KUALA LUMPUR 2 Jun - Kerajaan Malaysia dan Microsoft mengumumkan kerjasama MyDIGITAL GovTech Innovation untuk meneruskan usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
Menerusi inisiatif itu, Microsoft dan agensi-agensi utama kerajaan seperti MyDIGITAL Corporation serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) akan menyediakan latihan untuk kakitangan sektor awam bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran digital, lantas menyokong aspirasi negara mencapai pembangunan yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan.
Pengumuman itu menandakan satu lagi mercu jaya dalam kerjasama Kerajaan Malaysia dengan Microsoft, dalam usaha mencapai sasaran yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
Sasarannya termasuk 80% penggunaan storan pengkomputeran awan merentas sektor awam pada tahun 2022 dan mencapai tahap celik digital 100% dalam kalangan penjawat awam dan juga menyediakan perkhidmatan kerajaan dalam talian serba lengkap pada tahap 80% menjelang tahun 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peranan perkhidmatan awam Malaysia penting untuk membina daya tahan ekonomi negara dalam suasana yang mencabar.
"Kerjasama jangka panjang kami dengan Microsoft akan membolehkan perkhidmatan awam beroperasi secara lebih inovatif, berpandukan data dan bertumpukan rakyat untuk mencari penyelesaian dan juga merangka dasar-dasar berkesan.
"Inisiatif seperti ini adalah satu langkah penting untuk melengkapkan Malaysia dengan keupayaan untuk membangunkan ekonomi yang mendahulukan digital. Kami mengalu-alukan sumbang tara berterusan Microsoft sebagai rakan teknologi dan ilmu pengetahuan kepada Malaysia, termasuk komitmen mereka untuk melatih 300,000 orang menjelang 2024 dengan kerjasama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp)," katanya.
Pengumuman tersebut turut menyokong Rangka Kerja Teknologi Awan (CFA) yang ditandatangani antara Microsoft dan MAMPU baru-baru ini, untuk membina rangkaian awan yang boleh dipercayai dan memperkasakan sektor awam di Malaysia untuk mencapai transformasi digital.
Naib Presiden Eksekutif dan Presiden Kerjasama Transformasi Negara Microsoft, Jean-Philippe Courtois berkata, usaha itu jelas dilihat daripada komitmen mereka kepada Malaysia.
"Microsoft bertekad meneruskan kerjasama kami untuk membolehkan Malaysia memanfaatkan kepakaran dan keupayaan kami dalam bidang teknologi bagi memacu pertumbuhan terangkum dan membina daya tahan dalam era digital,” katanya.
Pengumuman itu adalah susulan daripada Surat Hasrat (LoI) yang ditandatangani antara Microsoft dan MyDIGITAL Corporation sempena kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Amerika Syarikat pada Mei 2022.
LoI tersebut mengenal pasti bidang-bidang kerjasama yang berkenaan termasuk membangunkan keupayaan keselamatan siber, menggalakkan penggunaan teknologi digital oleh sektor awam dan memupuk bakat mahir untuk mengembangkan ekonomi digital. - DagangNews.com







