Harta Pusaka: Isteri yang Dipoligamikan, Sila Berikan Artikel Ini kepada Suami Anda! | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harta Pusaka: Isteri yang Dipoligamikan, Sila Berikan Artikel Ini kepada Suami Anda!

Oleh ARIFFIN SABIRIN

Kisah minggu ini tiada kaitan dengan kematian mana-mana individu kebelakangan ini. Saya mengulas hanya berdasarkan pengalaman menguruskan harta pusaka suami yang berpoligami.

 

Pengalaman 28 tahun sentiasa memberikan perspektif baharu kepada saya apabila berdepan situasi suami berpoligami meninggal dunia.

 

Beberapa tahun lepas, saya duduk sepentas dalam satu majlis dengan seorang balu selebriti yang telah kematian suami. Dia merupakan isteri kedua, dan perkahwinan dengan suami memberikan beberapa orang anak. Ketika suami mati, kesemua anaknya berusia di bawah 18 tahun.

 

Selepas selesai majlis dan duduk minum, dia menceritakan situasinya kepada saya. Madunya yang merupakan isteri pertama si mati mempunyai beberapa orang anak yang telah dewasa.

 

Seperti dalam situasi poligami biasa, perkahwinannya juga ditentang hebat oleh si madu dan anak-anaknya.

 

Kaki Kikis

Mereka menuduh dia sebagai artis yang jauh lebih muda, hanya berniat untuk mengikis harta kerana suaminya seorang ahli perniagaan yang terkenal. Hubungan balu ini dengan madunya tidak pernah baik sejak awal perkahwinannya sehinggalah suaminya meninggal dunia.

 

Sentiasa ada krisis dan konflik, malah madu bersama-sama anaknya yang telah dewasa pernah datang menyerang rumahnya kerana menuduh dia menghasut suaminya supaya jangan pulang ke rumah isteri pertama.

 

Siapa kata bila beristeri lebih daripada satu, hidupnya lebih bahagia? Jika si suami kurang kemahiran dan ilmu, realitinya hidup akan menjadi lebih tertekan untuk semua orang!

 

Apabila suaminya meninggal dunia, madunya enggan membenarkan dia menziarahi jenazah. Madunya menuduh dialah punca mengapa si suami meninggal dunia.

 

Hanya apabila ada pihak ketiga masuk campur dan menasihati, barulah dia dibenarkan melihat jenazah suaminya buat kali terakhir. Dia menceritakan betapa dia amat sedih dan tertekan emosi dengan keadaan itu. Sudahlah kehilangan suami dan anak-anak kecil juga kehilangan tempat bergantung, dia dihina dan diperkecilkan oleh madunya.

 

Saya tekun mendengar kisahnya. Walaupun kisah pusaka ini agak biasa dan sudah hampir pasti dapat dibaca jalan ceritanya, saya sentiasa berminat untuk mendengar kisah baharu kerana ia akan menambahkan perspektif, pengalaman, dan pengetahuan baharu saya.

 

 

Wasiyyah

 


Keluarga Pertama Membolot Sepenuhnya Harta Pusaka

Si balu ini menceritakan bagaimana hampir kesemua harta pusaka arwah suaminya dikuasai dan dibolot oleh isteri/keluarga pertama. Anak-anaknya yang telah dewasa menguasai sepenuhnya semua syarikat suami. Mereka melantik diri mereka sendiri sebagai CEO dan Pengarah Eksekutif.

 

Harta-harta lain seperti rumah-rumah sewa juga dikawal sepenuhnya oleh keluarga pertama.

 

Selama beberapa tahun, tiada apa-apa bantuan kewangan diberikan kepada si balu dan anaknya walaupun harta pusaka yang ditinggalkan itu memberikan hasil jutaan ringgit. Memang arwah suaminya ada meninggalkan wang tunai dalam akaun si balu, namun dalam keadaan anak-anak masih kecil dan bersekolah, lama-kelamaan mereka kehabisan wang untuk meneruskan kehidupan.

 

Walau bagaimanapun, mereka bernasib baik kerana arwah suami ada membeli sebuah pangsapuri secara tunai yang diletakkan di atas nama si balu sebagai tuan punya. Sekurang-kurangnya mereka mempunyai tempat untuk berlindung.

 

Keluarga pertama mendakwa inilah layanan yang selayaknya untuk si balu. Sebagai isteri kedua yang hanya berkahwin beberapa tahun sahaja, dia tidak berhak untuk mendapat harta pusaka sebanyak isteri pertama.

 

Keluarga pertama berkeras tidak mahu memberikan apa-apa hak harta pusaka yang sedang mereka kawal kepadanya dan anak-anak. Dia dikatakan hanya menumpang tuah sahaja!

 

Adakah Benar Hak Isteri/Keluarga Kedua Tidak Sama seperti Isteri/Keluarga Pertama?

Soalan ini ditanya oleh si balu kepada saya dan jawapan saya jelas bahawa dakwaan keluarga pertama TIDAK BENAR SAMA SEKALI.

 

Dari sudut hukum, hak kedua-dua isteri sama banyak, iaitu 1/16 setiap seorang (jika terdapat anak) manakala bakinya dikongsi 2:1 di antara anak lelaki dan anak perempuan daripada kedua-dua isteri tanpa mengira anak yang di bawah umur 18 tahun ataupun yang telah dewasa.

 

Namun, hak ini hanya akan disahkan secara perundangan selepas proses pengurusan harta pusaka dibuat sama ada di Pejabat Pusaka Kecil (bagi kes harta pusaka di bawah nilai RM5 juta) atau di Mahkamah Tinggi Sivil (bagi kes harta pusaka di atas nilai RM5 juta).

 

Dalam Perintah Pembahagian (Pejabat Pusaka Kecil) atau Distribution Order (Mahkamah Tinggi Sivil), hak kesemua waris akan termaktub secara rasmi. Selagi proses ini tidak dibuat, hak-hak ini walaupun wujud dari sudut hukum, ia tidak dapat diturunmilik atau dimiliki secara rasmi oleh waris yang berhak.

 

Keluarga Pertama Enggan Memulakan Prosiding Pengurusan Harta Pusaka

Cabaran timbul kerana keluarga pertama enggan bekerjasama dengan si balu untuk memulakan proses pengurusan harta pusaka. Mereka enggan bertemu dan berbincang. Mereka juga enggan mendedahkan secara telus apakah perincian harta pusaka yang dimiliki oleh si mati.

 

Si balu hanya dapat meneka apa harta pusaka yang ditinggalkan suami berdasarkan cerita-cerita suaminya sahaja. Si balu mahu menuntut haknya dan anak-anak, namun tiada pengesahan perincian harta pusaka dapat dibuat.

 

Kepada saya, taktik ini jelas dan telah sering saya temui sepanjang 28 tahun pengalaman. Keluarga pertama enggan bekerjasama kerana mereka tahu apabila proses pengurusan harta pusaka itu dilalui, mereka perlu menyerahkan harta-harta tertentu kepada si balu dan anak-anaknya sebagai waris yang berhak mengikut hukum faraid.

 

Lagi lambat proses ini dilalui, lebih banyak hasil daripada harta-harta itu dapat dinikmati oleh keluarga pertama.

 

Si balu bertanya pula apakah hukumnya keluarga pertama membolot semua harta pusaka sedangkan ada haknya dan anak-anak di situ? Hukumnya jelas, iaitu HARAM.

 

Namun, pandangan saya ini ialah pandangan umum tanpa mengetahui secara terperinci duduk letak kes itu. Pengalaman mengajar saya bahawa dalam apa keadaan sekalipun, setiap kes harta pusaka itu ialah unik.

 

Iktibar untuk Suami yang Berpoligami

Kes ini saya utarakan sebagai bahan penulisan artikel 'Anekdot Mawarith' minggu ini sebagai iktibar kepada suami yang berpoligami.

 

Anda mungkin telah berjaya menguasai rumah tangga anda dengan baik hari ini ketika anda masih hidup, namun segala kebarangkalian seperti kisah yang saya ceritakan ini boleh berlaku selepas ketiadaan anda.

 

Kasihanilah anak-anak kecil yang bakal anda tinggalkan kelak. Jangan tinggalkan balu anda dalam keadaan terhimpit beban membesarkan zuriat anda. Mereka akan memerlukan persediaan kewangan yang banyak bagi meneruskan kehidupan dan menampung pendidikan sehingga dewasa.

 

Kepada suami yang berpoligami, ambil langkah proaktif; hubungilah Wasiyyah hari ini supaya kami boleh membantu merancang harta anda mengikut kaedah Syariah dengan tepat. Pastikan anda berlaku adil kepada semua waris di samping menjamin nasib anak-anak yang masih kecil.

 

Sebagai syarikat amanah patuh Syariah paling berpengalaman di Malaysia, kami ada penyelesaian yang tepat.

 

Hubungilah kami atau mana-mana daie kami bagi mendapatkan maklumat terperinci. Keputusan di tangan anda. Bertindaklah segera hari ini. - DagangNews.com