KUALA SELANGOR 9 Feb - Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mengkaji alternatif membantu rakyat yang menghadapi masalah kewangan berikutan peningkatan kos sara hidup tanpa perlu mereka mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang mencari jalan penyelesaian lain yang tidak akan membebankan pekerja apabila mereka bersara nanti, lapor Berita Harian.
"Kita kena timbang. Kita sedang cari jalan kurangkan beban mereka tanpa menimbulkan beban lain pada masa mereka bersara nanti," katanya selepas menyampaikan Syarahan Ulung Siddiq Fadzil - Pemikiran Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia di Universiti Selangor (UNISEL), hari ini.
Perdana Menteri ditanya sama ada pengeluaran KWSP dalam pertimbangan kerajaan bagi Bajet 2023.
Pelbagai pihak menggesa kerajaan mengutamakan dan membantu rakyat yang berada dalam kesusahan termasuklah membenarkan pengeluaran KWSP dalam Bajet 2023.
Pada 4 Februari lalu, Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIR) dalam kenyataan meminta kerajaan meluluskan pengeluaran KWSP 2.0 bersasar kepada tiga juta pencarum yang benar-benar terkesan.
Presiden PGIR, Azmi Mohd Tahir berkata, angka itu diperoleh berdasarkan kajian senarai pencarum yang dijalankan pihaknya.

Katanya, sebelum ini, kerajaan membenarkan pengeluaran caruman kepada tujuh juta pencarum, namun tiada mana-mana agensi yang membuat kajian, yang dapat membuktikan semua itu adalah pencarum yang betul-betul susah. - DagangNews.com








