Kita sudah memasuki pertengahan Ramadan hari ini. Di dalam kesibukan merancakkan pesta ibadat, pastinya sedikit demi sedikit kita sudah mulai memikirkan bagaimanakah sambutan Aidilfitri tahun ini.
Selain daripada perancangan perjalanan dan logistik, antara agenda yang akan difikirkan ialah pertemuan dengan ahli keluarga yang lain.
Bagi yang masih mempunyai ibu bapa, Aidilfitri ialah hari untuk kita berkumpul bersama ahli keluarga di rumah ibu bapa sambil merapatkan silaturrahim, terutamanya dalam kalangan anak-anak kita iaitu sesama sepupu.
Sebagai adik-beradik, kita mungkin mempunyai kenangan membesar bersama, namun anak-anak kita jarang bertemu dan mungkin ada jarak perhubungan di antara mereka. Kehadiran ibu bapa merupakan kunci utama yang menyimpul kuat ikatan persaudaraan ini.
Bagi yang telah kehilangan ibu bapa atau salah seorang daripada ibu atau bapa, di sinilah datangnya cabaran Aidilfitri. Suka atau tidak, jika urusan harta pusaka ibu atau bapa yang telah meninggal dunia masih belum dibincangkan, Aidilfitri ialah peluang untuk berbincang hati ke hati.
Dalam keadaan biasa di mana semua waris sibuk dengan urusan masing-masing, peluang bersemuka ini mungkin agak terhad.
Dari silaturrahim ke silat sesama saudara serahim
Pengalaman 28 tahun saya membuktikan bahawa berbincang tentang harta pusaka ketika Aidilfitri, walaupun boleh dilaksanakan, namun ia agak rumit bagi yang kurang pengalaman dan kemahiran mengendalikannya. Perbincangan ini kebiasaannya menjurus kepada permuafakatan waris bagaimana harta pusaka hendak diagihkan.
Namun, waris yang mengendalikannya perlu mempunyai kefahaman tentang teknikaliti hukum dan perundangan yang jelas. Waris itu juga perlu tahu bahawa urusan harta pusaka ini tidak semata-mata melibatkan proses perundangan dan agihan mengikut hukum faraid atau urusan hibah, wasiat, dan harta sepencarian semata-mata. Ini hanyalah mekanisme agihan sahaja.
Lebih besar daripada itu, dalam urusan harta pusaka terdapat perasaan sensitif yang perlu dijaga. Ada nilai sentimental yang perlu dilindungi dan ada sumbangan waris-waris kepada ibu bapa ketika hidup mereka yang perlu diambil kira.
Kepelbagaian faktor ini mesti diraikan selain faktor hukum dan undang-undang.
Ada kes yang saya temui, perbincangan ini menjadi buruk kerana faktor-faktor di atas diabaikan. Waris yang berhempas-pulas berkorban jiwa dan raga menjaga kebajikan ibu bapa daripada terlantar sakit sehingga meninggal dunia, akan cenderung merasakan waris-waris yang tidak berkorban perlu redha melepaskan bahagian mereka.
Waris yang mempunyai nilai sentimental kuat terhadap harta pusaka seperti rumah dan kebun kerana mereka membesar di situ pula akan cenderung untuk bermati-matian menuntut juga bahagian mereka kerana mereka tidak mahu pengakhirannya harta pusaka itu akan terlepas ke ‘pihak lain’ yang tidak memegang nilai sentimental yang sama dan berkemungkinan menjual harta itu kepada pihak ketiga.
Ini tidak termasuk lagi faktor waris-waris yang telah memberikan wang untuk renovasi rumah atau meminjamkan wang kepada ibu bapa bagi apa tujuan sekalipun ketika mereka hidup. Mereka akan mahukan ‘hutang’ mereka itu dijelaskan daripada harta pusaka ibu bapa sekaligus mengurangkan bahagian waris-waris yang lain.
Jadi, walaupun waris yang mengendalikan perbincangan ini mempunyai kefahaman perundangan dan hukum, jika perbincangan ini tidak dibuat dengan cermat dan tanpa mengambil kira semua faktor di atas, ia berkemungkinan mencetuskan perbalahan yang lebih besar di antara waris.
Tambahan pula, waris yang mengendalikan urusan ini tidak boleh lari daripada persepsi bahawa dia berat sebelah demi kepentingan sendiri. Inilah yang saya maksudkan dengan ‘dari silaturrahim ke silat sesama saudara serahim’.
Daripada tujuan asal perbincangan untuk mempercepatkan urusan harta pusaka di atas dasar tanggungjawab waris kepada si mati dan mencapai permuafakatan, ia kini menjadi punca waris berbalah sesama sendiri dan terus tidak mahu bersemuka membincangkan hal ini pada masa hadapan. Maka terbengkalailah urusan itu!
Kisah hutang ayah kepada anak
Seorang waris bercerita tentang abang sulungnya yang telah dilantik sebagai pentadbir untuk menguruskan keseluruhan harta pusaka arwah ayahnya.
Selepas urusan harta pusaka selesai di Pejabat Pusaka Kecil dan agihan harta telah ditetapkan dalam Perintah Pembahagian, abang sulung baru menimbulkan kisah bahawa dia telah memberikan wang kepada arwah ayah sebanyak RM100,000 bagi membaiki rumah di kampung yang telah usang dan membiayai majlis perkahwinan adik bongsunya beberapa tahun lepas.
Wang itu didakwa diberikan sebagai hutang dan sebagai jaminan arwah ayah telah melantiknya sebagai penama kepada akaun Tabung Haji. Selepas arwah ayah meninggal dunia, si abang sulung yang menerima wang Tabung Haji sebagai penama sepatutnya bertanggungjawab untuk mengagihkan semula wang itu kepada semua waris mengikut hukum faraid, namun telah bertindak membolot kesemua wang itu dengan alasan menjelaskan hutang arwah ayah kepadanya.
Adik-beradik yang lain tidak berpuas hati kerana mendakwa tiada sebarang dokumen yang membuktikan abang telah memberikan wang itu kepada arwah ayah. Mereka juga tidak dimaklumkan oleh arwah ayah tentang perjanjian itu. Perbalahan tercetus dan semenjak kejadian itu, mereka sudah tidak bertegur sapa.
Bagaimana Wasiyyah berdepan cabaran ini?
Daripada awal penubuhan pada tahun 2004, Wasiyyah telah mengenal pasti faktor runding cara harta pusaka sebagai antara faktor yang mempengaruhi kelancaran urusan harta pusaka. Memang peruntukan hukum dan perundangan itu telah jelas dan wajib dipatuhi, namun pengendalian emosi waris juga amat penting.
Jika urusan ini dikendalikan oleh mana-mana waris atau pihak yang dilantik oleh waris tertentu, ada kebarangkalian wujud persepsi isu berat sebelah atau tindakan yang menjurus kepada menjaga kepentingan diri seperti kisah di atas.
Kerana itu, Wasiyyah memperkenalkan perkhidmatan Khairat Pusaka Al-Wasitah (yang bermaksud perantara). Lebih daripada 40,000 orang pelanggan telah mendapatkan perkhidmatan ini. Bagi pelanggan yang meninggal dunia, Wasiyyah akan menghantar kakitangan profesional untuk bertemu waris sama ada secara fizikal atau dalam talian bagi memberikan nasihat hukum dan perundangan.
Kami juga akan menguruskan permohonan pusaka sama ada di Pejabat Pusaka Kecil ataupun di Mahkamah Tinggi Sivil. Ketepatan pelaksanaan teknikaliti hukum dan perundangan serta pengalaman 21 tahun kami memitigasi kepelbagaian faktor yang saya ceritakan, menyebabkan urusan harta pusaka berjalan lancar.
Lebih penting lagi, kerana Wasiyyah sebagai pihak ketiga tanpa kepentingan yang menguruskan harta pusaka, penerimaan waris terhadap nasihat dan bantuan kami amat baik sekali.
Mereka faham bahawa Wasiyyah tidak berat sebelah menjaga kepentingan sesiapa sebaliknya hanya melaksanakan amanah yang telah diberikan oleh si mati kepada kami.
Jadi, anda nampak kewajaran melanggan perkhidmatan Al-Wasitah? - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH









