Kerajaan rangka subsidi bersasar, cari mekanisme paling sesuai elak ketirisan - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan rangka subsidi bersasar, cari mekanisme paling sesuai elak ketirisan - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR 18 Julai - Kerajaan sedang mencari mekanisme paling sesuai dalam merangka subsidi bersasar demi untuk rakyat yang berhak menerimanya sekali gus mengelak tiada ketirisan dan golongan itu yang tertinggal.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mekanisme itu memerlukan perincian dan bukan sesuatu yang mudah untuk ditentukan.

 

"Cadangan subsidi bersasar bukan sekarang tetapi sejak beberapa kerajaan sebelum ini lagi tetapi masih belum boleh dilaksana kerana belum ada mekanisme khusus untuk pastikan tidak ada rakyat yang tercicir dan tertinggal.

 

"(Sebagai contoh), adakah kita perlu membeli gula atau minyak masak menggunakan kupon? Adakah kupon boleh digunakan atau menggunakan MyKad untuk membeli dan sebagainya. Ini yang sedang kita perincikan.

 

"Ini kita akan bentangkan di sini, apakah cara yang kita gunakan untuk subsidi bersasar ini," katanya di sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang bertanya mengenai tindakan kerajaan untuk menangani kenaikan kos sara hidup rakyat kerana mendakwa kerajaan mengambil pendekatan konvensional dan tidak ada persediaan untuk melakukan perubahan struktur.

 

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedang melaksanakan audit terhadap kilang pembungkusan minyak masak paket bagi memastikan bekalan bahan keperluan itu tidak terus diseleweng, termasuk dijual ke negara jiran.

 

Beliau berkata, berkata ia adalah antara tindakan yang dilaksanakan bermula daripada punca minyak masak itu dikeluarkan, lapor Berita Harian.

 

"Kita audit pengilang pembungkus minyak paket, kita dapatkan perincian siapa pembeli, siapa penerima, siapa dan nama pembekal bagi mengelak penyelewengan.

 

"Kita akan lihat ke mana minyak masak itu dihantar. Kita akan dapatkan nama dan periksa dengan pembekal berapa banyak yang dia dapat sebab kadangkala ia tidak sampai ke pembekal, dari kilang dibawa ke lain," katanya. - DagangNews.com