KUALA LUMPUR 21 Feb - Perdagangan Malaysia dijangka perlahan tahun ini meskipun mengekalkan momentum peningkatan pada Januari 2023 dengan nilai perdagangan meningkat 1.9% tahun ke tahun kepada RM207.51 bilion.
AmInvestment Bank Research mengunjurkan jualan produk elektrik dan elektronik (E&E) akan lebih perlahan tahun ini, mencerminkan berakhirnya kitaran teknologi yang kukuh dan permintaan luaran lebih lemah.
Indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan Malaysia menunjukkan penguncupan sejak September 2022, dan berada dalam trend menurun sejak itu, mencerminkan ketidakyakinan dari segi luaran dengan angka terkini (pada Januari 2023) berada pada paras terendah sejak pandemik COVID-19.
"Oleh itu, kami menjangkakan eksport akan berkembang sekitar 5 hingga 10% tahun ini berbanding 27.8% pada 2022.
"Momentum perdagangan yang mengecil bukanlah sesuatu yang dijangkakan kerana ekonomi utama kini berhadapan dengan kesan pengetatan dasar yang menyaksikan peningkatan mendadak dalam penanda aras kadar faedah di seluruh dunia.
"Ini mendorong kami mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini sekitar 4.5% memandangkan risiko penurunan disebabkan kelembapan dalam perdagangan global dijangka berkurangan ekoran permintaan domestik yang agak kukuh," katanya dalam nota kajian hari ini.

Data Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang dikeluarkan semalam menunjukkan eksport Malaysia pada bulan pertama 2023 mencatatkan peningkatan 1.6% kepada RM112.84 bilion disokong nilai eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG) serta barangan E&E.
Nilai import negara juga meningkat 2.3% kepada RM94.67 bilion pada bulan dikaji. Lebihan dagangan bagaimanapun berkurang 2.1% kepada RM18.16 bilion. Ini mencerminkan lebihan dagangan yang ke-33 bulan berturut-turut dicatatkan sejak Mei 2020.
Bagaimanapun, nilai dagangan Malaysia bagaimanapun merosot berbanding Disember 2022 dengan perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing susut sebanyak 11.8%, 14.4%, 8.6% dan 35.5%, disebabkan bilangan hari berkerja yang singkat dan cuti perayaan yang panjang.
Menurut MIDF Research, walaupun nilai jumlah dagangan adalah terendah sejak 11 bulan, namun, ia kekal melebihi RM200 bilion sejak Mac 2022.
Berbanding Januari 2022, jumlah eksport masih 1.9% tahun ke tahun lebih tinggi tetapi ia merupakan pertumbuhan paling perlahan sejak Disember 2020.
Disebabkan penurunan eksport yang lebih ketara, lebihan dagangan menyusut kepada RM18.2 bilion (berbanding Disember 2022 : RM28.1 bilion), hanya paras terendah dalam tempoh 3 bulan.
"Di sebalik angka perdagangan yang lebih lemah daripada jangkaan pada Januari 2023, kami masih mengekalkan unjuran untuk eksport dan import berkembang lebih perlahan tahun ini, masing-masing pada 9.2% dan +9.5%.
"Pertumbuhan yang sederhana akan mencerminkan kesan asas yang tinggi pada tahun lalu, tetapi pertumbuhan positif menunjukkan peningkatan berterusan dalam permintaan luar untuk E&E dan komoditi, terutama petroleum dan minyak sawit," jelasnya.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, momentum perdagangan Malaysia dijangka lemah pada masa hadapan, dikekang oleh kelembapan permintaan akhir daripada negara utama ekonomi maju.
"Namun begitu, pembukaan semula ekonomi China dan potensi kesan limpahannya terhadap harga komoditi dan kepelbagaian eksport Malaysia dijangka memberi sedikit perlindungan untuk mengimbangi kelembapan ini," jelasnya. - DagangNews.com








