Kempen pendanaan ramai ekuiti Alta, MyStartr kumpul lebih RM1.9 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kempen pendanaan ramai ekuiti Alta, MyStartr kumpul lebih RM1.9 juta

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Dis - Kempen pendanaan ramai ekuiti (ECF) yang dilancarkan Alta bersama MyStartr telah mengumpul lebih RM1.9 juta dan akan berakhir pada 23 Disember 2022.

 

MyStartr telah berjaya membantu lebih 59 syarikat pemula yang terdiri daripada syarikat kecil hingga sederhana dengan pelbagai latar belakang untuk mengumpul RM100 juta melalui platform ECFnya. 

 

Kini, platform tersebut mempunyai lebih 5,400 pelabur dalam rangkaiannya.

 

MyStartr bermatlamat membantu syarikat mengumpul modal dengan menghubungkan mereka dengan pelabur, di samping turut mengasah kemahiran dan memberikan bimbingan kepada mereka bagi mempertingkatkan perniagaan mereka dengan pantas.

 

Selain mengumpul modal untuk syarikat pemula sebagai sebuah platform ECF, MyStartr juga bermatlamat untuk mewujudkan kesedaran dan mendidik pelabur runcit mengenai pendanaan ramai ekuiti.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MyStartr, Goh Boon Peng berkata, pihaknya melihat keperluan semakin meningkat untuk syarikat di Malaysia mengakses dan mendapatkan modal bagi mengembangkan perniagaan mereka. 

 

Selain itu katanya, pihaknya mahu membantu syarikat-syarikat ini secara aktif dalam perjalanan mereka.

 

“Dengan dana yang diperolehi daripada pusingan ECF ini, kami akan mempercepatkan kemajuan platform ECF yang lebih canggih yang akan membantu penerbit menjana modal dengan lebih baik dan menyediakan peluang yang telah dianalisis dengan baik untuk pelabur. 

 

"Dana yang dikumpul juga akan digunakan untuk mengembangkan program mentor kami yang membantu syarikat untuk lebih mahir dalam mempertingkatkan perniagaan mereka, di samping turut meningkatkan kesedaran orang ramai tentang ECF," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

alta
                                                       Kelvin Lee

 

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Alta, Kelvin Lee pula berkata, melihat kepada perubahan dalam landskap ekonomi keseluruhan, permintaan daripada syarikat yang mencari lebih banyak pilihan untuk meningkatkan modal adalah lebih kukuh sekarang berbanding sebelum ini. 

 

Katanya, dengan kematangan platform pembiayaan alternatif di Malaysia hari ini, firma seperti MyStartr dan Alta menyediakan tawaran menarik yang memberi manfaat kepada penerbit dan pelabur.


 
"Dengan pelan hala tuju yang kukuh dan perkembangan menarik untuk memajukan platform ini, Alta sangat teruja untuk menyokong MyStartr dalam pusingan pengumpulan dana mereka," katanya. - DagangNews.com