Kenapa Kita Suka Bertangguh Merancang Harta Milik Sendiri dan Mengurus Harta Pusaka Ahli Keluarga? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenapa Kita Suka Bertangguh Merancang Harta Milik Sendiri dan Mengurus Harta Pusaka Ahli Keluarga?

Oleh ARIFFIN SABIRIN

Saya hadir sebagai panel dalam satu forum berkaitan perniagaan keluarga minggu lepas. Apabila moderator bertanya kepada saya apakah kesilapan paling biasa dilakukan oleh seorang usahawan dari konteks pewarisan perniagaan, saya katakan ‘menangguh’ ialah kesilapan yang paling banyak dibuat.

 

Mereka bertangguh dengan memberikan pelbagai alasan seperti ‘tiada harta’, ‘waris-waris semua baik dan tak mungkin bergaduh’, ‘sibuk’, ‘belum bersedia’ dan macam-macam alasan lain.

 

Pendek kata, bagi mereka urusan merancang harta ini tidak menjadi keutamaan dan boleh sahaja dibuat pada bila-bila masa apabila ada kelapangan.

 

Apa yang mereka sering lupa ialah kematian tidak boleh dirancang. Dalam banyak situasi, ia datang secara tiba-tiba ketika kita dan ahli keluarga tidak bersedia. Apabila berlaku kematian, maka isu terbesar yang bakal timbul ialah pengurusan harta pusaka.

 

Bertangguh Menguruskan Harta Pusaka

Dalam satu sesi forum lain, seorang lelaki pertengahan umur duduk di hadapan saya dengan wajah yang tenang, tetapi matanya menyimpan sesuatu yang berat. Beliau tidak banyak bercakap pada awalnya. Hanya selepas beberapa minit, barulah beliau membuka bicara.

 

“Tuan Haji… ayah saya meninggal tiga tahun lepas. Sampai hari ini, harta masih belum selesai.”

 

Saya diam seketika. Bukan kerana tidak tahu hendak menjawab, tetapi kerana cerita seperti ini terlalu biasa dan setiap kali mendengarnya, ia tetap terasa berat.

 

Beliau menyambung, “Kami adik-beradik bukan bergaduh pun. Cuma… semua sibuk. Tak sempat nak urus.”

 

Itulah realiti yang jarang kita mahu akui. Masalah harta pusaka hari ini bukan semata-mata kerana pergaduhan. Banyak yang terbengkalai bukan kerana waris jahat, tetapi kerana waris bertangguh.

 

Dalam kehidupan seharian, bertangguh sering dianggap perkara kecil seperti tangguh membayar bil, tangguh membuat laporan, atau tangguh berjumpa doktor.

 

Namun, apabila sikap yang sama dibawa ke dalam pengurusan harta pusaka, kesannya menjadi besar dan berpanjangan. Harta menjadi beku, tanah tidak boleh dipindah milik, rumah tidak boleh dijual, dan akaun tidak dapat disentuh. Lebih menyedihkan, hasrat si mati untuk melakukan kebaikan melalui hartanya juga terhenti begitu sahaja.

 

Harta Adalah Amanah 

Hakikatnya, dalam Islam, harta bukan sekadar milikan, sebaliknya ia adalah amanah. Amanah ini tidak terhenti apabila seseorang meninggal dunia, tetapi berpindah kepada waris.

 

Apabila waris tidak melaksanakan amanah itu dengan segera, mereka sebenarnya sedang memikul satu tanggungjawab yang tertangguh. Masalahnya, kita sering menenangkan diri dengan ayat, “Tak apa, nanti kita buat.” Sedangkan “nanti” itu boleh berlarutan menjadi bertahun-tahun tanpa disedari.

 

Mengapa kita suka bertangguh dalam urusan yang sepenting ini? Dalam banyak kes yang saya lihat, puncanya hampir sama:

1. Tiada rasa mendesak kerana tiada tarikh akhir yang jelas

2. Kurang kefahaman tentang proses menyebabkan waris tidak tahu bagaimana hendak memulakan

3. Wujud ketakutan bahawa perbincangan tentang harta akan mencetuskan konflik

4. Kesibukan hidup

5. Persoalan siapa yang hendak menanggung kos

 

Faktor-faktor di atas menyebabkan urusan pusaka sentiasa diletakkan di tempat kedua. Semua alasan ini kelihatan munasabah, tetapi apabila dibiarkan, ia akan melahirkan generasi yang mewarisi masalah, bukan harta.

 

Keadaan menjadi lebih rumit apabila penangguhan ini melangkaui satu generasi. Saya pernah melihat kes di mana harta tidak diselesaikan walaupun selepas 20 tahun. Sebahagian waris telah meninggal dunia, lalu jumlah waris bertambah dan strukturnya menjadi semakin kompleks.

 

Daripada lima orang, menjadi 15, kemudian 30. Pada tahap ini, harta bukan lagi sumber manfaat, tetapi menjadi beban yang hampir mustahil untuk diuruskan. Inilah yang akhirnya menyumbang kepada fenomena harta beku yang mencecah berbilion ringgit di negara kita.

 

Pemilik Harta Meninggalkan Beban kepada Waris

Jika diteliti dengan jujur, punca sebenar masalah ini bukan bermula selepas kematian, tetapi semasa hidup. Apabila seseorang tidak merancang hartanya, dia sebenarnya sedang meninggalkan satu beban besar kepada waris.

 

Sebaliknya, apabila perancangan dibuat lebih awal melalui instrumen yang sesuai seperti hibah dan wasiat, banyak kekusutan dapat dielakkan. Perancangan bukan tentang siapa mendapat lebih, tetapi tentang memastikan hak disampaikan dengan cara yang paling teratur, cepat dan harmoni.

 

Saya juga pernah menyaksikan kisah yang berbeza untuk pelanggan Wasiyyah. Allahyarham, seorang pelanggan yang telah membuat perancangan lebih awal, meninggalkan dunia ini dengan tenang. Beliau telah membuat hibah untuk beberapa hartanya, manakala bagi urusan harta pusaka, beliau telah melanggan perkhidmatan pengurusan harta pusaka percuma Al-Wasitah.

 

Apabila proses pengurusan pusaka dilakukan, semuanya berjalan lancar tanpa pertikaian. Anak-anaknya bukan sahaja menerima harta yang dihibahkan dengan jelas, tetapi juga menerima harta pusaka lain dengan mudah.

 

Salah seorang daripada mereka berkata kepada saya, “Ayah kami tidak tinggalkan harta yang banyak, tetapi dia tinggalkan sistem yang jelas. Kami sangat bersyukur.” Di situlah letaknya nilai sebenar perancangan harta dan pengurusan pusaka, bukan pada jumlah, tetapi pada kejelasan dan keberkatan.

 

Tanya Diri Sendiri

Akhirnya, kita perlu bertanya kepada diri sendiri dengan jujur. Jika kita meninggal dunia hari ini, adakah harta kita mudah diuruskan, atau kita sebenarnya sedang mewariskan masalah?

 

Dan jika kita ialah waris hari ini, adakah kita sedang melaksanakan amanah, atau sekadar menangguhkan tanggungjawab? Soalan ini mungkin tidak selesa, tetapi ia perlu dijawab sebelum keadaan memaksa kita berdepan dengan akibatnya.

 

Ramai orang menunggu keadaan sempurna sebelum membuat perancangan harta seperti menunggu hutang habis, menunggu simpanan cukup, menunggu masa lapang atau menunggu hari tua baru mahu bertindak.

 

Hakikatnya, kesempurnaan itu jarang datang. Perancangan tidak memerlukan keadaan yang sempurna, tetapi memerlukan keputusan untuk tidak lagi bertangguh. Kerana pada akhirnya, harta tidak pernah bersalah.

 

Yang sering menjadi punca ialah kita, yang menangguhkan sesuatu yang sepatutnya disegerakan. Dalam urusan harta pusaka, setiap penangguhan bukan sekadar melambatkan proses, tetapi boleh melambatkan keadilan, menghalang manfaat dan mengundang penyesalan yang berpanjangan. - DagangNews.com


 

 KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd