Malaysia telah terlalu lama menambat arah ekonominya kepada pasaran komoditi global. Harga minyak menjadi barometer fiskal, manakala dasar pula bergerak mengikut pasaran, bukan strategi.
Kebergantungan ini meletakkan negara pada kedudukan reaktif, iaitu membentuk belanjawan berdasarkan unjuran, bukan keupayaan sebenar. Kenderaan elektrik atau EV membuka jalan untuk merombak asas itu.
Ia bukan pelan teknologi, tetapi satu langkah penstrukturan semula kuasa ekonomi, iaitu dari mengeksport bahan mentah kepada menguasai komponen kritikal dalam rantaian nilai baharu.
Siapa yang mengawal bateri, menentukan reka bentuk pengecas dan menulis piawaian rentas sempadan tidak sekadar menjual kenderaan, tetapi membina ekosistem.
Malaysia tidak boleh lagi menilai EV sebagai produk automotif. Ia perlu dilihat sebagai peluang untuk keluar daripada sistem yang terlalu lama membayar kepada pemilik teknologi, tetapi tidak pernah menjadi pencipta.
Dari Geely ke Proton: Bukan Lagi Soal Lencana, Tetapi Arah
Proton melancarkan e.MAS 7 pada akhir 2024. Walaupun asasnya ialah Geely Galaxy E5, ia bukan semata-mata soal jenama atau penjenamaan semula. Ia isyarat tentang bagaimana Malaysia menyusun semula peranannya dalam dunia mobiliti baharu. Satu permulaan kepada sesuatu yang lebih struktural.
Kilang EV khusus di Tanjung Malim mula dibina dengan kapasiti pengeluaran 20,000 unit setahun. Tetapi angka itu bukan menjadi agenda utama. Yang lebih penting ialah pembentukan rantaian nilai baharu, melibatkan vendor tempatan yang selama ini tersepit di antara skru dan plastik dashboard.
Sasaran 30% kandungan tempatan menjelang 2030 bukan retorik nasionalisme industri. Ia prasyarat untuk kekal relevan dalam ekonomi rantau yang sedang berganjak.
Dalam dunia baharu, kehadiran tidak lagi mencukupi. Malaysia perlu membina nilai, bukan hanya mengisi statistik.

Infrastruktur yang Bercerita Tentang Strategi Negara
Sehingga akhir tahun 2024, terdapat sekitar 3,611 pengecas awam EV dipasang di seluruh negara, terdiri daripada 2,516 unit AC dan 1,095 unit DC pantas.
Ini hanya menyumbang kira‑kira 36 % daripada sasaran 10,000 stesen pengecas menjelang akhir 2025, yang turut merangkumi Sabah dan Sarawak.
Walaupun sasaran DC telah ditingkatkan kepada 1,500 unit, kadar pemasangan pengecas pantas masih belum memadai.
Data MEVNet terakhir dikemaskini pada Disember 2024, menimbulkan persoalan tentang ketelusan dan momentum pelaksanaan projek. Angka‑angka ini bukan sekadar KPI PowerPoint tetapi ia adalah gambaran kepada sejauh mana komitmen kita membina asas infrastruktur EV yang sebenar.
Di lebuh raya utama, pengecas pantas kini sudah tersedia. Pemain seperti Gentari, Shell Recharge dan TNB Electron menyusun pelaburan mereka secara strategik di lokasi tumpuan, manakala aplikasi seperti ChargeSini dan JomCharge menjadikan pengecasan bukan lagi aktiviti rawak, tetapi sebahagian daripada perjalanan yang dirancang.
Apa yang sedang terbina bukan sekadar grid elektrik. Ia ialah ekosistem yang merentasi sektor tenaga, digital dan automotif. Di sinilah dasar mula bertindak sebagai strategi, bukan sekadar senarai belanja tahunan atau tender bermusim.
TVET, Universiti dan Kebangkitan Kepakaran Baru
TVET mula meninggalkan legasi enjin pembakaran yang sudah tidak lagi dominan. Fokus beralih kepada teknologi bateri, sistem pengecas dan kejuruteraan mobiliti baharu. RM200 juta yang disalurkan bukan untuk menambah peralatan di bengkel, tetapi untuk menyusun semula cara kita melihat masa depan latihan kemahiran.
Di universiti, landskap penyelidikan turut berubah. Bidang seperti grid dua hala, perisian pengecas dan integrasi tenaga pintar mula menjadi tumpuan utama.
Graduan kejuruteraan tidak lagi dibentuk semata-mata untuk menyertai pasaran kerja sedia ada. Mereka dipersiapkan untuk mencipta sektor yang belum pun wujud secara formal.
Dalam ekosistem yang masih cair, pemain tempatan seperti ChargeSini dan GoEV muncul lebih awal. Mereka tidak menunggu kerangka dasar atau insentif diumumkan. Mereka bertindak kerana nampak jurang yang belum disentuh sesiapa.
Bagi mereka, mobiliti elektrik bukan sekadar masa depan industri. Ia adalah ruang kekuasaan baharu yang mesti dimasuki sebelum ia dimonopoli.
Insentif Baharu, Pemikiran Baharu
Insentif fiskal untuk EV telah bermula sejak 2022. Pengecualian duti dan cukai menjadikan Malaysia kelihatan mesra pelabur. Namun dalam era baharu ini, ‘mesra’ tidak lagi bermaksud terbuka tanpa sempadan.
Hanya pelabur yang membawa teknologi, pemindahan kepakaran dan komitmen terhadap vendor tempatan diberi laluan. Kita mula melihat perbezaan antara pelaburan yang mencantikkan angka dan pelaburan yang membina asas.
Dalam sektor EV, pemilahan ini semakin jelas. Dasar tidak lagi menyamakan semua modal sebagai nilai. Hanya yang mencipta kesan jangka panjang diberi tempat.

Kita selalu bangga dengan pelaburan luar, tetapi jarang sekali kita persoalkan: siapa yang menulis paten, siapa yang memiliki data, dan siapa yang mengaut untung setiap kali pengecas penuh?
Tanpa sedar, kita mungkin sedang membina ekosistem yang cantik di luar, tetapi dikawal dari luar. Jika benar kita mahu mencipta nilai, bukan hanya menjadi pasaran, maka kita mesti mula memiliki komponen yang menentukan, bukan hanya meminjam teknologi.
Di sinilah pentingnya pelaburan seperti kilang separator lithium-ion bernilai RM3.2 bilion, satu titik perubahan yang menunjukkan Malaysia tidak lagi hanya memasang, tetapi mula menguasai elemen kritikal yang menjadi nadi industri bateri global.
Separator mungkin tidak glamor, tetapi ia komponen strategik. Siapa yang memilikinya, memiliki leverage dalam keseluruhan rantaian bekalan.
EV Bukan Cerita Kereta
Jika kita menilai sektor EV hanya berdasarkan angka jualan atau jumlah pengecas awam, kita akan terlepas intinya. EV bukan soal mobiliti semata. Ia adalah mandat ekonomi yang mengukur sejauh mana kita berani menyusun semula rantaian nilai, merangka dasar yang segar dan melatih rakyat untuk industri yang belum pun matang.
Dalam erti kata lain, EV ialah ujian kepada struktur, bukan semata-mata teknologi. Ia menilai kesediaan negara untuk menjadi pencipta nilai, bukan hanya penerima.
Buat pertama kali dalam sejarah moden, Malaysia berpeluang membina sistem baharu yang tidak bergantung pada harga minyak dan tidak tunduk kepada gelombang pasaran luar.
Soalnya, adakah kita cukup bersedia? Atau kita masih menunggu pelabur luar menentukan masa depan kita, satu piawaian pada satu masa, satu sistem demi satu sistem? - DagangNews.com








