Kajian Kyndrl: Hanya 7% organisasi tertumpu kepada pembinaan asas data, AI untuk perniagaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kajian Kyndrl: Hanya 7% organisasi tertumpu kepada pembinaan asas data, AI untuk perniagaan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

 

KUALA LUMPUR 14 Feb - Penyedia perkhidmatan infrastruktur IT terbesar di dunia, Kyndryl melancarkan laporan '5 Cerapan untuk Membantu Organisasi Bina AI Berskala' dengan kerjasama firma penyelidikan dan penasihat teknologi, Ecosystm. 

 

Laporan tersebut, yang menggunakan maklum balas daripada 500 pemimpin C-suite ASEAN, bertujuan untuk menangani cabaran data dan kecerdasan buatan (AI) yang dialami oleh organisasi-organisasi di ASEAN, dan memberikan mereka cadangan untuk membina strategi berskala yang boleh memberikan impak kepada perniagaan.

 

Hasil kajian tersebut mendapati bahawa 48% peserta kekal dicabar dengan penyepaduan penyelesaian AI dengan sistem sedia ada, 38% dengan pengumpulan data dari pelbagai sumber dalaman, dan 34% dengan kualiti data.


 
Berdasarkan hasil kajian tersebut, laporan penyelidikan bersama itu menawarkan beberapa cerapan utama untuk membimbing organisasi dalam penerokaan pembinaan AI berskala mereka. 


 
Laporan tersebut mendedahkan bahawa tahap kematangan penggunaan data dan AI di seluruh ASEAN berbeza-beza, dan hanya 7% peserta fokus terhadap pembinaan asas data dan AI yang betul. 

 

Cerapan sebenar hanya boleh diperoleh daripada set data yang konsisten dan lengkap yang tidak mempunyai jurang data. 

 

Pembinaan set data tersebut memerlukan syarat-syarat penting seperti tumpuan pada data yang bersih dan dipercayai, sebuah strategi kebolehoperasian data dan penjanaan data sintetik untuk merapatkan jurang data.

 

 

kyndryl

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Ecosystm, Ullrich Loeffler berkata, para eksekutif di rantau ASEAN memahami bahawa data merupakan asas kepada perjalanan inovasi dan transformasi mereka.  

 

“Kepercayaan terhadap data dan model AI seterusnya adalah penting untuk benar-benar menerima DNA yang dipacu data di seluruh organisasi dan kepercayaan pada lapisan data ini hilang dalam kebanyakan organisasi hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengarah Urusan Kyndryl Malaysia, Joey Mak pula berkata, inisiatif data dan AI merentas organisasi-organisasi di Malaysia sedang melonjak sambil mereka berusaha untuk memacu agenda pertumbuhan, transformasi dan kemampanan. 

 

 

kyndryl
                                            Joey Mak

 

 

Katanya, pemimpin IT dan perniagaan melihat potensi dalam memanfaatkan data dan AI untuk membuka kunci kepada cerapan masa nyata dan menyampaikan ketangkasan yang diperlukan untuk berjaya dalam pasaran yang kompetitif dan tidak menentu hari ini.

 

"Kepakaran mendalam Kyndryl dalam Pengurusan Data dan AI boleh membantu mereka mencapai matlamat ini, bermula dengan perundingan hingga ke peringkat pelaksanaan dan pengurusan berterusan landskap data mereka," katanya. - DagangNews.com