Continental Hanya Simptom, Penyakitnya Ada Dalam Dasar Kita Sendiri
Alor Setar akan jadi lebih sunyi hujung tahun ini. Bukan sebab cuaca, bukan sebab politik. Tapi sebab Continental akan tutup kilangnya.
Sejak 1979, kilang itu bukan sekadar tempat buat tayar. Ia tempat orang cari rezeki, tempat hidup dibina. Bila ia ditutup, bukan sekadar pagar yang dikunci. Ia adalah isyarat bahawa sesuatu dalam negara ini sedang mati dan kita tidak peduli.
Mereka Datang Kerana Kita Stabil, Mereka Pergi Sebab Kita Kehilangan Arah
46 tahun, Continental bukan sekadar membuka kilang di Alor Setar. Mereka membuka peluang hidup. Mereka datang bukan kerana kos buruh kita murah, tetapi kerana kita stabil. Ada infrastruktur. Ada tenaga kerja mahir. Ada dasar pelaburan yang jelas dan konsisten.
Di sinilah mereka mencipta pekerjaan, membina jaringan pembekal, dan menghubungkan Malaysia ke pasaran eksport Asia Pasifik.
Kilang itu pernah menjadi antara penyumbang utama eksport komponen automotif negara. Malah beberapa teknologi awal dalam penyepaduan getah semula jadi bermula di sini.
Tapi semua itu berakhir dengan satu kenyataan akhbar bertarikh 28 April 2025. Katanya, penutupan ini sebahagian daripada penyusunan semula global.
Tapi siapa yang benar-benar percaya penjelasan klise seperti itu? Kebenarannya, Malaysia tidak lagi dilihat sebagai destinasi pelaburan yang berbaloi. Kita bukan lagi pilihan pertama, bahkan bukan pilihan kedua. Terlalu lambat buat keputusan. Terlalu banyak birokrasi. Terlalu kabur dengan janji yang tidak tertunai.
Hefei Dapat Panel Solar, Modipuram Dapat RM500 Juta, dan Alor Setar?
Kos pengeluaran di kilang Continental Alor Setar meningkat 12 peratus sejak 2021. Pada masa sama, kilang di Hefei, China mencatat penurunan 8.5 peratus kerana beralih kepada automasi dan tenaga bersih. Malah, kilang di Hefei telah memasang panel solar yang menjana 27 juta kWh tenaga elektrik setahun dan mendapat pensijilan ISCC PLUS.
Modipuram, India pula menerima pelaburan RM500 juta daripada Continental untuk meningkatkan kapasiti tayar trak dan bas sebanyak 30 peratus menjelang 2030. Di sini, pelabur diberi sebab untuk kekal.
Malaysia? Siapa yang mahu kekal di tempat yang makin mahal dan makin tiada arah?
Perlu Situasi “Menang-Menang” Buat Pelabur Baharu dan Lama
Laporan Prestasi Pelaburan Malaysia 2024 oleh MIDA menunjukkan nilai pelaburan diluluskan mencecah RM378.5 bilion. FDI menyumbang RM170.4 bilion daripadanya. Tetapi hanya 1.3 peratus mengalir ke sektor getah dan tayar. Continental, pelabur sedia ada sejak hampir setengah abad, tidak pernah diumumkan menerima sebarang pelanjutan insentif bersasar.
Setakat ini juga tiada kenyataan rasmi daripada Continental atau MITI berhubung rundingan khas yang pernah berlaku untuk mempertahankan operasi di Alor Setar. Maka kita pun tertanya adakah strategi pelaburan kita hanya untuk pelabur baharu yang datang bergambar, bukan untuk pelabur lama yang membina tanpa banyak suara?
Thailand menawarkan pengecualian cukai korporat sehingga lapan tahun. Vietnam pula menetapkan tempoh kelulusan pelaburan tidak melebihi 45 hari.
Ironinya, dalam pelbagai sidang pelaburan antarabangsa, Malaysia dengan gah hadir dengan brosur canggih dan ucapan berdegar-degar. Tetapi realiti di lapangan terutama dalam sektor pembuatan berat tidak pernah dipulihkan dengan pelan induk yang jelas.
Kesan Domino Penutupan Continental
Penutupan Continental membawa risiko kehilangan langsung 950 pekerjaan. Tetapi itu hanya angka pada permukaan. Kajian Bank Dunia menunjukkan setiap kehilangan kerja dalam sektor pembuatan akan mengheret lebih 1.09 pekerjaan lain keluar dari ekosistem ekonomi.
Pembekal getah mentah seperti SMR-10 dijangka kehilangan kontrak bernilai RM2 juta setahun. Perkhidmatan logistik, pengangkutan kontena dan perniagaan kecil sekitar kilang juga kini bergantung kepada ihsan masa. Bahkan sebuah tadika yang bergantung kepada pekerja Continental dijangka menutup operasi kerana lebih 70 peratus ibu bapanya hilang pekerjaan.
Apa yang berlaku bukan sekadar kehilangan peluang pekerjaan. Ia adalah kehilangan rangkaian ekonomi tempatan yang selama ini menjadikan satu kilang sebagai pusat graviti pembangunan kawasan.
Latih Semula Jadi Juruanalisis Data Dalam Dua Minggu?
Kerajaan negeri kata akan bantu penempatan semula. Bagus. Tapi bantu macam mana? Ada latihan semula? Ada jaminan kerja? Atau sekadar poster dan lawatan menteri?
Bukan semua orang boleh tukar kerjaya jadi pakar IT hanya sebab mereka hilang kerja. Bukan semua boleh jadi ejen Shopee atau pempengaruh TikTok. Realiti rakyat tidak semudah kenyataan media.
Kementerian yang sepatutnya menjaga industri pula masih sibuk kemas kini media sosial. Pelaburan pun dah jadi bahan kandungan, bukan lagi strategi pembangunan.
Eh, Kan Masih Ada Continental di Petaling Jaya?
Ya, memang ada operasi kecil di Petaling Jaya. Untuk tayar sektor pertanian dan perlombongan. Tapi itu bukan isyarat keyakinan. Itu cuma tinggalan. Tiada pelaburan baharu. Tiada perancangan masa depan. Ia wujud atas dasar selagi belum tutup sepenuhnya, kita belum gagal.
Penutup Yang Sepatutnya Membuka Mata
Continental bukan hanya pelabur. Mereka rakan strategik. Mereka antara entiti awal yang percaya kepada Malaysia ketika kita masih negara membangun. Mereka tidak hanya datang untuk kilang, mereka membina rantaian nilai.
Bila mereka pergi, bukan hanya ekonomi tempatan yang runtuh, tetapi juga kepercayaan yang kita pernah miliki.
Malaysia kini bukan lagi lokasi strategik. Kita bukan lagi negara yang diyakini. Kita semakin tergelincir, perlahan-lahan, tetapi pasti.
Selagi kita anggap pelaburan sebagai peluang potong reben dan bukan tanggungjawab jangka panjang, maka selagi itulah kita akan terus kehilangan.
Hari ini Continental, esok mungkin Panasonic. Lusa mungkin Honda. Dan kita masih akan jawab dengan poster, bukan pelan tindakan.
Kalau Continental pun kita tak nampak sebagai amaran, maka memang kita sudah buta. - DagangNews.com








