Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Dis - MIDF Research mengekalkan saranan 'trading buy' terhadap AEON Credit Service (M) Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM15.20 sesaham.
Firma itu percaya prestasi kewangan AEON Credit melantun semula dengan kukuh selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.
Katanya, ia dilihat sebagai salah satu syarikat yang akan mendapat manfaat daripada pembukaan semula ekonomi.
"Sememangnya ini disebabkan peruntukan yang lebih rendah. Bagaimanapun, kami berpendapat ada perkara yang lebih buruk menanti mereka.
"Ia mungkin terdapat beberapa kesan yang berlarutan tetapi kami percaya AEON Credit boleh mengekalkan trajektori pendapatan yang menaik," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Pendapatan AEON Credit susut 6.2% kepada RM376.47 juta pada Q3
Semalam, dalam laporan kewangan yang diumumkan, keuntungan selepas cukai (PAT) AEON Credit melonjak 145.5% kepada RM103.46 juta pada suku ketiga berakhir 30 November 2021 daripada RM42.15 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan pada suku berkenaan bagaimanapun susut 6.2% kepada RM376.47 juta, berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak RM401.47 juta.
Bagi tempoh 9 bulan, pendapatan meningkat 0.6% kepada RM1.16 bilion daripada RM1.15 bilion bagi tempoh sama tahun lalu manakala PAT 184.5% kepada RM342.04 juta.
"Untung bersih dalam tempoh 9 bulan adalah melebihi jangkaan kami pada 85.6% daripada anggaran tahun penuh kami.
"Perbezaan ini disebabkan oleh anggaran kami yang terlalu tinggi terhadap rosot nilai pembiayaannya," jelas firma itu.
Sehubungan itu, MIDF Research menaikkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak 9.2% kepada RM436.5 juta, setelah mengambil kira kerugian rosot nilai yang lebih rendah.
Setakat 9.12 pagi ini, saham AEON Credit menokok 44 sen atau 3.31% kepada RM13.74 dengan 20,600 saham diniagakan. - DagangNews.com








