Kebimbangan Omicron, pelabur dijangka melangkah berhati-hati pada 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kebimbangan Omicron, pelabur dijangka melangkah berhati-hati pada 2022

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 16 Dis - Setelah melalui tempoh yang mencabar sepanjang tahun ini, pelabur dijangka mengambil langkah berhati-hati ketika memasuki 2022. 

 

Dalam analisis CGS-CIMB Research, ia mendapati pasaran akan berada dalam keadaan tidak menentu terutamanya disebabkan gelombang baharu COVID-19 dengan kemunculan varian Omicron. 

 

Tambahan pula, katanya, pasaran didapati tidak mengambil kira faktor kemungkinan pelaksanaan semula sekatan pergerakan pada tahun hadapan, justeru, sebarang lonjakan kes, kadar kemasukan hospital atau kematian mungkin menyebabkan berlakunya aktiviti pengambilan untung secara berterusan ekoran kebimbangan terhadap hasil yang mengecewakan. 

 

"Faktor lain seperti jualan pendek harian yang dilaksanakan semula, aliran keluar dana asing disebabkan langkah pengurangan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan dasar monetari dan rangsangan fiskal yang ketat turut dilihat mempengaruhi pasaran. 

 

"Pada masa sama, kos transaksi dagangan saham di Malaysia yang lebih tinggi dan situasi politik serta pelaksanaan cukai lebih tinggi memberi risiko kepada pendapatan korporat.

 

"Faktor-faktor ini dilihat akan menjejaskan sentimen dalam pasaran saham tempatan," katanya dalam laporan strategi hari ini. 

 

Jelasnya, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) juga mungkin diadakan pada 2022 memandangkan situasi pandemik semakin terkawal.

 

Malah, 78% daripada populasi di negara ini sudah menerima vaksin lengkap setakat 14 Disember 2021. 

 

"Ini boleh membawa kepada ketidaktentuan jangka pendek apabila pelabur mengambil untung memandangkan ketidakpastian mengenai kemungkinan keputusan pilihan raya," katanya.

 

Firma itu menganggarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 pada 5.6% berbanding 3.5% bagi tahun ini dipacu pembukaan semula aktiviti ekonomi. 

 

Bagaimanapun, katanya, hasil KLCI dijangka susut 4.8% pada tahun hadapan disebabkan cukai korporat yang lebih tinggi dan harga komoditi pula dianggar lebih rendah. 

 

Dalam pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober lalu, kerajaan bercadang untuk melaksanakan cukai keuntungan sekali dikenali Cukai Makmur dan cukai ke atas pendapatan daripada sumber asing mulai 1 Januari 2022. 

 

Kerajaan juga menaikkan duti setem bagi nota kontrak untuk dagangan saham di Bursa Malaysia daripada 0.1% kepada 0.15%, memansuhkan had duti setem RM200 dan menghapuskan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 6% ke atas pembrokeran.

 

Sehubungan itu, CGS-CIMB mengekalkan unjuran KLCI akhir tahun pada 1,495 mata tetapi menyemak semula unjuran pada 2022 lebih rendah pada 1,612 mata daripada unjuran 1,637 mata sebelum ini.

 

"Ia mencerminkan perubahan dalam konstituen KLCI dan juga penurunan penarafan dalam pendapatan Top Glove Corp. Bhd. baru-baru ini. 

 

"Selepas semakan semula ini, kami kini menganggarkan hasil KLCI akan meningkat 39% pada 2021 sebelum menyusut sebanyak 4.8% pada tahun hadapan," jelasnya. 

 

Kaunter saham yang menjadi pilihan firma ini pada 2022 termasuklah perbankan, teknologi, perjudian, petrokimia, media, minyak dan gas (O&G), penjagaan kesihatan, pengeluar minuman keras, utiliti, pembungkusan, perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), manakala saham syarikat pula adalah Inari Amerton, Hong Leong Bank dan QL Resources. - DagangNews.com