KLCI sambung lonjakan selepas 'cuti' Merdeka, Nestle pula terus ungguli kaunter untung | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLCI sambung lonjakan selepas 'cuti' Merdeka, Nestle pula terus ungguli kaunter untung

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK 
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Pasaran saham tempatan meneruskan pergerakan menaik pada pembukaan pagi ini, sekali gus kekal berada di atas paras 1,600 mata. 

 

Indeks utama, FBM KLCI berjaya memulakan dagangan 2.05 mata lebih tinggi kepada 1,603.43 daripada penutupan petang Isnin, 1,601.38. 

 

Menurut Rakuten Trade Research, dana asing terus mengalir masuk ke bursa tempatan dengan lebih daripada RM1.1 bilion aliran masuk bersih yang dicatatkan sepanjang tiga hari terakhir. 

 

“Di peringkat domestik, FBM KLCI menunjukkan satu lagi prestasi memberangsangkan pada Isnin memandangkan indeks itu berada di atas paras 1,600. 

 

“Kami menjangkakan momentum akan diteruskan, seterusnya mengunjurkan indeks tersebut berlegar lebih tinggi, walaupun mungkin terdapat beberapa penyusutan lebih 10 mata yang diramalkan. 

 

“Buat hari ini, kami menjangkakan indeks itu akan berlegar dalam julat 1,595 hingga 1,605,” jelas firma itu dalam satu nota kajian. 

 

Secara keseluruhannya, indeks penanda aras itu berprestasi agak positif pada pagi ini apabila jumlah kaunter untung mengatasi jumlah kaunter rugi, iaitu pada perbandingan 214 daripada 107. 

 

Sementara itu, 306 kaunter tidak berubah dan 1591 lagi tidak didagangkan.

 

Dalam kalangan kaunter paling untung, Nestle (Malaysia) Berhad masih mengekalkan kedudukannya dengan lonjakan RM1.80 ketika dibuka pada 9 pagi, kepada RM136.50 dengan RM1.41 juta nilai dagangan yang bertukar tangan. 

 

Ini diikuti oleh saham Genetec Technology Berhad yang memulakan dagangan 40 sen lebih tinggi kepada RM31.50 sebelum melonjak kepada RM32.20 setakat 9.11 pagi. 

 

Beralih kepada kaunter paling rugi, saham Malaysian Pacific Industries Berhad memulakan dagangan di kedudukan tercorot pagi ini, sekali gus menyaksikan penyusutan 92 sen kepada RM43.10 selepas 1 minit didagangkan. 

 

Turut merasai impak negatif itu adalah saham Petronas Gas Berhad yang menyusut 28 sen kepada RM16.52 setakat 9.01 pagi. 

 

Saham Borneo Oil Berhad pula paling rancak diniagakan pagi ini, namun dibuka tidak berubah pada kadar 3 sen sebelum melonjak 0.05 sen kepada 3.5 sen selepas 15 minit didagangkan. 

 

Pergerakan menaik di FBM KLCI pada dagangan sebelah pagi ini didorong oleh saham-saham dalam sektor produk perindustrian, penjagaan kesihatan dan produk pengguna. - DagangNews.com