KUALA LUMPUR 31 Okt - Kenaikan cukai gula dijangka hanya memberi impak minimum kepada Power Root Bhd. meskipun minuman pracampuran menyumbang kira-kira 75% daripada keseluruhan jualan.
CGS-CIMB Research berkata, syarikat pengeluar minuman itu boleh merumuskan semula sehingga 95% produk pracampurannya di bawah had gula yang dikenakan cukai tanpa menjejaskan permintaan jualan dengan ketara.
"Ini kerana kumpulan memiliki ekuiti jenama dan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang kukuh bagi formulasi produk proprietari selepas menjalani ujian pasaran yang intensif," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada suku ketiga, Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah mengeluarkan notis berhubung duti eksais sebanyak 47 sen setiap 100 gram ke atas penyediaan pracampuran dengan jumlah kandungan gula melebihi 33.3g/100g berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.
Firma itu menjangkakan Power Root akan merekodkan pertumbuhan jualan yang kukuh pada suku kedua berakhir 30 September 2022 dipacu jualan memberangsangkan daripada pasaran eksport terutamanya rantau Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) yang menyumbang 76% kepada jualan eksport pada suku pertama.
Menurutnya, ia berdasarkan kepada pendekatan pemasaran yang proaktif untuk mengukuhkan kehadiran di MENA, yang telah membantu Power Root memperoleh kuasa harga lebih tinggi, apabila jualan pada suku pertama melonjak 88% tahun ke tahun di sebalik kenaikan harga produk dalam tempoh tersebut.
"Selain itu, prestasi lebih baik di rantau ini juga disokong aktiviti simpanan semula stok terutama menjelang Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar pada 20 November hingga 18 Disember ini dan juga persekitaran operasi yang menggalakkan di sebalik kelemahan ringgit berbanding dolar AS," jelasnya.
CGS-CIMB juga mendapati mendapati harga jualan produk semasa Power Root masih ketinggalan berbanding pemain industri lain walaupun selepas kenaikan harga secara beransur-ansur pada separuh pertama 2022.
Ini mendorong firma tersebut mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.40 sesaham.
"Kami percaya Power Root ialah kitaran pemulihan yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) (dengan untung bersih meningkat 91.3% tahun ke tahun pada FY23) didorong permintaan produk yang mampan dan persekitaran operasi menggalakkan," katanya.
Setakat 11.59 pagi, harga sahamnya menokok 2 sen atau 0.93% kepada RM2.16 dengan 120,300 saham diniagakan. - DagangNews.com








