PENGLIPUR LARA: Cerita Rakyat Asia Tenggara, Alam dalam Jiwa Sastera Melayu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PENGLIPUR LARA: Cerita Rakyat Asia Tenggara, Alam dalam Jiwa Sastera Melayu

Oleh NINOT AZIZ

PADA majlis pelancaran antologi PENGLIPUR LARA: Cerita Rakyat Asia Tenggara di PBAKL, kita disajikan sastera, seni dan budaya. Pementasan Wayang Kulit menjadi cerminan budaya Penglipur Lara ratusan tahun. 

 

Persembahan ini diikuti Forum bersama Sasterawan Negara iaitu “Jejak Tradisi, Denyut Kontemporari: Cerita Rakyat dalam Dunia Moden” Di sini Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh mengatakan “Jiwa sudah hilang dalam karya.”

 

Sastera Melayu bukan sekadar catatan indah atau khazanah budaya, tetapi cerminan falsafah hidup yang harmoni dengan alam. Melalui sastera lisan, manuskrip lama dan batu bersurat, kita dapat menelusuri nilai, moral dan kebijaksanaan masyarakat silam yang akrab dengan alam semesta.

 

Hikayat, peribahasa, pantun dan syair—semuanya mengungkap hubungan simbiotik antara manusia dan alam. Keindahan bahasa ini menyuburkan peribadi dan pemikiran, malah membentuk falsafah kelestarian dalam tamadun Melayu…membayangkan pengamatan halus terhadap hukum alam dan kehidupan.

 

Kelestarian dan Pemikiran Alam dalam Tradisi

Masyarakat Melayu tradisional mengamalkan gaya hidup berteraskan keseimbangan. Mereka membina rumah tanpa paku besi, menggunakan bahan semula jadi untuk bekas makanan, pewarna tekstil dan alat harian. Ini bukan sekadar adat, tetapi prinsip ekologi yang mendalam.

 

Pemikiran ini terserlah dalam batu bersurat Talang Tuwo (684M), di mana Dapunta Hyang Sri Jayanasa merakamkan pembinaan taman untuk “kebahagiaan semua makhluk, yang bergerak dan tidak bergerak.”

 

Ini menunjukkan keinsafan bahawa alam bukan untuk dieksploitasi, tetapi diwarisi secara lestari.

 

 

parafrasa

 


Sastera sebagai Cermin Alam

Dalam persembahan makyong dan wayang kulit, alam bukan sekadar latar tetapi nadi naratif. Lagu “Mengadap Rebab” dalam makyong mengandungi metafora alam:

 

Seperti suloh memain angin la… Aur menarik suse…

…yang menggambarkan daun menari ditiup angin dan ombak bermain di pantai. Ini bukan sahaja puitis, malah mencerminkan kefahaman terhadap pergerakan alam dan kehidupan.

 

Dalam hikayat pula, langit bertingkat-tingkat dan awan pelbagai warna digunakan sebagai gambaran perjalanan spiritual dan mistik.

 

“Tujuh petala langit” dalam Hikayat Malim Deman memberi isyarat bahawa kosmologi Melayu kaya dengan interpretasi alam sebagai dimensi kehidupan.

 

Simbolisme Alam: Gunungan dan Pohon Beringin

Buku Penglipur Lara menggunakan tema Wayang Kulit dalam ilustrasi kerana menghormati tradisi tukang cerita Pak Dalang wayang kulit. 

 

Wayang kulit memperlihatkan simbol Pohon Beringin atau Gunungan sebagai lambang “kehidupan seluruh alam”—udara, bumi dan air. Ia adalah lambang permulaan dan penutup sesebuah persembahan, seperti mana alam adalah asal dan akhir bagi segala ciptaan.

 

Di Jawa, gunungan dihias dengan burung, haiwan dan dedaunan; di Kelantan, ukiran tempatan menekankan flora setempat.

 

Ini membuktikan bahawa alam bukan hanya sumber, tetapi juga inspirasi dan falsafah.

 

 

hikayat

 

hikayat

 


Sastera dan Cabaran Kelestarian Masa Kini

Malangnya, sastera hari ini semakin terpisah dari semangat menghargai dan memahami alam. Ketamakan manusia menyaksikan hutan dibalak, spesies pupus, dan keseimbangan ekosistem tergugat.

 

Peribahasa Greek seperti “bagai anjing dengan bayang-bayang” mungkin mencerminkan kerakusan manusia hari ini.

 

Kita kini berdepan krisis iklim global—suhu meningkat, paras laut naik, ribut ekstrem berlaku lebih kerap. Perubahan ini mengancam bukan sahaja biodiversiti, tetapi juga kehidupan manusia.

 

UNESCO mengiktiraf bahawa budaya dan sastera memainkan peranan penting dalam menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang merangkumi pemeliharaan alam, keamanan dan kesejahteraan menjelang 2030. Maka, pemikiran sastera mesti kembali menjadi sebahagian daripada dialog pembangunan lestari.

 

Sastera sebagai Pemangkin Kesedaran

Sastera tidak dapat menyelesaikan isu iklim secara langsung, tetapi ia mampu mencetuskan kesedaran, empati dan tindakan. Seperti mana Live Aid Concert tahun 1985 berjaya mengubah persepsi global tentang kebuluran di Afrika, sastera hari ini boleh menjadi wadah kempen alam sekitar, menyemai cinta pada bumi dalam sanubari generasi muda.

 

Apabila kita kembali menghayati prinsip-prinsip dalam pantun lama seperti:

Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit,
Bagai aur dengan tebing,

 

…kita sedar bahawa kekuatan tamadun kita adalah pada keharmonian antara manusia dan alam. Dari situlah lahir kekayaan bahasa, jiwa dan budaya yang lestari.

 

Penutup: Kembali ke Akar

Sudah tiba masanya kita kembali kepada akar, menggali semula warisan sastera sebagai jalan menuju kelestarian. Dengan pemahaman mendalam terhadap alam dalam sastera, kita mampu mencorak masa depan yang lebih seimbang—bukan sahaja untuk kita, tetapi juga generasi akan datang.

 

Dalam kata lain:
“Sastera bukan sekadar tulisan. Ia adalah denyut nadi alam dalam jiwa manusia.” - DagangNews.com

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Negara dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]