Setiap tahun, dunia meraikan Hari Buku Sedunia, pada Hari William Shakespeare. Walaupun merayakan hari buku itu sesuatu yang boleh dibanggakan, kita perlu mula menghargai karya-karya sastera yang meliputi kita, dan menghargai sastera kita sendiri.
Selagi ini tidak tercapai, selagi itulah kita masih dimomokkan budaya dan falsafah orang lain.
Kira-kira enam minggu yang lalu, saya menerima panggilan dari Cecelia Ratnam dari AMIS, menjemput saya ke Festival Hari Buku di sekolahnya.
Sudah lama saya tidak berkunjung ke sekolah untuk berkongsi cerita hikayat kerana begitu sibuk. Namun peluang ini saya cuba tunaikan dan dengan gembira saya bersetuju.
Pelajar sekolah ini adalah pelajar sekolah menengah, dengan sejumlah pelajar antarabangsa dati China, Korea, India dan juga Jepun.
Saya yakin mereka mungkin belum pernah mendengar tentang wira-wira legenda kita.... Mungkin langsung tidak mengenali dunia kita sebagaimana, kita mengenali dunia mereka. Apa yang sepatutnya saya katakan, dan apa yang sepatutnya saya kongsikan?

Animasi menarik minat generasi muda
Kami memulakan sesi dengan menayangkan filem animasi pendek yang memenangi anugerah, "The Walinong Sari" yang disukai oleh semua golongan anak-anak, yang muda dan belia.
Ternyata mereka terpegun dengan animasi yang indah serta cerita yang baru. Walinong Sari dapat membuka pintu ingin tahu dari pelajar di sini yang lebih arif tentang sastera barat.
Selepas itu, saya mulakan sesi dengan menceritakan pengalaman sendiri menerokai dunia penulisan. Ramai terkejut cita-cuta menulis terpendam sejak berumur 11 tahun. Perkongsian ini mendorong dua pelajar menghubungi saya untuk bertanya dengan lebih terperinci.
Guru segala-galanya
Saya juga berkongsi tentang guru yang memberi galakan kepada saya sepanjang perjalanan menulis iaitu Teoh Choon Ean yang juga seorang penulis tersohor.
Beliau juga mempelajari Kesusasteraan Nusantara. Principal AMIS amat tertarik dengan hakikat guru saya menjadi ‘life coach’ saya apabila meningkat dewasa.
Saya bercerita tentang Bidasari. Malim Deman. Sang Kancil. Tentang puisi dan cerita-cerita yang menyatukan penduduk Kepulauan Melayu. Tentang DRAGONLORE. Yang akan diarkibkan di bulan.
Dan untuk pelajar antarabangsa?
Saya bertanya kepada mereka tentang cerita-cerita dari kampung halaman mereja sendiri. Dan apabila mereka tidak dapat mengingatnya pada mulanya, saya menceritakan kisah Maharaja Naga Korea dan seruling Manpasikjeok Daegeum (mereka terkejut dan bertanya, “Kita ada Maharaja Naga?”), kisah legenda China tentang Orang Tua yang Memindahkan Gunung dan kemudiannya, puisi Li Bai bersama pelajar dari China, dan kisah Ramayana dari India.
Pengerusi PIBG, Raja Ferin merupakan hos yang begitu bersontan santun dan ramah mesra, Principal Kolej berkongsi pengalaman membesarkan anak gadis remaja di USA, Indonesia, Malaysia dan Taipei.


Satu pengalaman yang amat menyentuh perasaan, dapat berkongsi ilmu dan belajar dari pelajar yang dahagakan seni dan budaya, sastera dan nurani yang luhur.
Memang mereka lebih mengenali J K Rowling, Shakespeare dan Roadl Dahl.
Namun, di majlis pesta Hari Buku Sedunia ini, saya berusaha menarik minat anak Malaysia dan dunia mengenal Hikayat, Cerita Rakyat dan Dunia Kepulauan Melayu yang unik.
Dan itu kebanggaan dan misi peribadi, menduniakan Hikayat. - DagangNews.com








