KUALA LUMPUR 25 Julai - Kia Malaysia Sdn Bhd dengan usaha sama antara Kia Corporation dan Bermaz Auto Berhad (BAuto), melancarkan model Kia pertamanya yang dihasilkan di bawah perkongsian baharu Kia Carnival yang dipasang di kilang Inokom di Kulim, Kedah.
Kia Carnival CKD dijadual dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi di Malaysia.
Kia Carnival yang dipasang secara tempatan disediakan dalam konfigurasi 7 tempat duduk dan 8 tempat duduk. Dikuasakan Enjin Turbo Diesel 2.2 liter dengan kuasa maksimum 199 Hp dan 440 Nm tork dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan.
Kenderaan itu menawarkan ciri bergaya dan berteknologi tinggi untuk memberikan pengalaman mobiliti kelas premium untuk pemandu dan penumpang.
Ini termasuk tempat duduk depan dan belakang yang berventilasi, tempat duduk Premium Relaxion di baris kedua yang boleh dibaring sepenuhnya, dilengkapi dengan sistem bunyi Bose® 12 pembesar suara, pencahayaan persekitaran, dan paparan infotainment 12.3 inci, kuasa pintar satu sentuhan, pintu gelangsar dan pintu belakang kuasa pintar.
Untuk keselamatan, Sistem Bantuan Lanjutan Pemandu (ADAS) yang komprehensif hadir sebagai ciri standard untuk keselamatan pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.
Kia Carnival CKD dilengkapi dengan Bantuan Mengelak Perlanggaran Hadapan dengan Membelok Persimpangan (FCA), Kawalan Pelayaran Pintar (SCC), Bantuan Mengikuti Lorong (LFA), Bantuan Mengelak Lorong (LKA), Bantuan Mengelak Perlanggaran Titik Buta (BCA) , High Beam Assist (HBA) dan Safe Exit Assist (SEA).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Asia Pasifik, Ted Lee berkata, pelancaran Kia Carnival dalam bentuk CKD merupakan peristiwa penting dalam kebangkitan marque di Malaysia.
"Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan model Kia pertama yang dihasilkan di Inokom untuk pasaran Malaysia dan ASEAN. Kia Carnival menandakan permulaan baharu bagi jenama Kia dan mempamerkan semua ciri produk kami, reka bentuk unggul, teknologi pintar dan pengalaman pemanduan yang mengagumkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengarah Urusan Dinamikjaya Motors Sdn. Bhd., Datuk Wong Kin Foo pula berkata, sambutan pengguna terhadap varian 11 tempat duduk Kia Carnival yang diimport sepenuhnya dilancarkan pada Januari adalah sangat menggalakkan.
"Kami yakin pengguna akan teruja dengan Kia Carnival CKD. Kami percaya variasi CKD ini akan memenuhi keperluan dan jangkaan yang berbeza bagi mereka yang berada di pasaran untuk kenderaan pelbagai guna yang moden dan mewah," katanya.
Kia Malaysia percaya pelan usaha sama ini akan meningkatkan daya saing harga dan penawaran Kia Carnival berikutan permintaan ketara untuk kenderaan di Malaysia dan pasaran eksport.
Kia Malaysia akan terus meneruskan rancangannya untuk menjadi hab yang melayani pasaran eksport disasarkan dengan pelbagai pengenalan model CKD. Rancangan untuk mengeksport berada di landasan yang betul dan tidak lama lagi akan membuat penghantaran sulung. - DagangNews.com








