#JusticeForZara: Marah tak bila orang buli anak kita? Mesti Marah! | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

#JusticeForZara: Marah tak bila orang buli anak kita? Mesti Marah!

Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA

Suatu pagi yang kelihatan biasa. Anak kita bersarapan di kantin asrama, ketawa bersama rakan, mengangkat beg dan melangkah ke kelas. Mungkin kita sempat menelefon bertanya khabar, atau sekadar menghantar pesanan ringkas: “Belajar elok-elok.” Tiada siapa menyangka kata-kata itu mungkin menjadi yang terakhir.

 

Beberapa jam kemudian, panggilan yang datang bukan dari suara anak, tetapi suara cemas dari sekolah. Katanya berlaku kemalangan. Katanya anak kita sudah dibawa ke hospital. Tiada butiran lain. Hati jatuh ke ruang paling gelap.

 

Itulah yang dialami Noraidah Lamat pada 16 Julai 2025. Anak perempuannya, Zara Qairina, ditemui terbaring di dalam longkang berhampiran blok asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar. Tubuhnya cedera parah, otak tidak lagi memberi respons. Sehari kemudian, pada usia 13 tahun, Zara pergi selamanya.

 

Kematian itu disebut sebagai kemalangan. Tiada autopsi dijalankan. Tiada siasatan pantas. Seolah-olah kehilangan seorang anak boleh ditutup seperti helaian buku, tanpa rasa kehilangan, tanpa rasa bersalah.

 

Soalan yang Tidak Mahu Dijawab

Ketika jenazah Zara dimandikan, ibunya melihat kesan lebam di belakang tubuh. Mata seorang ibu mengenal luka yang tidak sepatutnya ada. Luka itu mengubah segalanya. Ia menandakan ada sesuatu yang tidak selari dengan cerita yang diberitahu. Siapa bersama dia sebelum jatuh? Adakah benar dia tergelincir, atau ada tangan yang menolak?

 

Zara pernah meluahkan ketakutannya terhadap seorang pelajar senior. Rakaman suara mengesahkan ia bukan imaginasi. Tetapi aduannya tidak diberi perhatian. Tiada perlindungan yang mencukupi. Tiada kamera di koridor asrama yang mampu mendedahkan kebenaran.

 

Jika ini berlaku pada anak kita, adakah kita akan diam?

 

 

bas

 


Apabila Rakyat Menuntut Jawapan

Berita ini bergerak pantas di media sosial. Tanda pagar #JusticeForZara membanjiri ruang maya. Ada yang berdiri di jalanan, ada yang berkumpul di medan terbuka, mengangkat plakad tanda solidariti. Ramai tidak pernah mengenali Zara, tetapi memahami perasaan kehilangan seorang anak.

 

Tekanan awam akhirnya memecahkan kebisuan. Hampir tiga minggu selepas tragedi, kubur digali semula dan bedah siasat dijalankan.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, “Tiada sesiapa akan dilindungi, tidak kira anak siapa… saya tidak peduli. Jika bersalah, tindakan akan diambil.” Kata-kata itu memberi sedikit harapan, tetapi kelambatan sebelum tindakan sudah cukup untuk menghakis keyakinan terhadap sistem yang sepatutnya menjaga keselamatan nyawa.

 

Bukan Kes Pertama

Kita pernah menyebut nama Zulfarhan Osman. Kita pernah berduka untuk Mohamad Thaqif Amin, Muhd Nazmie Aizat, dan ramai lagi. Kita pernah membaca kisah pelajar universiti yang diseksa rakan sebilik, pelatih industri yang tidak kembali, malah pekerja muda yang rebah akibat didera secara emosi. Setiap kali tragedi berlaku, kita berjanji ini akan menjadi yang terakhir. Janji itu berulang kali kita khianati!

 

Buli tidak muncul secara tiba-tiba. Ia membiak dalam budaya diam, di mana mereka yang melihat memilih untuk berpaling. Ia subur dalam ekosistem yang mengangkat reputasi melebihi keselamatan. Ia dilindungi oleh institusi yang takut kepada kebenaran kerana kebenaran mampu meruntuhkan imej yang cuba mereka pertahankan.

 

Harga Nyawa di Mata Sistem

Buli sering dianggap nakal atau masalah disiplin biasa. Tetapi bagi mangsa, ia adalah penjara harian. Bagi sesetengah mangsa, ia adalah hukuman mati yang tidak diisytiharkan.

 

Kementerian Pendidikan kini mahu memasang CCTV, menambah warden, melancarkan kempen benci buli. Langkah itu baik, tetapi mengapa hanya bermula selepas tanah kubur seorang anak menjadi saksi?

 

Undang-undang anti-buli sudah ada. Hukuman penjara hingga 10 tahun menanti pesalah. Tetapi undang-undang tidak bernyawa tanpa keberanian untuk melaksanakannya.

 

Dalam kes Zara, kita melihat kelewatan, keraguan, dan keengganan yang memberi ruang kepada kesunyian untuk menelan kebenaran.

 

 

bas

 


Bagaimana Jika Ini Anak Kita?

Kita menghantar anak ke sekolah dengan percaya mereka akan pulang membawa cerita tentang pelajaran dan rakan baharu. Sebaliknya, yang kembali hanyalah jasad kaku di dalam keranda.

 

Tiada penjelasan yang mampu memujuk hati. Hanya serpihan cerita daripada mulut orang, cerita yang entah sejauh mana benarnya.

 

Jika ini anak kita, kita akan menjerit mencari jawapan. Kita akan berdiri di jalan menuntut keadilan. Kita akan mengetuk pintu setiap pejabat yang memegang kuasa.

 

Itulah yang dilakukan keluarga Zara. Mereka menolak untuk berdiam. Mereka menolak takdir yang lahir daripada kelalaian orang lain. Dan kerana keberanian itu, seluruh negara kini sedar betapa rapuhnya perlindungan anak-anak di sekolah.

 

Janji yang Tidak Boleh Dikhianati Lagi

Zara tidak akan kembali. Tetapi kisahnya tidak boleh dilipat menjadi berita lama. Ia mesti menjadi titik perubahan.

 

Setiap sekolah berasrama wajib mempunyai SOP keselamatan yang ketat, pengawasan 24 jam, dan saluran aduan yang selamat.


 

bas

 


Setiap aduan buli mesti disiasat tanpa gentar kepada nama atau status. Setiap pelajar mesti pulang dari sekolah dengan selamat seperti yang dijanjikan negara kepada setiap ibu bapa.

 

Keadilan untuk Zara bukan sekadar tanda pagar. Ia adalah amanah yang kita pikul bersama. Jika kita gagal menunaikannya, jangan tanya bila tragedi sama akan berulang.

 

Tanya sahaja, nama anak siapa pula yang akan menjadi tajuk berita esok? - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria ialah Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat, dan menentang keras segala bentuk budaya buli, termasuk yang berlaku di tempat kerja apabila kuasa disalahgunakan.