Masyarakat Mah Meri: Penjaga Warisan Moyang Laut
Oleh NINOT AZIZ
Telah lama saya berhajat untuk melawat perkampungan Mah Meri di Pulau Carey. Selalunya, kita dapat melihat orang asli Mah Meri membuat pertunjukkan budaya di serata kota raya.
Alhamdulillah, akhirnya, pada tahun ini, kami bernasib baik dapat mengunjungi masyarakat Mah Meri sendiri bersempena perayaan yang terbesar iaitu Pemujaan Moyang Laut di Kampung Jugah, Pulau Carey.
Kami sampai agak awal hari untuk memastikan keadaan tidak sesak kerana orang ramai akan hadir untuk menyakdikan upacara ini.
Namun sebelum perayaan bermula, Tok Batin memaklumkan semua hadirin bahawa kami perlu menantikan air surut di pantai sekitar 11 pagi. Oleh itu, kami mengambil peluang berkunjung dahulu ke Pusat Kraf Orang Asli Mah Meri Sg Bumbun.

Di Kampung Sg Bumbun ini, pemandangannya begitu tenteram, nyaman dan bersih. Ada ayam denak yang cantik serta kami dapat bertembung dengan seekor kucing yang ‘anggun’. Tidak hairanlah pelancong gemar ke sini kerana ketenangan kawasan perkampungan di sini amat mengkagumkan.
Di kampung inilah, terdapat pusat kraf, yang mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Warisan serta Jabatan Kesenian dan Kebudayaan. Di pusat ini lamannya yang luas dan menonjolkan suasana kampung. Terdapat juga ruang bercerita dan pentas untuk mengadakan pelbagai pertunjukkan budaya.
Yang paling menarik adalah ruang koleksi ukiran Mah Meri yang amat unik. Ukiran ini masing-masing mempunyai bentuk, haiwan dan kisah di sebalik ukiran tersebut. Nama pengukir yang asal biasanya dicatatkan.
Mereka bermimpi sesuatu kisah yang melibatkan haiwan contohnya harimau, tupai belalang, biawak, lintah dan juga fenomena puting beliong.
Antara ukiran paling tersohor adalah Moyang Harimau Berantai yang terperangkap. Ia merupakan simbol ketabahan, kelahiran semula, dan tanggungjawab terhadap bumi. Ukiran ini dihasilkan dari sebongkah kayu nyireh batu.



Moyang Harimau Berantai diilhamkan oleh seekor harimau yang termasuk dalam perangkap babi hutan lalu mati. Mengikut tradisi, apa-apa makhluk yang dimusnahkan harus digantikan, oleh itu, ukiran Moyang yang dipercayai berasal dari mimpi ini, dan Sang Pemimpi telah mengukir harimau ini lalu diletakkan di tempat harimau itu terbunuh.
Bebola dalam mulut harimau melambangkan bumi, dan tujuh cincin melambangkan ketabahan hidup.
Moyang Siamang pula menceritakan kisah seorang pemburu yang menyumpit seekor siamang. Selepas kejadian itu dikatakan hujan dan ribut turun mencurah beberapa hari lamanya. Pemburu itu akhirnya bermimpi ia mesti mengukir seekor siamang dan melakukan ritual supaya becana hujan ribut akan terhenti.
Pemburu itu akur dan hujan pun berhenti.
Menurut Adiguru A Samri a/l Abdul Rahman, ukiran patung dan topeng suku kaum Mah Meri berkait rapat dengan perubatan tradisi serta cara hidup zaman dahulu. Motif reka bentuk berasaskan cerita, mimpi dan ciri-ciri kehidupan yang dialami oleh pengukir.
Menurutnya lagi, ukiran mempunyai semangat tersendiri dan masyarakat Mah Meri percaya semangat ini mempengaruhi takdir dan kehidupan mereka.
Kita patut berbangga dengan hasil kesenian Mah Meri ini. Pelbagai ukiran-ukiran Mah Meri ini telah mendapat anugerah dan pengenalan dari UNESCO.

Moyang Laut
Sehari dalam setahun, kaum masyarakat Mah Meri akan berkumpul di pantai di Kampung Jugah ini untuk upacara “moyang laut”, satu tradisi dipercayai telah dikekalkan di sini lebih 300 tahun lalu.
Ia penting demi memohon hajat dilimpahkan rezeki, dan khususnya tidak ditimpa bencana dan malapetaka. Adat ini juga merupakan tanda syukur dan memohon restu moyang mereka.
Pada tahun ini, ramai yang hadir untuk merakamkan upacara ini dari dalam dan luar negeri termasuk kru filem dan drama.
Masyarakat Orang Asli Suku Mah Meri menyampaikan penghormatan kepada roh nenek moyang dengan menari di tengah laut. Upacara ini menandakan kesatuan antara moyang darat dan moyang laut.

Tradisi yang diwarisi ini adalah manifestasi kekayaan budaya dan spiritual yang bersemadi dalam masyarakat Mah Meri.
Sesungguhnya semakin lama kita mengenal kepelbagaian negara kita, semakin teruja dan bersemangat untuk mengumpul cerita rakyat, lagu dan bahasa lama supaya tidak padam dari ingatan.
Masyarakat Mah Meri benar-benar dapat menjiwai dan memulihara tradisi mereka untuk dikongsi seluruh dunia. - DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA








