Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, rakyat Malaysia berdepan dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin membebankan. Satu daripada komponen utama yang memberi kesan kepada isi kediaman ialah kenaikan bil elektrik.
Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan boleh guna rakyat, malah turut memberi kesan kepada sektor perniagaan kecil dan sederhana.
Peningkatan bil elektrik bukanlah satu isu yang terpencil akan tetapi ia adalah hasil daripada pelbagai faktor seperti:
kenaikan harga bahan api global
pengurangan subsidi kerajaan
perubahan iklim yang menyebabkan cuaca lebih panas dan memerlukan penggunaan alat penyejuk secara berterusan
peningkatan permintaan tenaga akibat pertambahan penduduk dan pembangunan.

Realiti Bil Elektrik yang Meningkat
Bagi kebanyakan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40), bil elektrik kini bukan lagi kos yang mudah ditanggung oleh mereka.
Dalam satu tinjauan tidak rasmi dalam kalangan penduduk bandar, ramai yang melaporkan peningkatan bil elektrik sebanyak 20% hingga 40% dalam tempoh satu tahun terakhir. Malah, penggunaan yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya kini menghasilkan bil yang jauh lebih tinggi.
Keadaan ini menimbulkan persoalan penting iaitu apa pilihan yang rakyat ada untuk mengurus dan mengawal peningkatan ini? Adakah satu-satunya jalan ialah berjimat cermat dan mematikan suis? Atau adakah terdapat penyelesaian yang lebih lestari dan berkesan dalam jangka panjang?
Tenaga Solar Sebagai Alternatif
Salah satu pilihan yang semakin popular dan realistik pada masa kini ialah tenaga solar iaitu tenaga yang boleh diperbaharui.
Dahulunya dianggap sebagai teknologi eksklusif untuk syarikat besar atau rumah mewah, tenaga solar kini telah menjadi lebih mampu milik dan praktikal untuk kegunaan harian rakyat biasa kerana harganya kini yang kian menurun dan murah dari harga asalnya, kos pemasangan yang mampu dimiliki dan pelbagai skim sokongan yang ditawarkan.
Tenaga solar berfungsi dengan menggunakan panel fotovoltaik (PV) untuk menangkap cahaya matahari dan menukarnya menjadi tenaga elektrik.
Tenaga ini kemudian boleh digunakan secara terus di rumah atau disimpan dalam bateri untuk kegunaan malam. Dengan sistem solar yang cekap, pengguna boleh mengurangkan kebergantungan kepada bekalan elektrik konvensional, sekali gus menurunkan jumlah bil elektrik bulanan.

Bukan itu sahaja, pelaburan dalam sistem solar juga memberi pulangan jangka panjang. Dalam kebanyakan kes, pengguna yang memasang sistem solar mampu mengurangkan sehingga 50%–80% bil elektrik mereka, dan dalam situasi tertentu, mereka juga boleh menjual tenaga berlebihan kembali ke grid nasional melalui program Net Energy Metering (NEM) yang diperkenalkan oleh kerajaan.
Namun NEM telah habis pada 30 Jun 2025 dan itu telah menyebabkan penjualan dan beli tenaga tidak akan berlaku lagi dan pembaziran tenaga.
Cabaran dan Persepsi Awam
Walaupun tenaga solar semakin dikenali ramai, masih terdapat beberapa halangan tertentu dalam penerimaan dalam khalayak masyarakat.
Antara halangan utama ialah persepsi bahawa pemasangan sistem solar adalah mahal dan rumit penjagaannya. Ramai yang tidak mengetahui bahawa kos pemasangan kini telah menurun secara signifikasi berbanding lima atau sepuluh tahun lalu.
Selain itu, terdapat pelbagai skim pembayaran, rebat, dan insentif yang ditawarkan untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di peringkat individu dan komuniti.
Seterusnya, kurangnya kesedaran tentang cara sistem solar berfungsi, manfaat jangka panjang, dan penyelenggaraan juga menjadi penghalang kepada penerapan teknologi ini secara lebih meluas kepada masyarakat kini.
Persatuan Industri Tenaga Boleh Baharu dan Alam Sekitar (PINTARE)
Oleh itu, wujudnya Pintare, persatuan kumpulan syarikat yang ditubuhkan oleh Ir. Ahmad Fathi Zainazlan yang disertai oleh beberapa syarikat tenaga boleh baharu.
Dalam menghadapi isu ini, PINTARE memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara teknologi dan rakyat.

Sebagai seorang jurutera berpengalaman dan pendokong kuat tenaga boleh diperbaharui, Ir. Ahmad Fathi aktif dalam mempromosikan penyelesaian tenaga solar yang praktikal dan mesra pengguna.
Ir. Ahmad Fathi merupakan pengasas kepada Pintare, sebuah syarikat teknologi tenaga yang berfokus kepada sistem solar berskala kediaman dan komersial.
Di bawah kepimpinannya, Pintare membangunkan sistem solar yang bukan sahaja efisien, malah ianya juga dilengkapi dengan teknologi pintar seperti pemantauan penggunaan tenaga secara masa nyata dan sistem automatik tenaga rumah.
Mendemokrasikan Tenaga Solar
Pendekatan Pintare adalah berteraskan kepada pendemokrasian teknologi tenaga menjadikan tenaga solar sesuatu yang mudah difahami, mudah dipasang, dan mudah dijaga.
Syarikat ini turut menawarkan konsultasi dan reka bentuk sistem yang disesuaikan dengan keperluan pengguna, supaya mereka benar-benar mendapat manfaat maksimum daripada pelaburan tenaga solar.
Beliau juga sering menekankan bahawa masa depan tenaga bergantung kepada rakyat sendiri sejauh mana mereka sanggup berubah dan melabur dalam penyelesaian yang lebih hijau, cekap dan menjimatkan.
Dengan situasi pada masa kini dengan bil elektrik yang tidak menunjukkan tanda akan kembali menurun dalam masa terdekat, rakyat kini perlu bijak dalam merancang penggunaan tenaga.
Tenaga solar bukan sahaja menjimatkan dalam jangka panjang, malah menyumbang kepada usaha negara dalam mengurangkan pelepasan karbon dan mengekalkan kelestarian alam sekitar.
Seperti yang ditegaskan oleh Ir. Ahmad Fathi Zainazlan, "Tenaga yang bersih, cekap dan berpatutan bukan sekadar impian, ia adalah pilihan yang kita boleh buat hari ini." - DagangNews.com








