Harta pusaka: Waris kita fahamkah isu bidang kuasa undang-undang berkaitan?  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harta pusaka: Waris kita fahamkah isu bidang kuasa undang-undang berkaitan? 

Oleh Ariffin Sabirin

Saya faham isu undang-undang berkaitan harta pusaka ini rumit dan agak sukar untuk difahami terutamanya oleh orang awam. Saya sendiri yang sudah bergelumang selama 27 tahun di dalam bidang ini pun kadang-kadang perlu masa yang panjang untuk menghadamkan isu perundangan bidang ini. 

 

Di dalam artikel minggu ini saya ingin menjelaskan serba-sedikit selok-belok bidang kuasa undang-undang yang suka atau tidak perlu difahami oleh orang Islam.

 

Jika para pembaca mengikuti penulisan saya semenjak artikel pertama sehingga artikel ke-214 di kolum Anekdot Mawarith ini, saya memang ada menyentuh isu ini beberapa kali. 

 

Namun atas sebab persoalan ini kerap ditanya kepada saya, maka saya mengambil pendekatan mengulas kembali isu ini untuk mengingatkan kita semula.

 

Isu ini terkait dengan perlembagaan maka memang ia agak ‘dry’ (hambar) sedikit. Namun sebagai orang Islam ‘bakal jenazah’, kita perlu juga menghadamnya !

 

Bidang Kuasa Mahkamah Syariah yang perlu waris faham 

Perkara paling asas yang perlu kita faham ialah sebagai orang Islam, isu harta pusaka kita terkait rapat dengan Hukum Syarak berkaitan yang dipetik dari sumber al-Quran, hadis dan pandangan ulama.

 

Bidang kuasa ini walaupun undang-undang Syariah bertulis yang  komprehensif mengenainya di Malaysia masih berkurangan, ialah di Mahkamah Syariah. 

 

Bagi keadaan di mana belum wujud undang-undang Syariah mengenainya, hujahan di Mahkamah Syariah boleh dibuat berdasarkan hukum syarak secara umum terutamanya yang berkaitan dengan pandangan ahlus sunnah wal jamaah. Terserah kepada hakim untuk berijtihad membuat keputusan. 

 

Untuk urusan pembahagian (distribution) harta pusaka kita ia didasari pula oleh hukum faraid. Ini bermakna orang-orang yang diklasifikasi sebagai waris-waris faraid kita adalah berhak ke atas semua harta pusaka yang kita tinggalkan mengikut bahagian mereka masing-masing. Cabarannya, ialah setiap seorang daripada kita mempunyai strukur faraid yang berbeza. 

 

Selain daripada isu pembahagian, turut terkait dengan isu harta pusaka di Mahkamah Syariah ialah isu sah taraf waris, sah taraf pernikahan, penjaga harta sah bagi waris dibawah umur dan mempunyai ketidakupayaan mental,  pengesahan hibah, wasiat atau hak harta sepencarian.

 

Di dalam erti kata lain, Mahkamah Syariah di Malaysia mempunyai bidang kuasa (jurisdiction) untuk membuat keputusan tentang siapakah yang berhak ke atas harta pusaka dan berapakah bahagian mereka.   

 

Oleh itu, umat Islam perlu faham bahawa jika dia mahukan hartanya diagihkan kepada orang tertentu atau mahukan urusan agihan harta atau harta pusakanya kelak lancar dan kurang cabaran, apa yang mesti dilakukan ialah semua perkara yang saya sebutkan di atas, mestilah didokumentasikan mengikut undang-undang Syariah dan Hukum Syarak yang berkaitan. 

 

Di sinilah Wasiyyah memainkan peranan penting. Melalui kemahiran dan pengalaman Panel Syariah yang setiap satunya mempunyai pengalaman melebihi daripada 25 tahun di dalam pelaksanaan, pengurusan dan penggubalan undang-undang Syariah dan undang-undang pusaka berkaitan, kami membangunkan pelbagai dokumentasi yang dapat memenuhi segala keperluan masyarakat. Ia bukan sahaja patuh Syariah malah inovatif dari sudut pelaksanaannya. 

 

Kesemua dokumen (apabila berkeperluan) ini akan melalui proses di Mahkamah Syariah dan di Wasiyyah, kami akan menggunakan perkhidmatan lebih daripada 21 panel peguam Syariah kami di seluruh Malaysia bagi tujuan ini.

 

Bagi perkhidmatan komprehensif kami pula, TIADA FI PERKHIDMATAN guaman yang akan dikenakan kepada waris-waris untuk urusan di Mahkamah Syariah ini. 

 

Bidang kuasa undang-undang Sivil yang perlu difahami waris

Selain daripada  Mahkamah Syariah, urusan harta pusaka orang Islam juga tertakluk kepada bidang kuasa undang-undang Sivil iaitu sama ada di Pejabat Pusaka Kecil (bagi harta pusaka bernilai kurang daripada RM5 juta) atau Mahkamah Tinggi Sivil (bagi urusan harta pusaka bernilai melebihi RM5 juta). 

 

Ketika Mahkamah Syariah berbidang kuasa menentukan siapa waris yang berhak dan bahagian mereka, kedua-dua ejensi Kerajaan ini pula berbidang kuasa untuk mengeluarkan Surat Kuasa Mentadbir dan Perintah Pembahagian (bagi kes di Pejabat Pusaka Kecil) atau Grant of Probate atau Letter of Administration dan Distribution Order (bagi kes di Mahkamah Tinggi Sivil).

 

Di Wasiyyah, urusan di Pejabat Pusaka Kecil akan dibuat oleh pasukan perundangan kami yang berpengalaman manakala urusan di Mahkamah Tinggi Sivil akan dibuat melalui lebih daripada 15 panel peguam sivil kami di seluruh Malaysia. 

 

Kerap juga ditanya kepada saya boleh atau tidak waris pergi terus ke Pejabat Pusaka Kecil untuk berurusan? Jawapannya ialah ‘BOLEH’.

 

Namun waris-waris perlulah faham semua selok-belok dokumentasi dan prosedur yang terlibat. Jika waris-waris bersedia untuk melalui sendiri proses ini, tiadalah keperluan untuk menggunakan perkhidmatan pihak profesional seperti Wasiyyah. 

 

Namun bagi urusan di Mahkamah Tinggi Sivil, suka atau tidak perkhidmatan peguam sivil tetap diperlukan. Waris tidak boleh mengemukakan sendiri permohonan mendapatkan Grant of Probate atau Letter of Administration di Mahkamah Tinggi Sivil. Peraturan telah menetapkan bahawa hanya peguam sahaja yang boleh melaksanakan tugasan ini. Jadi pastinya ada kos guaman di situ. 

 

Namun kelebihan menggunakan perkhidmatan Wasiyyah ialah semua proses ini akan dibuat bagi pihak waris. Maknanya waris tidak perlu bersusah-payah menguruskan dokumentasi berkaitan. Semuanya dibuat Wasiyyah dan bagi pelanggan Al-Wasitah kami, urusan ini dibuat secara PERCUMA. Waris hanya perlu hadir  bicara sahaja. Mudah bukan? 

 

wasiyyah

 

 

Penyelesaian holistik Wasiyyah untuk ummah

Hanya apabila kedua-dua urusan di Mahkamah Syariah dan Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil telah lengkap, barulah segala perintah berkenaan boleh dilaksanakan sama ada bagi tujuan menurun milik harta-harta pusaka kepada waris yang berhak atau menuntut harta pusaka daripada bank (untuk akaun) , koperasi (untuk saham koperasi), JPJ (untuk kenderaan) atau daripada pihak-pihak lain. 

 

Inilah yang sebenarnya menjadi asas perjuangan Wasiyyah selama 21 tahun ini. Kami mahu memberikan penyelesaian holistik untuk ummah. Urusan dokumentasi dan pelaksanaannya baik di Mahkamah Syariah mahupun  di Pejabat Pusaka Kecil dan Mahkamah Tinggi Sivil mahu kami selesaikan secara PERCUMA supaya tidak membebankan waris dan harta pusaka dapat diurus dengan cepat, tepat dan tuntas. 

 

Sekarang anda tanya diri anda sendiri tanpa bimbingan pihak profesional berpengalaman seperti Wasiyyah, adakah waris-waris anda mempunyai masa atau pengetahuan untuk melalui semua proses ini sendiri ? 

 

Selama 27 tahun saya terlibat di dalam industri ini, saya memang tahu secara tepat bahawa tidak ramai waris yang mempunyai kelebihan masa atau pengetahuan ini. Ini belum ditambah lagi dengan faktor perbalahan sesama waris.

 

Akhirnya waris mengambil keputusan menangguhkan daripada bertindak untuk melalui proses perundangan harta pusaka yang rumit, sensitif dan memeningkan ini. 

 

Akibatnya? Harta pusaka tertunggak semakin banyak di Malaysia dan kematian waris-waris yang membawa kepada isu waris berlapis juga semakin meningkat.

 

Sampai bila agaknya isu harta pusaka ini akan selesai? Kalau anda tanya saya, jawapan ikhlas saya ialah ia tidak akan berakhir selama-lamanya kecuali jika hari ini ketika anda masih hidup anda telahpun merancang segala keperluan ini.

 

Selepas merancang dengan baik, barulah berserah kepada Allah SWT agar segala-galanya dipermudahkan oleh-Nya. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd