Kerajaan dijangka kekalkan skim subsidi bahan api, kos dianggar cecah RM30 bilion tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan dijangka kekalkan skim subsidi bahan api, kos dianggar cecah RM30 bilion tahun ini

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 April - Kerajaan dijangka mengekalkan skim subsidi bahan api sedia ada bagi mengelakkan tekanan secara berterusan ke atas inflasi. 

 

Menurut MIDF Research, tidak kira pada kadar apa sekalipun inflasi makanan, harga apungan bahan api runcit akan memberi implikasi negatif kepada keseluruhan inflasi di Malaysia, mencapai paras 5%. 

 

Katanya, sekiranya kerajaan memansuhkan subsidi tersebut, ia akan menyebabkan indeks harga pengeluar (IHPR) melonjak pada kadar 2 digit terutama dalam persekitaran harga tenaga global yang semakin meningkat. 

 

Firma itu mengunjurkan IHPR akan meningkat sederhana 5% tahun ini, dengan mengambil kira harga bahan api kekal tidak berubah. 

 

"Jika kerajaan tidak meletakkan had, kami menganggarkan keseluruhan IHPR akan meningkat 12.3% dan kos bahan perantaraan mengalami kenaikan 15.8%. 

 

"Sebaliknya, jika kerajaan memutuskan untuk membuat pengurangan 5 sen, maka inflasi IHPR dan bahan perantaraan akan berkurangan masing-masing sebanyak 4.7% dan 2.6%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Ketika ini, kerajaan mengehadkan harga runcit bahan api RON95 dan Diesel masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 per liter.

 

Gas petroleum cecair (LPG) yang ditetapkan pada 2015 ialah RM1.90 per kilogram (kg) manakala minyak masak pada RM2.50 per kg.

 

Berdasarkan data harga bahan api sebelum ini, kerajaan pernah memberi subsidi hampir 28% margin harga sebenar RON95 pada 2011 yang menelan belanja kira-kira RM20 bilion untuk subsidi bahan api.

 

Pada 2012, subsidi bahan api meningkat kepada RM27.9 bilion bagi menampung 31.1% margin harga sebenar bahan api.

 

MIDF Research berkata, dengan harga minyak pada AS$110 setong dan ringgit berlegar pada purata RM4.09 tahun ini, kerajaan dijangka perlu menampung kira-kira 55% daripada margin anggaran harga sebenar RON95, RM3.18 seliter.

 

"Dengan angka yang diramalkan ini, menjadikan kos subsidi bahan api tahun ini mungkin sekitar RM25 hingga RM30 bilion," jelasnya.

 

Pada masa sama, firma itu juga percaya, hasil petroleum akan merekodkan hasil berjumlah RM72.1 bilion tahun ini, didorong harga komoditi global yang melonjak tinggi. - DagangNews.com