10 KENANGAN PBAKL 2025: 25 tahun menulis, 25 suara, dan berzaman cerita rakyat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

10 KENANGAN PBAKL 2025: 25 tahun menulis, 25 suara, dan berzaman cerita rakyat

Oleh NINOT AZIZ

Setiap kali Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) melabuhkan tirainya, kami mula menghitung hari untuk edisi seterusnya.

 

Persiapan bukan sekadar logistik — ia melibatkan perbincangan idea buku seterusnya, manuskrip, penulis serantau, dan impian baharu.

 

Bagi kami yang telah bernafas dalam dunia penulisan dan penerbitan selama 25 tahun, PBAKL 2025 menjadi detik istimewa, bukan hanya sebagai peserta, tetapi sebagai penggerak sastera dan pencetus seni budaya.

 

Berikut adalah sepuluh kenangan paling bermakna terus terpatri dalam sanubari sepanjang PBAKL 2025:

 

1. Penerbitan Penglipur Lara bersama 25 Penulis Serantau

Satu daripada pencapaian paling membanggakan adalah penerbitan Penglipur Lara: Cerita Rakyat Asia Tenggara, menghimpunkan 25 suara dari pelbagai negara ASEAN – dari Indonesia, Filipina, hingga ke Laos dan Vietnam. Projek ini direalisasikan bersama Persatuan Sastera Lisan Negara sempena ASEAN 2925. Setiap cerita membawa warna budaya yang tersendiri, membuktikan bahawa cerita rakyat masih relevan, mendidik, dan menghiburkan dalam dunia moden.


 

hikayat
Dengan penulis Penglipur Lara, Awan Wafdan

 


2. Pelancaran dengan Wayang Kulit, Silat dan Joget

Majlis pelancaran Penglipur Lara bukan sekadar pelancaran buku, tetapi perayaan budaya. Pentas Dunia Buku di Dewan Merdeka utama dipenuhi dengan semangat tradisi – bayangan tok dalang menghidupkan perwayangan, gerak silat yang gagah, dan lenggok joget yang menceriakan. Ia mengangkat roh sastera lisan ke pentas utama, disaksikan oleh pengunjung dari pelbagai latar usia dan bangsa.

 

3. Amanah Mengurus Galeri TEROKA: Dari Manuskrip ke Bulan

Tidak pernah terlintas bahawa saya akan diberi kepercayaan oleh MBKM untuk menguruskan Galeri TEROKA – satu ruang istimewa yang menyusuri sejarah buku dari lembaran manuskrip lama hinggalah ke angkasa imajinasi. Galeri ini menampilkan pameran visual, artifak, dan aktiviti interaktif yang menunjukkan sejauh mana tamadun kita telah berkembang – dari batu bersurat hingga buku di angkasa.

 

4. Kanak-kanak dan Pantun di Foyer TEROKA

 

hikayat
Pegawai-pegawai DBP bersama penulis di Galeri TEROKA

 

Salah satu saat paling menyentuh hati adalah melihat kanak-kanak dan remaja mendeklamasi pantun, mencipta sajak dan syair secara spontan. Mereka menyulam kata dengan wajah ceria – seolah-olah bahasa itu mainan yang menyeronokkan. Foyer TEROKA bertukar menjadi gelanggang warisan dan harapan.

 

5. Siri Flower & Keris: 25 Tahun Menulis

Sempena ulang tahun ke-25 sebagai penulis, saya menerbitkan siri Flower & Keris – satu gabungan antara puisi, cerita rakyat, dan imaginasi. Siri ini menghimpunkan karya yang pernah disiarkan sejak dua dekad lalu, disusun semula dengan sentuhan baharu bersama buku terbaru, ONANGKIU. Ia adalah surat cinta kepada perjalanan penulisan yang penuh liku dan cahaya.

 

6. Mind Gladiator oleh Mus Kamal

Antara penerbitan paling mengesankan tahun ini ialah Mind Gladiator: Poems and Prose of a Mad Genius oleh Mus Kamal. Beliau adalah seorang pejuang kesihatan mental, yang selama 20 tahun menulis dari sudut pandang pesakit psikiatri. Puisinya tajam, jujur, dan menyentuh perasaan  – membuka ruang dialog yang sangat diperlukan dalam masyarakat.

 

7. TikTok & Hikayat Fandom

PBAKL juga menjadi titik pertemuan antara buku dan media sosial. Kerjasama dengan Zara di TikTok membolehkan Hikayat Fandom diperkenalkan kepada audiens lebih muda. Naratif klasik dibawa ke dunia digital — bukan sekadar promosi, tetapi pembinaan komuniti pembaca generasi baharu.

 

8. Bertemu Penulis Serantau

Kami berpeluang bertemu kembali penulis dari Indonesia, Brunei, dan Filipina yang pernah bersama dalam antologi dan projek ASEAN. Banyak sesi impromptu berlaku — dari sesi sarapan yang berubah menjadi diskusi puisi, hingga makan malam yang menjadi sesi pitching buku. Inilah roh sebenar pesta buku: perkongsian dan jaringan budaya.

 

9. Temu Mata dengan Pembaca

Setiap sesi tandatangan buku membuka ruang temu mata dengan pembaca yang selama ini hanya dikenali dalam bentuk komen atau mesej. Ada yang membawa buku pertama saya yang diterbitkan lebih sepuluh tahun lalu, dengan helaian yang kekuningan namun dijaga rapi. Ia menjadi peringatan bahawa tulisan kita benar-benar hidup dalam hati pembaca.

 

 

Hassan Mutalib
Bersama legenda Hassan Mutalib

 


10. 25 Tahun dan Masih Menulis

PBAKL 2025 menjadi pentas refleksi. Dari buku cerita rakyat ke ensiklopedia, dari zine ke pementasan, saya sedar bahawa penulisan bukan sekadar kerjaya – ia cara hidup kami, cara melihat dunia.

 

Dan di tengah-tengah semua itu, PBAKL adalah rumah tempat kembali – setiap tahun, dengan cerita baru, wajah baru, dan semangat yang sama.

 

 

hikayat

 

hikayat

 

hikayat

 


PBAKL 2025 telah menjadi lebih daripada sekadar acara tahunan – ia adalah kapsul masa, panggung budaya, dan jambatan persahabatan.

 

Dari manuskrip lama ke aplikasi TikTok, dari silat ke sastera fiksyen, segalanya berputar di bawah satu bumbung: cinta terhadap buku dan cerita. Semoga tahun-tahun mendatang terus menyemarakkan obor ini. - DagangNews.com