Kerajaan akan teruskan projek LCS bernilai RM9 bilion - Mohamad Hasan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan akan teruskan projek LCS bernilai RM9 bilion - Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR 5 Jan - Kerajaan Perpaduan akan meneruskan projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) bernilai RM9 bilion, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan.

 

Mohamad berkata, pembinaan kapal itu akan diteruskan sebagai sebahagian daripada pengukuhan pertahanan negara dan tentera laut, lapor Bernama.

 

Projek LCS dikatakan sebagai perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Malaysia dengan kos keseluruhan RM9 bilion.

 

Projek itu mendapat banyak penelitian tahun lepas selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan bahawa tiada satu kapal pun telah disiapkan walaupun Putrajaya telah membelanjakan RM6.08 bilion untuknya.

 

Ia telah dianugerahkan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) melalui rundingan terus.

 

Ketika beliau masih menjadi ketua pembangkang pada Ogos 2022, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggesa Putrajaya untuk menghentikan projek LCS fasa seterusnya dengan berkata, dana itu harus dialihkan untuk membantu rakyat.

 

Pada Mac, pentadbiran pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan untuk meneruskan projek itu, sebelum pengeluaran laporan PAC pada Ogos.

 

 

tokmat
                                                         Mohamad Hasan

 

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat projek itu telah mengesyorkan beberapa individu didakwa.

 

Mohamad juga mengulangi bahawa Kementerian Pertahanan akan meneruskan pelaksanaan kertas putih pertahanan 2021-2030.

 

Kertas putih itu dibentangkan oleh Menteri Pertahanan ketika itu, Mohamad Sabu pada 2019, dan disahkan oleh Ismail Sabri, yang ketika itu ketua pembangkang, menurut Free Malaysia Today.

 

Ia bertujuan untuk melakarkan rancangan pertahanan Malaysia untuk 10 tahun akan datang, memetik peningkatan dalam ancaman keganasan, ketegangan ketenteraan di Laut China Selatan, serangan keselamatan siber, dan peningkatan dalam penyeludupan manusia serta dadah. - DagangNews.com