Malaysia sertai Lunar Codex - Arkib Khazanah Warisan Sedunia di Bulan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia sertai Lunar Codex - Arkib Khazanah Warisan Sedunia di Bulan

Oleh NINOT AZIZ

Malaysia menyertai lebih 50,000 pencipta seni dari 234 negara dan wilayah jayakan projek Lunar Codex, iaitu Arkib Khazanah Warisan Sedunia di Bulan.

Pada 15 Januari 2025,  Blue Ghost ‘lunar lander’ milik Firefly Aerospace dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy bersama Falcon SpaceX ke ruang angkasa dan meluncur ke orbit bulan.

Selama 45 hari, ia terbang melalui perjalanan melebihi 1,000,000 km melalui ruang angkasa yang sunyi sepi membawa harapan dan impian sedunia, membawa visi untuk masa depan. 

Seni. Puisi. Muzik. Dan suara kemanusiaan. 

Blue Ghost bakal mendarat di bulan dengan terperinci di kawasan Mare Crisium, di sisi terdekat bulan, pada hari Ahad, 2 Mac. 

Selama lebih daripada enam minggu, kami mengikuti perjalanan Blue Ghost dari bumi, melihat imej dikongsi oleh Blue Ghost. Kini, ia merupakan sesuatu perjalanan peribadi.

Kami menghela nafas dan tepat pada masanya, Blue Ghost mendarat di bulan dengan selamat pada saat dan ketika anak bulan kelihatan dan kita menyambut Ramadan pada 2 Mac. 

Dan dengan begitu sahaja, puisi saya Pesanan Muktamad. Dari Mentari. Purnama. Dan Bintang Kejora berjaya diarkibkan di bulan untuk selama-lamanya bersama-sama puisi dari seluruh dunia. 
 

 

hikayat


 

Pada Januari 2022 saya menerima mesej dari pengasas Lunar Codex, Dr. Samuel Peralta dari Kanada, yang pada masa itu, jujurnya terdengar seperti sangat luar biasa.

“Ninot, saya tidak pasti sama ada kamu telah mendengar mengenai Projek Lunar Codex yang saya sedang usahakan, tetapi... Lunar Codex dan Brick Street Poetry mengumumkan "Polaris Trilogy - satu jemputan  untuk puisi bakal diarkibkan di Bulan.

"Polaris Trilogi akan diterbitkan dalam versi cetak dan dalam edisi lunar, uberbentuk digital untuk kapsul masa 'Polaris' Lunar Codex, dihantar melalui rover SpaceX/Astrobotic Griffin/NASA VIPER ke Kutub Selatan Bulan... Penyair dari seluruh dunia digalakkan menyumbang puisi.

Saya tidak mengawal penerimaan oleh jawatankuasa editorial... jangan hantar puisi kepada saya. 

Kami memerlukan lebih ramai penyair dari negara-negara Asia, jadi sila hantarkan puisi!

Selamat mencuba!


Sam

 

hikayat
Dr. Samuel Peralta bersam koleksi buku Sci-Fi kegemarannya.


 

Saya mengenali Samuel Peralta sejak zaman rancak mengambil bahagian dalam blogosphere puisi di mana penyair dari seluruh dunia menghantar puisi setiap minggu.

Sam yang merupakan seorang penyair, penerbit pemenang Anugerah Emmy®, ahli fizik, pelabur dan mentor teknologi, dan pencipta antologi terkemuka, The Future Chronicles, sering menerajui sesi-sesi sebegitu dengan penyair sedunia itu, memperkenalkan bentuk-bentuk puisi seperti ghazal, dan sedoka serta bentuk-bentuk kontemporari, puisi Twitter dan puisi prosa.

Hampir sendirian, Sam mengelolakan projek Lunar Codex, yang menyatukan seni, puisi, muzik, dan filem untuk diarkibkan di Bulan.

Jadi, saya bersetuju dan mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan puisi saya. Saya ingin menyampaikan satu mesej, suara panggilan tentang bahayanya kesan perubahan iklim.

Dan hasilnya, saya menghantar puisi berjodol  Pesanan Muktamad: Dari Mentari. Purnama. Dan Bintang Kejora.

Hasrat saya adalah untuk memastikan sebuah puisi Malaysia dalam Bahasa Melayu akan dimasukkan dalam antologi antarabangsa itu. 

Saya menanti dan terus menanti. Pasti ramai yang mencuba nasib untuk terpilih. Saya terus menantikan balasan daripada Brick Street Poetry untuk dipertimbangkan dalam Polaris Trilogy, sebuah puisi yang memperingati langit, matahari, bulan dan bintang.

Projek Lunar Codex, projek yang pada dasarnya adalah sebuah muzium di bulan, kapsul masa yang merakam warisan budaya dan seni manusia.


 

hikayat

 


10 bulan kemudian, balasan pun tiba. 

“Anda akan pergi ke Bulan! Atau lebih tepatnya, puisi anda akan pergi. Puisi anda telah diterima dan akan diterbitkan pada Januari 2023, dalam edisi di Bumi Trilogi Polaris...”

Sementara itu itu, tiga puisi dan cerita saya sebelum ini di bawah The dVerse Anthology: Voices of Contemporary World Poetry yang diterbitkan pada tahun 2013 juga telah diterima dalam Projek Lunar Codex.

Tambahan pula, antologi antarabangsa Hikayat Fandom DRAGONLORE From East and West yang dinobatkan sebagai 50 Best Malaysian Books 2023 - 2025 juga diterima sebagai pengisian arkib di bulan Lunar Codex - berita hebat untuk semua penulis cerita naga dari Asia, Eropah, dan Kanada.

Walau bagaimanapun, The Polaris Trilogy ditulis khas buat Lunar Codex. Oleh itu, ia merupakan satu kehormatan tertinggi diterima bersama-sama dua penyair Asia Tenggara lain, Asha Kumari (Singapura) dan Jhemar Lagata (Filipina).

Ketua Pengarang Brick Street Poetry, Joyce Brinkman, berkata "The Polaris Trilogy adalah pandangan panoramik puisi di Bumi yang ditulis pada tahun 2022. Ia mengujakan untuk mengetahui bahawa seni dan budaya tamadun dunia bersatu dengan teknologi dan sains angkasa dan kami berasa berbangga menerima karya Ninot Aziz untuk misi ini."

"Puisi Pesanan Muktamad: Dari Mentari. Purnama. Dan Bintang Kejora. merupakan satu peringatan di angkasa lepas, menolak ketidakbertanggungjawaban manusia di Bumi terhadap bentuk kehidupan lain dan ketidakbertanggungjawaban terhadap Bumi yang menakjubkan itu sendiri. Ia adalah satu mesej yang perlu diberi perhatian, dan memerlukan pertimbangan sementara kita menjelajah seluruh alam semesta yang luar biasa jauh dari planet kita."


 

hikayat

 


Apabila Blue Ghost mendarat di permukaan bulan dengan tepat, satu capaian bersejarah menjadi milik kita semua - seni kita, puisi kita, muzik kita kini berada di Bulan, sebagai saksi kreativiti dan perpaduan manusia.

Aspirasi Lunar Codex dan pencapaian The Polaris Trilogy  telah memperlihatkan daya juang dan semangat tinggi melalui  seni merentasi sempadan dan di luar Bumi sendiri.

Semoga peristiwa besar ini menjadi peringatan bahawa penceritaan kita, suara kita, dan impian kita tidak terikat oleh batasan bumi, tetapi sebaliknya berdiri sebagai saksi kepada semangat kental manusia.

Setiap kali kita memandang ke arah Bulan, marilah kita selami ketenangan berlandaskan pengetahuan bahawa warisan kita bersinar terang di tengah cakerawala, memberi inspirasi kepada generasi akan datang.


 

hikayat

Nota: PERJANJIAN ARTEMIS

Salah satu prinsip Perjanjian Artemis, yang ditandatangani oleh 53 negara hingga kini, adalah pemeliharaan warisan.

Di bawah Artikel 6, pihak yang menandatangani Perjanjian Artemis berjanji untuk memelihara warisan angkasa luar manusia - khususnya tapak berkepentingan sejarah seperti tapak pendaratan manusia atau robot, artifak, wahana angkasa, dan bukti lain aktiviti manusia di objek angkasa lepas yang lain.

Pendaratan Blue Ghost - termasuk semua muatan kargonya, termasik The Polaris Trilogy - kini adalah situs Warisan Perjanjian Artemis secara hakiki - dan semua karya seni, penulisan, muzik, dan filem kita kini adalah sebahagian daripada warisan manusia, yang perlu dilestarikan untuk masa depan. - DagangNews.com

 

 
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Negara 2025/2026 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA