KUALA LUMPUR 13 Okt - Kenanga Research mengesyorkan saranan 'tambah' terhadap Ancom Nylex Bhd. pada nilai wajar RM1.77 sesaham berdasarkan kedudukannya sebagai pengeluar tunggal bahan kimia pertanian aktif ramuan (AI) di Asia Tenggara dan pemain utama di Asia.
Ditubuhkan pada 1969, Ancom Nylex telah berkembang dalam pengeluaran industri, polimer dan bahan kimia ternakan.
Pada masa ini, AI kimia pertanian menyumbang lebih 70% daripada keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan.
"Kami percaya penilaian ini adalah murah memandangkan potensi pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) yang lebih tinggi sebanyak 38% dan 48% bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2023 (FY23) dan FY24 dipacu pengembangan dalam perniagaan agrokimia.
"Bukan sahaja AI sedia ada berkembang dengan baik, kumpulan juga memperkenalkan lebih banyak AI serta memasuki pasaran baharu," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut Kenanga Research, persaingan dalam industri adalah terhad kerana halangan kemasukan yang tinggi dengan permintaan untuk produk akan disokong oleh matlamat global untuk mencapai keselamatan makanan.
Katanya, kelapa sawit, tebu, bijirin dan juga buah-buahan seperti nanas adalah sebahagian daripada tanaman makanan yang boleh menggunakan bahan kimia pertanian Ancom Nylex dalam penanaman.
"Pertumbuhan pendapatan bagi FY23 dan FY24 sepatutnya kukuh disokong oleh bahagian pasarannya yang semakin meningkat dalam pasaran paraquatreplacement Thailand dengan purata AS$70 juta setahun, mencerminkan rangkaian pengedarannya yang dipertingkatkan," jelasnya.
Pada masa sama, firma itu berkata, operasi kilang baharu dijangka meningkatkan kapasiti AI kumpulan sebanyak 50% lagi, sekali gus menyumbang kepada peningkatan skala dan margin dalam FY24.
"Di samping itu, perniagaan bahan kimia ternakan Ancom Nylex yang baru diperoleh boleh menyumbang keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM4 juta setahun yang disokong oleh jaminan keuntungan," katanya.
Setakat 10.52 pagi, harga sahamnya menokok 1 sen atau 1.04% kepada 97 sen dengan 41,000 saham diniagakan. - DagangNews.com








