Kerajaan cuba elak langkah 'kurang popular' dalam Bajet 2023 demi rakyat - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan cuba elak langkah 'kurang popular' dalam Bajet 2023 demi rakyat - HLIB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON


KUALA LUMPUR 16 Dis - Pembentangan semula Bajet 2023 yang dijangka awal tahun depan mungkin tidak akan menyaksikan terlalu banyak perubahan drastik dengan mengambil kira komponen pembentukan kerajaan perpaduan yang turut membabitkan Barisan Nasional (BN) dan pakatan Borneo.

 

Kerajaan sebelum ini membentangkan bajet tersebut pada 7 Oktober lalu melibatkan peruntukan berjumlah RM372.3 bilion sebelum Parlimen dibubarkan tiga hari kemudian bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15). 

 

Namun, keputusan pilihan raya yang menyaksikan tiada mana-mana gabungan parti politik membawa kepada pembentukan kerajaan perpaduan yang kini diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

 

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, dengan mengambil kira kerajaan berbeza selepas PRU15, adalah wajar untuk menjangkakan perubahan pada Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula.

 

Terdapat kemungkinan peruntukan pembangunan akan dikurangkan kepada RM85 bilion daripada RM95 bilion (dalam Bajet 2023 sebelum ini), bagi memastikan terdapat ruang untuk perbelanjaan fiskal yang lebih luas pada tahun hadapan.

 

"Berikutan mesyuarat Majlis Tindakan Negara kerajaan baharu yang bertujuan untuk menangani keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, serta tumpuan PM Anwar mengenai subsidi bersasar, kami berpendapat rasionalisasi subsidi bahan api mungkin dilaksanakan pada tahun hadapan secara berperingkat.

 

"Tetapi, memandangkan pentadbiran kerajaan perpaduan masih di peringkat awal, langkah tidak popular melibatkan rasionalisasi subsidi (walaupun diperlukan) yang secara langsung melibatkan rakyat tidak mungkin dipaparkan dalam bajet tetapi berkemungkinan besar menunjukkan beberapa isyarat (rasionalisasi subsidi)," katanya dalam laporan prospek 2023 hari ini.

 

 

gambar hiasan

 

 

Selasa lalu, Perdana Menteri mahu agensi kerajaan merangka serta membangun wahana atau kaedah bersesuaian bagi melaksanakan subsidi bersasar dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan industri.

 

Menurut Anwar, Malaysia mesti menyalurkan semula subsidi pukal yang turut memanfaatkan golongan kaya dan konglomerat ke arah menopang kumpulan B40, M40 dan peniaga kecil yang amat terkesan dan memerlukan.

 

Subsidi yang ditanggung kerajaan pada masa ini antaranya subsidi elektrik, dinikmati semua golongan walaupun ia sebenarnya bertujuan untuk membantu golongan rakyat miskin.

 

Bagaimanapun, HLIB menjangkakan bantuan tunai yang dilaksanakan kerajaan terdahulu akan diteruskan (mungkin akan diberi nama baharu) dalam Bajet 2023 meskipun peningkatan peruntukan akan memberi cabaran ekoran perbelanjaan kerajaan yang ketat.

 

Mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST), firma itu berkata, berdasarkan keengganan kuat PH terhadap cukai penggunaan (terbukti dengan langkah mereka memansuhkan GST pada 2018), mungkin fikir ia akan mengambil sedikit masa sebelum perbincangan mengenai perkara ini dibangkitkan semula.

 

 

gambar hiasan

 

 

Bagi prospek 2023, firma itu berkata, ketidaktentuan sedia ada semakin berkurangan tetapi tahun depan boleh menjadi kurang bergelora walaupun masih berdepan beberapa cabaran.

 

Dengan indeks utama FBM KLCI mempunyai korelasi songsang -58% kepada sebaran FFR-OPR, penurunan dalam kenaikan Rizab Persekutuan AS (Fed) berkemungkinan memuncak pada separuh pertama 2023 – sepatutnya menahan kelemahan di bursa tempatan.

 

Fed mengambil langkah daripada tindakan agresif yang akan membantu dalam penyusutan ringgit, memberikan kesan positif kepada pasaran.

 

Penunjuk rantaian bekalan terus menunjukkan bahawa gangguan semakin berkurangan yang akan membantu memperlahankan inflasi.

 

Di peringkat domestik pula, di sebalik pakatan politik, kerajaan perpaduan PM Anwar nampaknya bermula dengan landasan yang agak baik – undian percaya yang dijadualkan pada minggu depan akan mengukuhkan lagi jangkaan ini, terutamanya jika ia mencapai penanda aras dua pertiga.

 

Bagaimanapun, berikutan petunjuk kebarangkalian kemelesetan yang semakin meningkat, risiko yang ketara untuk pasaran tahun depan ialah AS (dan EU), mengakibatkan penularannya ke Malaysia.

 

"Dua daripada tiga kemelesetan AS yang lalu menyaksikan pertumbuhan Malaysia juga menguncup (iaitu krisis ekonomi global dan COVID-19), dan hampir tidak dapat melepaskan gelembung dotcom pada 2001.

 

"Namun begitu, adalah penting untuk menggambarkan bahawa Malaysia kini berada pada tahap yang lebih kukuh (daripada pembukaan semula yang berterusan) berbanding semasa pandemik 2020-2021.

 

"Di samping itu, kemungkinan pembukaan semula China yang semakin meningkat boleh memberikan sedikit penampan," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, HLIB mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan menyederhana sekitar 4% pada 2023 berbanding jangkaan 8.2% bagi tahun ini. 

 

Inflasi pula dijangka berpurata rendah sedikit pada +3.1% tahun depan dengan mengambil kira bahawa ini masih di atas paras sebelum pandemik dengan risiko kenaikan.

 

Pada masa sama, ia turut menjangkakan kenaikan dua kali kadar dasar semalaman sebanyak 50 mata asas menjadikan kadar itu kepada 3.25% pada 2023. - DagangNews.com