KL, Pulau Pinang dan Melaka destinasi pilihan percutian bersama keluarga 2023 - Agoda | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KL, Pulau Pinang dan Melaka destinasi pilihan percutian bersama keluarga 2023 - Agoda

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb - Sebanyak tiga destinasi domestik menjadi pilihan rakyat Malaysia sebagai tempat percutian menarik bersama keluarga pada tahun ini, menurut kajian Agoda.

 

Menurut data carian platform pelancongan digital itu, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka merupakan destinasi paling dicari oleh keluarga yang merancang untuk bercuti.

 

Pengarah Negara Malaysia dan Brunei Agoda, Cleland Robertson berkata, dua lagi lokasi pelancongan popular seperti Langkawi dan Cameron Highlands, masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima sebagai destinasi pilihan untuk mereka yang bercuti bersama keluarga.

 

Beliau berkata, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Ipoh, Port Dickson dan Genting Highlands turut tersenarai sebagai destinasi yang paling dicari dalam data carian Agoda.

 

Katanya, rakyat Malaysia menghargai masa bersama keluarga, dan perjalanan menawarkan peluang hebat untuk keluarga mengukuhkan ikatan mereka sambil menikmati makanan dan pemandangan. 

 

"Merancang percutian dengan kumpulan besar daripada pelbagai peringkat umur dan bajet boleh menjadi satu cabaran. 

 

"Itulah sebabnya di Agoda, kami telah melakukan yang terbaik untuk menjadikan tempahan perjalanan lancar dengan penginapan, penerbangan dan aktiviti semuanya melalui hujung jari," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sesetengah keluarga sedang mencari penginapan Agoda yang menawarkan ruangan dapur atau ruang tamu tambahan untuk menampung bilangan keluarga, manakala yang lain lebih suka menginap di hotel dengan fasiliti mesra kanak-kanak. 

 

Sementara itu, bagi destinasi antarabangsa, Hat Yai, Bangkok dan Singapura menjadi pilihan pelancong yang berkeluarga pada 2023.

 

 

agoda

 

 

Selain itu, Tokyo, Taipei dan Phuket turut tersenarai dalam carian destinasi pelancongan Agoda. - DagangNews.com