Kerajaan jangka hasil cukai melebihi sasaran tahun ini, kembali ke paras sebelum pandemik - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan jangka hasil cukai melebihi sasaran tahun ini, kembali ke paras sebelum pandemik - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

CYBERJAYA 1 Mac - Kerajaan menjangkakan kutipan hasil pencukaian akan memenuhi atau melebihi sasaran berjumlah RM139 bilion bagi tahun ini, kembali kepada paras sebelum pandemik COVID-19 dengan sinar pemulihan yang lebih jelas.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia juga sekali gus mengulangi pencapaian 2021 yang meningkat sebanyak 17% berbanding tahun sebelumnya, kepada lebih RM140 bilion.

 

Beliau berkata, prestasi cemerlang itu adalah kejayaan yang amat membanggakan kerana hasil kutipan cukai berkenaan menyumbang hampir separuh daripada jumlah pendapatan negara. 

 

Jelasnya, kejayaan yang amat membanggakan itu juga adalah usaha transformasi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang merentasi 28 perkhidmatan percukaian secara dalam talian, dan enam aplikasi digital di bawah pendekatan Go Digital for Future Services.

 

"Ketangkasan HASiL dalam mengadaptasi keperluan pendigitalan jelas sekali telah mempermudahkan urusan percukaian bagi seluruh Keluarga Malaysia, seperti digambarkan melalui Statistik Percukaian HASiL yang menunjukkan trend pematuhan cukai yang meningkat dari tahun ke tahun.

 

"Selain itu, Keluarga HASiL juga telah memastikan pengurusan bantuan kepada seluruh Keluarga Malaysia berjalan dengan lancar, dan diterima dalam tempoh sepatutnya. Ini termasuklah pelbagai bantuan tunai kepada rakyat dan perniagaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Geran Khas Prihatin (GKP).

 

"Dan kini, menerusi Bajet 2022, HASiL sekali lagi diberikan amanah menguruskan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) serta Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia 2021 iaitu inisiatif di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia," katanya ketika majlis perasmian Hari HASiL ke-26 di sini, hari ini.

 

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Ismail Sabri berkata, bagi memastikan pendapatan negara terus stabil, ia memerlukan pendekatan senegara (whole nation approach), merentasi semua pihak termasuklah kerajaan, swasta dan rakyat, selari dengan semangat dan konsep Keluarga Malaysia.

 

Beliau berkata, ini terutamanya melalui pembayaran cukai, di mana hasil yang dikutip akan digunakan bagi membangunkan negara, sekali gus mensejahterakan Keluarga Malaysia dengan pelbagai program bermanfaat.

 

"Oleh itu, bagi menyokong hasrat ini, HASiL melalui pengurusannya perlu merangka pelbagai strategi jangka pendek dan sederhana untuk mencapai sasaran kutipan yang ditetapkan dan dalam masa yang sama mengekalkan prestasi yang baik pada masa hadapan.

 

"Ini termasuklah mengenal pasti sektor ekonomi baharu dan melaksanakan undang-undang percukaian dengan telus, berkesan dan cekap. Secara tidak langsung, usaha ini akan meningkatkan kepercayaan Keluarga Malaysia dan memastikan pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

 

"Namun, pendekatan yang lebih sesuai, mesra pelanggan dan dilengkapi dengan didikan harus menjadi panduan kepada Keluarga HASiL dalam melaksanakan tugas masing-masing," katanya. 

 

Beliau berkata, aktiviti memberikan kesedaran dan penyampaian maklumat tepat kepada ‘focus group’ perlu terus dipertingkatkan agar rakyat sedar akan tanggungjawab mereka dan kepentingan cukai yang menyumbang kepada kemakmuran negara yang dicintai.

 

"Strategi yang betul dan kepekaan terhadap isu semasa perlulah diurus dengan baik oleh pihak berkaitan bagi menjamin keutuhan reputasi dan kepercayaan orang awam terhadap HASiL. Ke arah ini juga, saya pasti Pelan AntiRasuah LHDNM (PeARL) akan terus menjadi panduan dan rujukan kepada seluruh Hasilian dalam memupuk nilai-nilai integriti dalam diri masing-masing," katanya. - DagangNews.com