KUALA LUMPUR 23 Dis - Mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 Disember 2022 telah bersetuju (secara puratanya) untuk mengurangkan tarif purata asas penggunaan kemudahan gas yang perlu dibayar oleh pengguna-pengguna gas bagi tempoh kawal selia kedua (RP2) bermula 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, penetapan tarif kemudahan gas yang ditetapkan oleh kerajaan bagi setiap tempoh kawal selia adalah sebahagian dari kerangka kawal selia pasaran gas di negara ini di bawah rangka kerja Incentive Based Regulation (IBR).
Beliau berkata, tarif baru kemudahan gas bagi tempoh kawal selia kedua (RP2) dari 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025 adalah melibatkan empat kemudahan gas iaitu terminal penggasan semula milik Regas Terminal (Sg. Udang) Sdn Bhd (RGTSU), terminal penggasan semula milik Pengerang LNG (Two) Sdn. Bhd. (RGTP), talian paip penghantaran milik Petronas Gas Bhd. (PGB) dan talian paip pengagihan milik Gas Malaysia Distribution Sdn Bhd (GMD).
Jelasnya, penurunan purata tarif kemudahan gas bagi tempoh RP2 ini dijangka akan memberi penjimatan dari segi kos tenaga kepada industri.
"Bergantung kepada jumlah isi padu penggunaan gas, penurunan purata tarif kemudahan gas ini diunjurkan akan diterjemahkan kepada penjimatan seperti berikut, segmen penghantaran (mengikut kategori pengguna) iaitu penjimatan di antara RM5.5 juta hingga RM33.2 juta bagi tahun 2023.
"Segmen pengagihan (mengikut kategori pengguna sama ada kediaman, komersial atau industri) meliputi penjimatan di antara RM4,000 hingga RM55.9 juta bagi tahun 2023," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, penetapan purata tarif kemudahan gas bagi tempoh kawal selia kedua (RP2) dan pelarasan pendapatan serta purata tarif yang dibenarkan bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023 adalah ditetapkan seperti, pertama, purata tarif asas bagi RGTSU kekal sepertimana tempoh RP1 pada kadar RM3.455/gigajoule (GJ)/hari.

"Tiada pelarasan pendapatan bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023.
"Kedua, purata tarif asas bagi RGTP turun sebanyak 9.2% pada kadar RM3.165/GJ/hari berbanding RM3.485/GJ/hari dalam tempoh RP1. Tiada pelarasan pendapatan bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023.
"Ketiga, purata tarif asas bagi PGB juga turun sebanyak 5.8% pada kadar RM1.063/GJ/hari berbanding RM1.129/GJ/hari bagi tempoh RP1. Purata tarif yang dibenarkan bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023 adalah RM1.061/GJ/hari selepas pelarasan lebihan pendapatan sebanyak RM0.002/GJ/hari.
Keempat katanya, purata tarif asas bagi GMD kekal seperti mana tempoh RP1 pada kadar RM1.573/GJ/hari.
Katanya, purata tarif yang dibenarkan bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023 adalah RM1.535/GJ/hari selepas pelarasan lebihan pendapatan sebanyak RM0.038/GJ/hari. - DagangNews.com








