Kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 siap sepenuhnya 11 malam tadi | DagangNews Skip to main content

Kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 siap sepenuhnya 11 malam tadi


KUALA LUMPUR 15 Julai - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesahkan kerja-kerja penggantian dan penambahbaikan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) yang bermula pada jam 9 pagi, 14 Julai 2020 telah siap sepenuhnya pada jam 11 malam semalam mengikut jadual. 

Air Selangor kini sedang mengaktifkan semula sistem LRA SSP3, justeru pemulihan bekalan air juga akan bermula seperti yang dijadualkan, iaitu dari 15 Julai 2020, pada 9 pagi sehingga 17 Julai 2020, pada 5 petang.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri berkata, Air Selangor ingin menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

``Ini kerana bantuan bekalan air ke kawasan perumahan hanya akan digerakkan pada 16 dan 17 Julai 2020.

``Pada masa ini, lori-lori tangki Air Selangor memberi bantuan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Air Selangor juga telah menempatkan sebanyak 82 tangki statik di sekolah-sekolah sebagai persediaan untuk pembukaan sesi persekolahan, klinik kesihatan dan pusat dialisis.

Air Selangor akan terus memaklumkan status bekalan air dari semasa ke semasa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor di Twitter, Facebook, Instagram, Aplikasi Air Selangor dan laman web www.airselangor.com. - DagangNews.com

air2

 

air3