Dalam kehidupan moden hari ini, masyarakat sering mengaitkan perancangan harta pusaka hanya dengan pembahagian harta selepas kematian.
Hakikatnya, pengurusan harta pusaka menurut Islam jauh lebih besar daripada itu. Ia berkait secara langsung dengan pemeliharaan agama, institusi keluarga, kestabilan ekonomi, pendidikan generasi dan keharmonian masyarakat. Sebab itulah Islam meletakkan pengurusan harta sebagai sebahagian daripada agenda besar Maqasid Syariah.
Maqasid Syariah bermaksud objektif, tujuan atau hikmah utama pensyariatan hukum-hakam Islam. Para ulama seperti Imam al-Ghazali dan Imam al-Shatibi menghuraikan bahawa syariah diturunkan bagi menjaga lima perkara asas kehidupan manusia iaitu agama (hifz ad-din), nyawa (hifz an-nafs), akal (hifz al-aql), harta (hifz al-mal) dan keturunan atau nasab (hifz an-nasl). Kesemua elemen ini saling berkait bagi memastikan manusia hidup dalam keadaan sejahtera di dunia dan akhirat.
Dalam konteks pengurusan harta pusaka Islam di Malaysia, Wasiyyah muncul sebagai sebuah syarikat amanah yang bukan sahaja menawarkan produk hibah, wasiat dan amanah patuh syariah, malah bergerak di atas landasan pencapaian Maqasid Syariah secara menyeluruh.
Kedudukan Wasiyyah bukan semata-mata untuk menyediakan dan melaksanakan dokumen perancangan harta atau mencapai keuntungan komersial, tetapi lebih besar lagi ialah memberikan penyelesaian menyeluruh kepada masalah umat.

Satu darpada manifestasi terbesar komitmen ini ialah melalui perkhidmatan pengurusan pusaka percuma Al-Wasitah. Perkhidmatan ini merupakan satu pendekatan unik dan pertama seumpamanya di Malaysia apabila waris pelanggan dibantu melalui proses pengurusan pusaka tanpa dikenakan sebarang fi perkhidmatan.
Ketika waris terpaksa menanggung fi pengurusan pusaka daripada beberapa ribu ringgit hingga beberapa peratus daripada nilai harta pusaka bagi perkhidmatan sedemikian, Wasiyyah menawarkannya secara percuma. Ini bukan gimik, tetapi realiti. Lebih daripada 400 kes percuma telah berjaya diselesaikan.
Pendekatan ini dibangunkan kerana Wasiyyah mahu memberikan impak besar terhadap pencapaian Maqasid Syariah dalam masyarakat.
Hifz al-mal
Pertamanya, Wasiyyah membantu pencapaian hifz al-mal iaitu pemeliharaan harta. Antara masalah terbesar umat Islam di Malaysia hari ini ialah isu harta pusaka beku yang mencecah puluhan bilion ringgit.
Banyak harta gagal diagihkan kerana waris tidak memahami prosedur pusaka, berlaku perselisihan sesama sendiri atau tidak mampu menanggung kos pengurusan yang tinggi. Akibatnya, tanah terbiar, rumah tidak dapat dipindah milik dan wang simpanan tidak dapat dimanfaatkan.

Melalui Al-Wasitah, Wasiyyah membantu memastikan harta si mati dapat ditadbir dan diagihkan kepada waris dengan lebih cepat, tersusun dan patuh syariah. Ini secara langsung membantu mengelakkan isu harta pusaka beku.
Harta pusaka yang berjaya dicairkan akan kembali berfungsi dalam ekonomi keluarga dan masyarakat. Anak-anak dapat meneruskan kehidupan, pendidikan dapat diteruskan dan perniagaan keluarga dapat diselamatkan. Inilah hakikat sebenar hifz al-mal menurut perspektif Islam.
Lebih menarik lagi, pendekatan pengurusan pusaka percuma ini mengelakkan waris daripada dibebani fi pengurusan pusaka yang tinggi.
Dalam banyak keadaan, terdapat waris yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri seperti membayar fi pembukaan fail dan pelbagai fi lain, malah ada yang terpaksa menjual harta pusaka semata-mata untuk membayar kos pengurusan.
Situasi ini bercanggah dengan semangat syariah yang mahu menjaga kebajikan waris. Al-Wasitah hadir membawa pendekatan yang lebih rahmah dan lebih dekat dengan roh Islam.
Hifz ad-din
Kedua ialah pencapaian hifz ad-din iaitu pemeliharaan agama. Pengurusan pusaka Islam sebenarnya berkait rapat dengan ketaatan kepada hukum Allah SWT.
Apabila pembahagian pusaka dilaksanakan dengan jelas, tepat dan telus mengikut hukum faraid serta hukum-hakam lain yang berkaitan, maka masyarakat sedang melaksanakan tuntutan agama. Sebaliknya, pengabaian pusaka sering membawa kepada pelbagai pelanggaran syariah seperti penafian hak waris, perebutan harta dan permusuhan keluarga.
Sejak 22 tahun lalu, Wasiyyah memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat mengenai kewajipan merancang harta menurut syariah. Selama lebih dua dekad, syarikat ini aktif memberikan seminar, penulisan ilmiah dan pendidikan masyarakat berkaitan hibah, faraid, wasiat dan amanah. Ini menjadikan pengurusan harta bukan sekadar urusan duniawi, tetapi sebahagian daripada ibadah dan tanggungjawab agama.
Perkhidmatan Al-Wasitah juga membantu waris memahami proses pusaka dengan lebih baik. Dalam banyak keadaan, waris yang kehilangan ahli keluarga berada dalam keadaan emosi yang terganggu dan tidak memahami prosedur perundangan berkaitan.
Kehadiran pegawai yang membantu secara profesional dan patuh syariah memberi ketenangan kepada waris untuk melaksanakan tuntutan agama dengan betul.

Hifz an-nasl
Ketiga ialah pencapaian hifz an-nasl atau pemeliharaan keturunan dan kesinambungan generasi. Konflik pusaka sering menjadi punca keretakan hubungan keluarga.
Adik-beradik boleh bermusuhan bertahun-tahun akibat perebutan harta. Hubungan anak-beranak menjadi renggang dan institusi keluarga boleh runtuh hanya kerana pusaka tidak diurus dengan baik.
Melalui pendekatan yang sistematik dan profesional, Wasiyyah membantu mengurangkan konflik keluarga dalam urusan pusaka. Apabila hak waris dijelaskan dengan terang dan proses pengagihan dibuat secara telus, maka potensi pergaduhan dapat diminimumkan. Ini sangat penting dalam menjaga keharmonian institusi keluarga.
Selain itu, pengurusan pusaka yang cekap memastikan generasi seterusnya tidak kehilangan sumber kehidupan mereka. Anak-anak yang masih kecil, misalnya, dapat terus dibela apabila aset keluarga dapat dicairkan dengan cepat. Rumah keluarga tidak terbiar dan pendidikan anak-anak dapat diteruskan. Semua ini membantu memastikan kesinambungan keturunan dipelihara dengan baik.
Hifz al-aql
Keempat ialah pencapaian hifz al-aql iaitu pemeliharaan akal. Pada pandangan sesetengah pihak, kaitan antara pengurusan pusaka dan pemeliharaan akal mungkin tidak begitu jelas.
Namun hakikatnya, tekanan kewangan dan konflik keluarga akibat pusaka sering memberi kesan besar terhadap kesihatan mental masyarakat.
Ramai waris mengalami tekanan emosi, kemurungan dan kebuntuan apabila berdepan proses pusaka yang rumit. Ada keluarga yang bertahun-tahun tidak dapat menyelesaikan pusaka sehingga hubungan kekeluargaan menjadi toksik. Dengan adanya sistem bantuan seperti Al-Wasitah, beban emosi ini dapat dikurangkan.
Di samping itu, Wasiyyah juga aktif menyebarkan ilmu berkaitan perancangan harta Islam kepada masyarakat. Pendidikan ini membantu meningkatkan kefahaman umat Islam mengenai hak dan tanggungjawab mereka. Masyarakat yang berilmu akan membuat keputusan yang lebih bijak dan rasional dalam pengurusan harta.
Hifz an-nafs
Kelima ialah pencapaian hifz an-nafs yang berkait dengan kesejahteraan hidup manusia. Walaupun fokus utama pengurusan pusaka ialah harta, kesannya sangat besar terhadap kelangsungan hidup waris.
Ramai balu dan anak-anak berdepan tekanan selepas kematian ketua keluarga kerana tiada akses segera kepada aset si mati.
Apabila proses pengurusan pusaka dapat dipermudahkan, dipercepatkan dan dibuat secara percuma, kebajikan hidup waris lebih terjamin. Mereka mempunyai sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan, mendapatkan rawatan kesihatan, makanan dan tempat tinggal. Ini merupakan satu daripada bentuk pemeliharaan nyawa dan kesejahteraan manusia yang sangat ditekankan oleh syariah.
Apa yang lebih penting, Wasiyyah dilihat sebagai satu-satunya syarikat amanah patuh syariah di Malaysia yang benar-benar bergerak di atas falsafah Maqasid Syariah secara menyeluruh. Pendekatan syarikat ini bukan sekadar menjual dokumen hibah atau wasiat, tetapi membina satu ekosistem penyelesaian umat yang berasaskan rahmah, pendidikan dan kebajikan masyarakat.
Pelaburan besar syarikat dalam penyelidikan dan pembangunan melebihi RM2 juta sejak 2004, pembangunan sistem digital hibah, pendidikan masyarakat dan perkhidmatan pusaka percuma menunjukkan bahawa objektif utama syarikat adalah untuk memberikan manfaat besar kepada umat Islam.

Sesungguhnya, pengurusan harta pusaka bukan sekadar soal siapa mendapat berapa. Ia merupakan instrumen besar dalam membina masyarakat yang stabil, harmoni dan sejahtera.
Dalam konteks ini, Wasiyyah telah membuktikan bahawa institusi korporat juga boleh menjadi pemangkin kepada pencapaian Maqasid Syariah apabila bergerak dengan niat, sistem dan falsafah yang betul. - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH









