Kerajaan perlu wujudkan polisi 'laluan hijau' kepada sektor PMKS - MPN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan perlu wujudkan polisi 'laluan hijau' kepada sektor PMKS - MPN

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt - Kerajaan perlu mewujudkan polisi laluan hijau (green lane) khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang dilihat berada dalam situasi sukar ketika pasca pandemik COVID-19. 

 

Ahli Majlis Pemulihan Negara (MPN), Datuk Michael Kang berkata, antara penekanan yang perlu dipertimbangkan dalam polisi itu adalah untuk mempermudahkan prosedur permohonan tenaga kerja warga asing.

 

Beliau berkata, kerenah birokrasi dalam segelintir agensi menyebabkan operasi PMKS menjadi terencat seterusnya memberi impak kepada ekonomi negara.

 

Jelasnya, kekurangan tenaga kerja warga asing juga secara tidak langsung menyebabkan banyak kerja dan operasi PMKS tertangguh dan tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

 

"Isu kekurangan tenaga kerja warga asing ini sudah dibincangkan dengan kerajaan sebelum ini dan kita meminta sekurang-kurangnya kelulusan segera 50% daripada jumlah tenaga kerja yang dimohon.

 

"Sebagai contoh, sekiranya kita meminta 100 orang tenaga kerja warga asing, sekurang-kurangnya agensi berkaitan perlu meluluskan 50 orang tenaga kerja yang dipohon tanpa melalui prosedur rumit dan mengambil masa yang lama.

 

"Langkah ini akan dapat membantu PMKS yang mengalami isu kekurangan tenaga kerja kritikal terutama dalam sektor pembinaan, pelancongan dan peruncitan," katanya dalam sidang akhbar mengenai pemulihan negara (PMKS) di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sentral di sini Jumaat lalu.

 

 

mpn
Datuk Michael Kang

 

 

Michael berkata, sektor pelancongan ketika ini dilihat berada dalam keadaan kritikal rentetan isu kekurangan tenaga kerja warga asing dan jumlah pelancong dari luar negara.

 

"Ia dapat dilihat apabila ada beberapa hotel yang mempunyai kapasiti 800 bilik tetapi hanya mampu menyediakan 300 bilik sahaja kerana isu tersebut," katanya.

 

Katanya, bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja, MPN telah mengesyorkan kepada kerajaan supaya satu Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Kekurangan Tenaga Kerja Dalam PMKS yang diterajui Kementerian Sumber Manusia bagi meneliti permasalahan pengambilan pekerja asing serta mencari jalan penyelesaian dengan kadar segera. 

 

"MPN berpandangan langkah-langkah segera perlu diambil bagi mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing oleh semua sektor industri bagi menyokong proses pemulihan negara," katanya.

 

Tambahnya, MPN juga telah mengemukakan dua syor utama kepada kerajaan bagi menangani masalah aliran tunai dan pembiayaan PMKS iaitu penubuhan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Isu Kekangan Aliran Tunai dan Pembiayaan dibawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. 

 

"MPN juga telah mengesyorkan supaya pihak bank diberi kebenaran untuk meneruskan program penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan (moratorium) kepada PMKS yang memerlukannya," katanya. - DagangNews.com