150 Liter Sebulan: Reformasi Subsidi atau Mengalihkan Beban Kepada Rakyat? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

150 Liter Sebulan: Reformasi Subsidi atau Mengalihkan Beban Kepada Rakyat?

Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA

Ada satu perkara yang lebih penting daripada persoalan sama ada T20, T15 atau kelas pertengahan patut terus menikmati subsidi RON95.

 

Perkara itu ialah ini: buat pertama kalinya, kerajaan kini mempunyai sesuatu yang selama ini tidak dimiliki dalam pentadbiran subsidi petrol negara, iaitu data penggunaan sebenar rakyat di pam minyak.

 

Data itu sedang mengubah makna subsidi.

 

Selama bertahun-tahun, subsidi RON95 dibahaskan seolah-olah ia hanya soal harga. RM2.05. RM1.99. Harga pasaran. Harga bersubsidi. Harga rakyat. Harga kerajaan. Namun, BUDI95 telah membawa negara memasuki fasa baharu.

 

Ia bukan lagi sekadar mekanisme menurunkan harga petrol. Ia kini menjadi sistem yang membaca tingkah laku pengguna dan memberi kerajaan keupayaan mengurus subsidi secara lebih halus berbanding pendekatan lama yang boros, pukal dan penuh ketirisan.

 

 

 

 

 

 

 

Atas sebab itu cadangan kerajaan untuk mempertimbangkan pengurangan kuota BUDI95 kepada 150 liter sebulan tidak boleh dibaca secara mudah sebagai “kerajaan mahu potong lagi”. Ia perlu dibaca sebagai isyarat bahawa reformasi subsidi kini bergerak daripada politik pendapatan kepada politik penggunaan.

 

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, data BUDI95 menunjukkan 80% rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter RON95 sebulan, manakala 60% lagi menggunakan kurang daripada 150 liter. Namun, beliau menjelaskan angka 150 liter bukan pengumuman dasar baharu, sebaliknya kenyataannya telah diambil di luar konteks.

 

Perdebatan sebenar bermula di sini.

 

Subsidi Bukan Lagi Hak Per Liter

Sebelum BUDI95, subsidi petrol berfungsi dengan logik paling mudah tetapi paling songsang: siapa mengisi lebih banyak, dia menerima lebih banyak bantuan.

 

Dalam bahasa politik, itu dipanggil perlindungan rakyat. Dalam bahasa ekonomi, ia subsidi regresif yang disolek sebagai keprihatinan. Harga di pam mungkin sama untuk semua, tetapi manfaat terbesar tetap dinikmati oleh mereka yang mengisi paling banyak.

 

Dengan pengesahan MyKad dan had bulanan, BUDI95 mula mengubah logik itu. Negara kini dapat melihat siapa yang mengisi, berapa banyak digunakan dan di mana penggunaan biasa mula berubah menjadi lebihan.

 

Apabila data menunjukkan majoriti rakyat tidak menggunakan sehingga 200 liter sebulan, kuota tinggi bukan semestinya perlindungan asas. Ia boleh menjadi ruang lebihan yang menjadikan subsidi terlalu mahal untuk dipertahankan, tetapi terlalu sensitif untuk disentuh.

 

150 Liter dan Bahaya Dasar yang Terlalu Percaya Purata

Kuota 150 liter sebulan bukan angka kecil. Dengan kecekapan sekitar 12 hingga 15 kilometer seliter, jumlah itu masih mampu membolehkan sebuah kereta bergerak kira-kira 1,800 hingga 2,250 kilometer sebulan. Bagi majoriti pengguna biasa, angka ini munasabah.

 

Tetapi dasar yang baik tidak boleh hanya memuja majoriti. Purata ialah alat membaca negara, bukan alasan untuk menyeragamkan kehidupan rakyat.

 

Soalan sebenar terletak pada baki 40% yang melepasi paras itu. Siapa mereka? Pengguna mewah yang menikmati subsidi sebagai diskaun gaya hidup, atau pekerja syif, peniaga kecil, penghantar barang dan keluarga yang tinggal jauh dari tempat kerja?

 

Pada titik ini, yang diuji bukan keberanian kerajaan memotong subsidi, tetapi kebijaksanaannya membezakan antara pembaziran dan keperluan.

 

Jika 150 liter dijadikan angka mutlak untuk semua orang, kerajaan mungkin kelihatan cekap dalam helaian belanjawan tetapi gagal dari sudut rasa keadilan. Realiti penggunaan petrol di Lembah Klang tidak sama dengan pinggir bandar, kampung atau kawasan yang masih bergantung kepada kenderaan sendiri.

 

Atas sebab itu persoalannya bukan sama ada 150 liter terlalu banyak atau terlalu sedikit. Persoalannya ialah sama ada ia direka sebagai garis dasar yang bijak, atau sebagai mekanisme fiskal yang terlalu kemas untuk kehidupan yang tidak kemas.

 

Daripada T15 kepada U15

Perdebatan sebelum ini terlalu obses dengan T15 dan T20, seolah-olah pendapatan sahaja mampu menjawab semua persoalan subsidi.

 

Hakikatnya, tidak.

 

Pendapatan memberitahu kemampuan. Penggunaan memberitahu tingkah laku. Lokasi memberitahu pilihan. Pekerjaan pula memberitahu sebab seseorang perlu bergerak.

 

Sebab itu reformasi RON95 yang lebih matang patut bergerak kepada empat penapis: pendapatan, penggunaan, lokasi dan pekerjaan. Dalam bahasa mudah, negara bukan sahaja perlu mengenal pasti golongan berpendapatan tinggi, tetapi juga pengguna petrol luar biasa tinggi.

 

Mungkin istilah baharunya bukan sekadar T15, tetapi U15, iaitu 15% pengguna tertinggi dari segi penggunaan petrol bersubsidi.

 

Jika seseorang berada dalam kumpulan pendapatan tinggi dan pada masa sama menggunakan petrol jauh melebihi norma, persoalannya bukan lagi sama ada subsidi patut dikurangkan. Persoalannya ialah mengapa negara perlu terus memberi diskaun kepada corak penggunaan yang tidak lagi mencerminkan keperluan asas.

 

Namun, jika seseorang berpendapatan sederhana, tinggal jauh dari tempat kerja, tidak mempunyai akses pengangkutan awam yang munasabah dan penggunaan petrolnya tinggi kerana struktur kehidupan, maka memotong subsidi secara membuta tuli ialah dasar yang kelihatan cekap tetapi sebenarnya malas.

 

Dasar yang matang mesti tahu membezakan antara keperluan, keterpaksaan dan gaya hidup. Dasar yang malas pula menyamaratakan ketiga-tiganya, lalu memanggilnya sebagai penyasaran.

 

Jangan Jadikan Kuota sebagai Hukuman Senyap

Kuota 150 liter boleh menjadi reformasi yang munasabah jika ia tidak berdiri sendirian.

 

Pertama, kerajaan mesti menerbitkan data penggunaan dengan lebih telus: mengikut negeri, kawasan bandar dan luar bandar, kategori pekerjaan serta jenis kenderaan. Rakyat tidak boleh diminta mempercayai reformasi yang datanya hanya muncul sebagai petikan politik.

 

Kedua, pengecualian mesti jelas untuk kumpulan yang menggunakan petrol sebagai alat mencari nafkah, bukan sebagai keselesaan tambahan. Pemandu e-hailing, pemilik bot, logistik kecil dan pekerja yang berulang-alik jauh tidak boleh dilayan sama seperti pengguna yang membakar petrol kerana pilihan gaya hidup.

 

Ketiga, mekanisme rayuan mesti pantas. Bukan borang yang memenatkan, talian yang tidak berjawab dan keputusan yang tiba selepas rakyat sudah pun menanggung kosnya.

 

Reformasi subsidi gagal bukan kerana rakyat tidak memahami fiskal. Ia gagal apabila kerajaan kelihatan memahami angka, tetapi tidak memahami realiti kehidupan sebenar.

 

Negara Perlu Subsidi Mobiliti, Bukan Liter

BUDI95 sepatutnya menjadi permulaan kepada subsidi petrol yang lebih cermat.

 

Negara tidak perlu menanggung semua penggunaan secara pukal; yang perlu dilindungi ialah penggunaan yang benar-benar berkait dengan pekerjaan, mobiliti asas dan kehidupan harian rakyat.

 

Maka, 150 liter bukan sekadar had teknikal. Ia peluang untuk membina sistem yang membezakan antara keperluan dan lebihan.

 

 

 

 

 

 

RON95 bukan sekadar isu petrol. Ia isu mobiliti, produktiviti dan keadilan fiskal. Satu liter untuk mencari rezeki tidak sama dengan satu liter untuk mengekalkan gaya hidup.

 

Akhirnya, 150 liter bukan lagi sekadar kuota. Ia menjadi sempadan antara reformasi yang berfikir dan penjimatan yang menyamar sebagai dasar. - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria merupakan penganalisis korporat yang sering memberikan ulasan mengenai ekonomi, kewangan, pelaburan, serta isu-isu perniagaan, dan adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM