Pengundi Malaysia: Ekonomi Sebagai Prop, Naratif Sebagai Kuasa Sebenar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengundi Malaysia: Ekonomi Sebagai Prop, Naratif Sebagai Kuasa Sebenar

Oleh Wan Mohd Farid Wan Zakaria

Dalam setiap musim pilihan raya, kita diperdengarkan bahawa pengundi Malaysia membuat keputusan berdasarkan ekonomi. Ungkapan itu diulang seperti hukum fizik politik, seolah-olah wujud formula tetap yang mengikat tingkah laku rakyat.

 

Ia kedengaran saintifik dan memberi rasa kepastian, seolah-olah politik boleh dijangka seperti kiraan faedah kompaun. Realitinya jauh lebih tidak teratur.

 

Logiknya mudah. Jika ekonomi baik, rakyat bersyukur. Jika ekonomi merosot, rakyat marah. Namun Malaysia tidak pernah mematuhi logik itu. Jika teori tersebut tepat, keputusan pilihan raya sepatutnya seiring naik turun ekonomi.

 

Tetapi corak undi negara ini sering membuat ahli ekonomi termenung panjang, mungkin buat kali pertama dalam kerjaya mereka mengaku bahawa data tidak selalu menang.

 

Statistik Negara vs Realiti Harian

Realiti ekonomi dalam laporan rasmi kerap tidak sepadan dengan realiti psikologi yang membentuk pilihan politik. Graf dan carta memberi gambaran keseluruhan, tetapi pengundi membuat keputusan berdasarkan kehidupan harian mereka. Mereka tidak meneliti laporan ekonomi setebal 200 muka surat. Mereka meneliti harga sarapan yang naik 10 sen.

 

Demokrasi negara ini lebih mirip cermin retak yang memantulkan versi diri yang kita ingin percaya, bukan realiti yang sedang berlaku. Cermin itu bukan untuk memastikan kebenaran, tetapi untuk mengingatkan bahawa setiap kelompok pengundi mempunyai interpretasi sendiri. Dalam erti tertentu, demokrasi di sini lebih dekat kepada seni abstrak daripada sains politik.

 

Data Cakap A, Pengundi Buat B

Pepatah “It’s the economy, stupid” mungkin berguna dalam politik Amerika. Di Malaysia, ungkapan itu lebih sesuai dijadikan motto seminar kepimpinan, mungkin dipaparkan pada slaid pertama sebelum peserta membuka laptop dan pura-pura mencatat. Ia kedengaran penting, tetapi jarang membantu membaca corak undi.

 

Pengundi Malaysia tidak bergerak mengikut angka ekonomi semata-mata. Mereka bergerak mengikut cerita dibentuk oleh sejarah keluarga, pengalaman komuniti, rasa cemas terhadap perubahan dan ritual identiti yang lebih lama usianya daripada mana-mana manifesto.

 

Manifesto boleh bertukar setiap lima tahun. Cerita yang diwarisi generasi jarang berubah walaupun spreadsheet ekonomi menunjukkan peningkatan.

 

Ekonomi menjadi angka di kertas statistik. Emosi menjadi kompas di kertas undi. Jika angka sahaja sudah cukup untuk menentukan undi, profesion sains politik mungkin digantikan oleh pakar Excel.

 

undi bernama

 

Pertumbuhan Tidak Menjamin Sokongan

Sejak 1999, perjalanan ekonomi Malaysia menunjukkan pola yang menarik. Pemulihan selepas krisis kewangan Asia berlaku dengan cepat dan dipuji pasaran global. Ekonomi stabil, tetapi sokongan politik tetap rapuh kerana kepercayaan tidak pulih seiring angka.

 

Beberapa tahun kemudian, mandat besar hadir bersama pertumbuhan kukuh. Inflasi meningkat, subsidi disemak semula dan beberapa janji dianggap tidak ditunaikan. Ekonomi tidak jatuh, tetapi keyakinan awam merosot apabila jurang antara retorik dan realiti melebar.

 

Fasa berikutnya memperlihatkan pelaburan meningkat, projek besar dilancar dan model pembangunan disusun semula. Malangnya, rakyat tidak merasakan pengurangan tekanan kos hidup. Pertumbuhan berlaku tetapi tidak mengalir ke bawah secara nyata, menjadikan jurang persepsi semakin ketara.

 

Era singkat seterusnya dipenuhi pergolakan. Reformasi tidak sempat dilaksanakan, pandemik melanda dan ekonomi menguncup. Rakyat bergantung pada bantuan, manakala ketidakstabilan politik mengatasi perubahan harga sebagai pendorong keresahan.

 

Selepas itu Malaysia kembali pulih. Pertumbuhan 2022 mencecah 8.7%. Pasaran menganggap angka itu luar biasa. Namun pilihan raya menghasilkan Parlimen tergantung. Ekonomi melonjak tetapi mandat berpecah. Malaysia sekali lagi membuktikan bahawa angka tidak pernah menundukkan sentimen.

 

Identiti Mengatasi Data

Pengundi Malaysia bukan kumpulan tunggal. Di beberapa kawasan, undi adalah tradisi keluarga – ritual yang diwariskan, bukan keputusan individu. Dalam kelompok ini, undi tidak bergantung pada prestasi ekonomi tetapi keyakinan bahawa kestabilan identiti lebih penting daripada kestabilan angka.

 

Di kawasan bandar, pengundi lebih bebas. Mereka menilai calon, dasar dan integriti. Mereka membaca inflasi melalui harga barang di pasar raya, bukan melalui laporan rasmi. Kesetiaan mereka berubah mengikut pengalaman, bukan sejarah. Mereka semakin sukar dipengaruhi oleh naratif lama.

 

Ada juga kelompok yang melihat undi sebagai tindakan moral. Mereka mencari kepimpinan yang bersih dan bermaruah. Bagi mereka, angka pertumbuhan tidak bermakna jika ruang politik dipenuhi kekacauan moral. Mereka menjadikan integriti sebagai kompas, bukan graf ekonomi.

 

Lima Era, Satu Kesimpulan

Apabila lima era ekonomi dibandingkan dengan tingkah laku pengundi, jelas bahawa angka tidak pernah menentukan undi. Pengundi membaca hidup mereka, bukan graf pertumbuhan.

 

Dalam politik negara ini, ekonomi hanya menjadi latar. Haluan undi ditentukan oleh keyakinan yang dibina melalui cerita yang mereka percaya.

 

Pada akhirnya, pengundi tidak memilih siapa yang mempunyai graf terbaik. Mereka memilih siapa yang bercerita dengan begitu meyakinkan sehingga graf itu sendiri mula tertanya-tanya apa gunanya ia wujud. - DagangNews.com