Tanpa rasa layak, saya berbaring di lantai marmar yang dingin. Bersyukur. Dan terlena dalam dakapan haruman Masjidil Haram yang tak terucap dengan kata.

 

Alhamdulillah.

 

Perjalanan ini bukan tentang keselesaan. Tapi tentang keikhlasan dan keinsafan. Tentang menjawab panggilan Ilahi walau tanpa visa, tanpa tilam, tanpa bantal—tetapi dengan jiwa yang penuh harap dan rindu.

 

(Bersambung minggu hadapan) - DagangNews.com