Harga Minyak Naik? Jangan Marah Pam, Marahlah Sistem! | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga Minyak Naik? Jangan Marah Pam, Marahlah Sistem!

Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA

Harga naik, kita marah.
Harga turun sedikit, kita terus anggap semuanya sudah kembali normal.
Namun, kedua-duanya salah.

 

Setiap kali harga bahan api berubah, kita ulang skrip lama – marah pada angka, malas memahami sistem. Kita melihat papan harga seolah-olah seluruh ekonomi negara boleh disimpulkan pada nombor di stesen minyak. Ahli politik bercakap. Pakar bentang graf. Netizen melenting.

 

Tiga hari kemudian, semua hilang minat. Bukan kerana masalah selesai, tetapi kerana negara lebih selesa dengan kemarahan segera daripada memahami punca sebenar.
Kemudian harga berubah lagi, dan drama yang sama berulang.

 

Masalahnya bukan papan harga. Masalahnya ialah kita percaya kerajaan cukup kuat, cukup bijak, atau cukup prihatin, harga tenaga boleh dikekalkan rendah selamanya. Itulah salah faham paling mahal dalam ekonomi Malaysia.

 

Malaysia Bukan Penentu Harga

Malaysia bukan tempat asal harga tenaga. Malaysia cuma tempat ia mendarat.

 

Selat Hormuz menegaskan hakikat ini. Pada 2024, sekitar 20.7 juta tong minyak sehari melalui laluan itu – hampir 20% penggunaan petroleum dunia. Dalam pasaran gas pula, sekitar 20% perdagangan LNG global turut melaluinya. Bagi Asia, kesannya lebih besar: 84% minyak mentah dan kondensat serta 83% LNG melalui selat itu berakhir di rantau ini.

 

Apabila Hormuz berisiko, premium harga Asia bergerak dahulu. Malaysia cuma menerima kesannya. Pasaran tidak menunggu perang. Risiko, insurans, kebimbangan logistik, dan pembelian awal oleh negara besar sudah cukup menaikkan harga.

 

Dalam ekonomi hari ini, pasaran tidak hanya menjual minyak. Ia juga menjual ketakutan. Bilnya akhirnya dibayar di pam minyak di Segamat, Shah Alam, dan Seberang Jaya.

 

Negara Pengeluar, Tapi Harga Tetap Global

Ya, Malaysia pengeluar minyak dan gas. Itu tidak menjadikan Malaysia penentu harga. Malaysia bukan Arab Saudi. Malaysia bukan kuasa pasaran yang boleh memisahkan harga domestik daripada global sesuka hati.

 

Angka rasmi menjelaskan segalanya. Pada suku keempat 2025, Malaysia mengimport RM11.5 bilion minyak mentah dan kondensat, RM22.7 bilion produk petroleum bertapis, dan RM1.6 bilion LNG. Pada masa sama, eksport RM6.1 bilion minyak mentah, RM23.9 bilion produk petroleum bertapis, dan RM13.6 bilion LNG. Pengeluaran minyak mentah meningkat 1.1% kepada 183.6 juta tong.

 

Ini menunjukkan Malaysia bukan sistem tertutup. Malaysia sebahagian pasaran serantau yang menghasilkan, mengimport, memproses dan mengeksport.

 

Jika menjadi pengeluar menjamin harga murah, separuh dunia sudah selesai masalah kos sara hidup. Ekonomi tidak tunduk logik semudah komen media sosial. Ayat “kita negara pengeluar, jadi minyak patut murah” hanya sedap didengar, bukan tepat untuk dasar atau hujah.

 

Yang keluar bawah tanah ialah minyak mentah. Yang sampai ke pam ialah produk bertapis, selepas kos penapisan, logistik, pengedaran dan pertukaran mata wang.

 

Subsidi Bukan Penyelamat

Subsidi tidak menghapuskan harga sebenar. Ia cuma menentukan siapa menanggung kos. Apabila harga di pam kelihatan lebih rendah, kos sebenar tidak hilang. Ia dialihkan – daripada dompet pengguna ke kewangan negara.

 

Subsidi bukan bukti barang murah. Ia bukti negara sanggup menanggung sebahagian harga yang pengguna tidak mahu lihat.

 

Perubahan dasar bukan sekadar soal pentadbiran. Ia pengakuan bahawa era subsidi pukal semakin sukar dipertahankan. Di bawah BUDI95, bermula 27 September 2025, warganegara dengan lesen memandu sah layak membeli RON95 pada RM1.99 seliter dengan kuota 300 liter sebulan.

 

Kerajaan peruntuk sekitar RM11 bilion untuk skim ini. Lebih 10 juta rakyat telah menikmati skim daripada pangkalan data 16.5 juta warganegara.

 

Perubahan ini penting bukan hanya dasar, tetapi kejujuran. Negara tidak lagi berpura-pura melindungi semua secara pukal. Subsidi kini soal pemilihan, bukan pendekatan sejagat.

 

Kos Sara Hidup Tidak Boleh Dipandang Remeh

Data DOSM menunjukkan purata perbelanjaan isi rumah meningkat daripada RM5,150 pada 2022 kepada RM5,566 pada 2024. 67.2% tertumpu pada empat kumpulan utama: Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (23.5%), Restoran & Penginapan (17.0%), Makanan & Minuman (15.7%), Pengangkutan (11.0%).

 

Ini bukan statistik semata. Ini peta kerentanan. Sebahagian besar kehidupan harian rakyat bergantung pada perkara yang cepat terjejas apabila harga tenaga berubah. Tekanan kewangan bukan boleh dijawab dengan sindiran atau nasihat murahan seperti “orang tak pandai berjimat”.

 

Kadang-kadang masalah bukan tabiat berbelanja. Kadang-kadang sistem itu sendiri sudah terlalu mahal untuk membenarkan hidup biasa kekal biasa.

 

Marahlah Pada Yang Betul

Apabila harga minyak naik lagi, marahlah jika mahu. Tetapi marahlah pada benda yang betul. Bukan papan harga. Bukan benda paling mudah dipersalahkan.

 

Marahlah pada kebiasaan lama yang mengajar kita bahawa harga sebenar boleh disorok dengan subsidi, bahawa pasaran global akur kerana politik tempatan lantang.

 

Selama ini, kita terlalu lama percaya harga sebenar boleh ditangguhkan tanpa akibat. Ia tidak akan. Ia tidak pernah. - DagangNews.com

 

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)