Kerajaan meterai kontrak tambahan keenam bagi projek LCS dengan Boustead Naval Shipyard | DagangNews Skip to main content

Kerajaan meterai kontrak tambahan keenam bagi projek LCS dengan Boustead Naval Shipyard

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Mei - Di sebalik kontroversi kelewatan penyiapan projek kapal tempur pesisir (LCS), kerajaan menandatangani Kontrak Tambahan Keenam dengan subsidiari BHB, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang memperincikan antara lain - penyerahan projek dan tadbir urus.

 

Kontrak Tambahan telah ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz dan Pengerusi BNS, Dato’ Nazim Rahman, disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamad Hasan di Langkawi hari ini.

 

Dalam kenyataan media, Boustead Holding Berhad (BHB) mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan, Kementerian Pertahanan (MINDEF), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kerana memainkan peranan aktif dalam menjamin masa depan projek LCS.

 

 

BNS, Dato’ Nazim Rahman
                BNS, Dato’ Nazim Rahman

 

 

Nazim berkata perjanjian ini hasil daripada semakan menyeluruh terhadap pelbagai pilihan dan semua aspek projek oleh pelbagai kementerian dan agensi di bawah Kerajaan dan BNS, dengan matlamat tunggal untuk menghidupkan semula Projek LCS selaras dengan Rancangan Armada Transformasi 15 hingga 5 oleh TLDM.

 

“Di bawah perjanjian baharu ini, pelbagai langkah pencegahan telah dilaksanakan bagi memastikan kapal-kapal itu dihantar tepat pada masanya dan mengikut bajet yang diperuntukkan.

 

"Ini termasuk pembentukan Jawatankuasa Pemantauan Projek, yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, untuk memperkukuh pelaksanaan dan penyeliaan penyampaian projek seterusnya memastikan kegagalan masa lalu tidak berulang,” kata beliau.

 

Sambil menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan BNS untuk menyiapkan projek itu, Nazim berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini sejak projek itu ditangguhkan, tadbir urus dalam BNS telah bertambah baik dengan ketara.

 

"Pengurusan baharu yang telah dilaksanakan, bukan sahaja di BNS, tetapi juga di Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC), BHB serta LTAT telah membolehkan syarikat dan pemegang sahamnya mengambil objektif penilaian projek dan cara terbaik ke hadapan untuk menyelesaikan penghantaran kapal”. - DagangNews.com