KUALA LUMPUR 4 Jan - Juwai IQI menjangkakan pelaburan hartanah akan kembali meningkat pada Januari dengan kemasukan semula pelancong China apabila negara itu membuka sempadan antarabangsanya mulai Ahad ini.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, pelaburan hartanah antarabangsa China sudah mula pulih daripada paras terendah pandemiknya meskipun belum mencapai paras seperti 2019.
Katanya, ia dijangka mencecah paras sebelum pandemik hanya pada sekitar pertengahan 2024.
"Bergantung kepada destinasi, pelaburan hartanah China menurun antara 50% hingga 60% semasa pandemik COVID-19.
"Pembukaan semula sempadan antarabangsa ini akan menjadi peluang pertama dalam tempoh tiga tahun bagi kebanyakan penduduk China untuk meninjau pasaran hartanah di luar negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Data Juwai IQI menunjukkan tiga negara utama menjadi sasaran pembeli hartanah dari China pada Disember 2022 iaitu Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
Selain itu, Malaysia juga berada dalam senarai tersebut bersama Jepun, Thailand, United Kingdom (UK), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Korea Selatan.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China mengumumkan bahawa mulai 8 Januari 2023, pengembara yang masuk hanya perlu menunjukkan ujian PCR negatif dalam tempoh masa 48 jam sebelum berlepas.
Sehingga kini, pengembara perlu menjalani kuarantin selama lima hari di hotel atau kemudahan lain dan tiga hari di rumah.
Menurut Kashif, pembukan semula sempadan akan menyaksikan kebanjiran pelancong China, ahli perniagaan, pelajar dan pelabur hartanah. - DagangNews.com








